Sunday 6 September 2015

27 Ramadhan 1436H : Manusia Sangat-Sangat Lemah

Surah Al-Hajj adalah salah satu surah yang dinamakan sempena dengan waktu. Surah-surah lain yang dinamakan sempena dengan waktu ialah :

1. Surah Al-Jumu'ah
2. Suraj Al-Fajr
3. Surah Al-Allail
4. Surah Ad-Dhuha
5. Surah Al-Qadr
6. Al-'Asr
7. Al-Falaq

Surah ini mengandungi 78 ayat mengandungi pelbagai keistimewaan. 

1. Ada ayat-ayatnya yang diturunkan pada waktu siang dan malam.
2. Ada ayat-ayatnya yang diturunkan dalam keadaan Rasulullah saw bermusafir dan bermukim.
3. Ada ayat-ayatnya yang diturunkan di Mekah dan Madinah. 
4. Ada isi kandungannya yang berkenaan peperangan dan keamanan.
5. Ada ayat-ayatnya yang berbentuk muhkamat dan mutasyabihat.

Dalam surah ini ada satu ayat yang mungkin boleh direnung oleh kita semua. Saya sendiri tersenyum dan ketawa beberapa ketika dengan maksud ayat yang Allah ta'ala wahyukan kepada Baginda saw ini. Ayat tamsilan yang menggambarkan betapa lemahnya kita ; bukan sahaja sebagai makhluk, tetapi - jika diberi peluang - juga sebagai khaliq atau pencipta.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاسْتَمِعُوا لَهُ ۚ إِنَّ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ لَنْ يَخْلُقُوا ذُبَابًا وَلَوِ اجْتَمَعُوا لَهُ ۖ وَإِنْ يَسْلُبْهُمُ الذُّبَابُ شَيْئًا لَا يَسْتَنْقِذُوهُ مِنْهُ ۚ ضَعُفَ الطَّالِبُ وَالْمَطْلُوبُ

"Wahai sekelian manusia, telah dibuat satu perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya, segala yang kamu seru selain Allah sekali-sekali tidak dapat menciptakan walaupun seekor lalat, walaupun mereka bersatu untuk berpakat menciptanya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dati mereka, tiadalah mereka mampu untuk merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah jugalah yang disembah" [Surah Al-Hajj : 73].

Allahu Qawiy! Allah sangat gagah perkasa...

Lemahnya manusia ini. Tidak akan boleh menandingi kuasa Allah dalam menciptakan sesuatu, walaupun diberi peluang untuk berpakat beramai-ramai.

Jika sembah pula selain dari Allah, maka yang disembah itu pun lemah juga. Lalat yang nampaknya sangat kecil dan lemah itu pun, jika mengambil sesuatu dari kita, tidak akan mampu untuk kita merampasnya kembali. Lalu bagaimana kita boleh mendabik dada mengatakan kita ini manusia hebat?

Tiada daya dan tiada upaya, melainkan hanya dengan izin Allah.





3 comments: