Sunday 6 September 2015

8 Ramadhan 1436H : Al-Quran Menyelesaikan Masalah : Bahagian Terakhir.

HIKMAH POLIGAMI.

1. Selain daripada memenuhi tuntutan seksual seorang lelaki, poligami mengandungi banyak kelebihan dan hikmah. Poligami ialah jawapan kepada permasalahan wanita yang tidak dapat berkahwin kerana ketiadaan calon. Kaum lelaki bilangannya terhad. Melalui poligami ia menyelesaikan masalah wanita yang telah lanjut usia, wanita yang menghadapi masalah kufu'ah, ibu tunggal, janda dan sebagainya.

2. Nabi Muhammad saw berbangga dengan bilangan umatnya yang ramai di hari akhirat. 

تزوجوا الودود الولود فإني مكاثر بكم الأمم يوم القيامة

"Nikahilah perempuan yang penyayang lagi subur . Sesungguhnya aku berbangga pada hari kiamat dengan bilangan umatku yang ramai".

Setiap pasangan suami isteri memang menginginkan zuriat yang ramai. Tetapi kadang-kadang tidak semua perempuan sanggup beranak ramai. Mungkin kerana kesakitan dan kepayahan ketika mengandung dan melahirkan anak itu menyebabkan mereka sedikit enggan. Maka poligami boleh dijadikan alternatif kepada isu ini. 4 orang isteri yang melahirkan hanya 4 orang anak setiap seorang, maka seorang suami akan mempunyai 12 orang anak tanpa perlu seorang isteri menanggung kesakitan bersalin sebanyak 12 kali.

3. Poligami juga boleh menyelesaikan tuntuan sosial dalam masyarakat. Berapa ramai pasangan yang bekerja terpaksa meninggalkan anak-anak mereka kepada pengasuh atau penjaga. Sudah tentu di sana akan timbul banyak kekurangan. Platform poligami boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah ini di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan. Isteri yang bekerja boleh terus bekerja mencari sumber pendapatan manakala isteri yang lain yang tidak bekerja boleh mengambil tanggungjawab menjaga anak-anak suaminya (anak-anak sendiri dan madunya).

4. Saya pernah berbual-bual dengan beberapa orang kawan dari Afrika dan Timur Tengah. Mereka berkongsi dengan saya bagaimana di sesetengah tempat, lelaki yang berkahwin hanya seorang dianggap sebagai "lemah". Ada seorang guru saya dari Kuwait, beliau yang telah pun mempunyai seorang isteri di Kuwait, mengambil inisiatif untuk mengembara ke Syria mencari bakal isteri yang kedua!

5. Walau apa pun saya rasa kesan utama dari poligami ini ialah ia boleh menjaga agama seseorang lelaki. Ada seorang makcik saya pernah berpesan kepada isteri saya, katanya;

"Ustaz ni kena jaga. Biasa Ustaz kahwin ramai sebab dia tahu dosa pahala. Tak boleh nak "gelenya" dengan orang perempuan".

Maknanya, masih lagi agama itu menjadi alasan utama. Itu seribu kali lebih baik daripada mempunyai "kekasih gelap" dan berterusan dalam maksiat.

Akhirnya, saya yakin tidak ada satu pun kewajiban atau keharusan yang Allah tentukan yang tidak menuju kepada kebaikan. Apa yang tinggal ialah bagaimana kita memandang dan meletakkan perkara tersebut pada satu sudut pandang yang membolehkan semua orang melihat keindahan Islam.

Hendak cari kelemahan, semua orang boleh berikhtiar mencari kelemahan. Janganlah pula kerana kelemahan - iman, fizikal dan mental - diri sendiri, membuatkan kita "generalise" segala hukum hakam itu juga sebagai lemah dan tidak sempurna. Kewajipan seorang Muslim ialah memberi kefahaman yang sebenar walaupun bukan bertujuan untuk dipraktikkan.

Walau apa pun, saya sehingga ke saat ini masih lagi percaya bahawa untuk berjaya dengan berpoligami, seorang lelaki itu mestilah mempunyai 2 kualiti; KEINGINAN dan BAKAT!

Wallahu a'lam.



No comments:

Post a Comment