Sunday 6 September 2015

16 Ramadhan 1436H : Ubat Kuat

Surah Hud ialah surah Makkiyyah yang mengandungi 123 ayat. Banyak sekali kisah nabi dan rasul yang dihidangkan dalam surah ini termasuklah kisah nabi Hud as sendiri, nabi Nuh as, nabi Soleh as, nabi Ibrahim as, nabi Lut as, nabi Syuaib as dan nabi Musa as.

Sebenarnya jika telusuri keseluruhan Al-Quran, banyak kisah para nabi dan rasul ini diulang-ulang dalam surah-surah yang berlainan. Ceritanya kadang-kadang diambil dari sudut dan ketika yang sama dan kadang-kadang diolah menggunakan penceritaan dan perkataan yang berbeza.

Mungkin ramai di antara kita yang biasa menghafaz nama-nama nabi dan rasul, tetapi mengetahui cuma sebahagian dari cerita-cerita mereka. Mungkin cerita nabi Adam as, nabi Nuh as, nabi Ibrahim as, nabi Musa as dan nabi Muhammad saw, kita boleh menceritakan semula dengan yakin kerana banyak perjalanan hidup mereka yang didedahkan kepada kita.

Bagaimana pula dengan nabi-nabi seperti nabi Idris as, nabi Hud as, nabi Lut as, nabi Syuaib as, nabi Isa as dan lain-lainnya yang tidak begitu diperkenalkan kepada kita?

Inilah yang menjadi persoalan; di mana tahap ambil berat kita tentang utusan-utusan Allah ini? Adakah kita benar-benar mengenali mereka lebih daripada kita mengenali figura-figura lain? Ramai orang boleh membaca bibliografi personaliti-personaliti hebat di dunia dari dulu hingga terkini, tetapi miskin maklumat tentang pembawa risalah Allah bermula dari zaman nabi Adam as sehinggalah kepada utusan Allah yang terakhir iaitu nabi Muhammad saw.

وَكُلًّا نَقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ أَنْبَاءِ الرُّسُلِ مَا نُثَبِّتُ بِهِ فُؤَادَكَ ۚ وَجَاءَكَ فِي هَٰذِهِ الْحَقُّ وَمَوْعِظَةٌ وَذِكْرَىٰ لِلْمُؤْمِنِينَ

"Dan demikianlah kami ceritakan semua kisah para rasul kepada kamu supaya kami dapat teguhkan hati kamu, dan daripada kisah-kisah yang benar ini pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman" [Surah Hud : 120].

Bagaimana kisah para nabi ini boleh meneguh dan menguatkan hati kita?

1. Kisah mereka sarat dengan ancaman dan cubaan dari kaum mereka. Kadang-kadang cabaran datang dari ahli keluarga mereka sendiri. Ini termasuklah isteri dan anak-anak mereka. Sebagai contoh kisah nabi Nuh as dan keluarganya. Isteri dan anaknya sendiri menolak ajaran agama dari mulut suami dan ayahnya sendiri. 

Lalu bagaimana halnya mereka dalam menghadapi tentangan tersebut? Mereka tetap teguh hati dan tetap keyakinan bahawa Allah akan memberi kemenangan kepada risalah agama yang dibawa. Mereka tidak hairan dengan cubaan, malah menguatkan lagi semangat untuk mengajak manusia kembali kepada agama Allah.

2. Kisah mereka juga penuh dengan perkara-perkara yang tidak dapat dinilai oleh logik dan akal manusia. Sesuatu yang pada pandangan kita tidak bisa berlaku, mudah saja dengan kehendak dan ketentuan Allah sebagai contoh kisah Fir'aun yang ditenggelamkan oleh belahan air laut. Ini jelas diluar norma kepercayaan manusia tetapi ianya mudah sahaj bagi Allah untuk menjadikannya berlaku.

3. Kisah mereka juga mengajar kita bahawa setiap yang melawan fitrah dan naluri manusia adalah tetap salah walaupun ianya sudah menjadi sebahagian datipada amalan. Sebagai contoh apabila fitrah hidup berpasang-pasangan berlainan jantina cuba disongsangkan oleh kaum nabi Lut as. Semuanya tidak praktikal dan mengundang banyak masalah. Jika pengamalan setempat diambil kira, maka sudah tentu golongan yang menentangnya akan lama kelamaan lemah semangat dan membiarkan sahaja ianya terus berlaku.

4. Setiap yang susah akhirnya ditutup dengan kesenangan. Setiap yang gagal, akhirnya boleh diganti dengan kejayaan, berkat kesabaran dan pengharapan tinggi kepada Allah. Segala-galanya datang dari Allah dan akhirnya akan bermuara di wajahNya. Tidak ada yang perlu dirisaukan. Kuatkan semangat kerana pertolongan Allah sentiasa dekat. Itulah sebenarnya yang berlaku dalam kisah nabi junjungan mulia kita Muhammad saw.

Tugas kita sekarang berundur selangkah ke belakang untuk kembali mengenal para nabi dan rasul. Mereka orang-orang yang dipilih Allah. Kenali hati budi mereka. Ambil tahu kepada siapakah mereka diutuskan. Kutip ibrah dan pengajaran dari kisah mereka. Jadikan mereka sebagai figura wajib tahu kita dan keluarga. Bangga kita dengan mereka bukan sekadar dihafaz nama mereka, tetapi kita tahu kisah-kisah perjalanan hidup mereka.


لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِأُولِي الْأَلْبَابِ ۗ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَىٰ وَلَٰكِنْ تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

"Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang yang mempunyai akal fikiran. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi ia membenarkan kitab-kitab terdahulu dan menjelaskan sesuatu, sebagai petunjuk dan rahmat bagi orang yang beriman" [Surah Yusuf : 111].

Nah! Kuatkan hati dan iman kita dengan membaca dan mendengar kisah-kisah para nabi as. Pengajaran yang disediakan hanyalah untuk orang yang mempunyai akal. Jika kita tidak mengetahu kisah mereka, jauh lagilah kita dari mengambil pengajaran. Orang yang tidak dapat mengambil pengajaran - kata Allah - adalah  orang yang tidak mempunyai akal fikiran.




















No comments:

Post a Comment