Sunday 6 September 2015

29 Ramadhan 1436H : Kaya Dengan Kahwin.

Surah An-Nur terdiri dari 64 ayat dan dikira sebagai surah Madaniyyah. An-Nur bermaksud cahaya, di mana surah ini banyak bercerita tentang hukum hakam sekitar masalah zina, li'an dan adab-adab pergaulan dalam dan luar rumahtangga. Cahaya petunjuk Al-Quran sebenarnya melangkapkan kehidupan manusia yang buntu dengan penyelesaian masalah yang dicetuskan oleh akal fikiran mereka sendiri. Al-Quran datang sebagai jalan keluar kepada segala perkara yang berkait dengan kehidupan manusia. Al-Quran adalah manual hidup manusia.

Allah jualah yang menciptakan cahaya sedemikian. Cahaya matahari adalah untuk keperluan fizikal manusia, cahaya Al-Quran dan keimanan pula adalah untuk rohani manusia. Orang yang tidak mengambil cahaya ini, mereka akan hidup dalam kegelapan. Setiap amal dan perbuatan mereka hanyalah sia-sia.

وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَعْمَالُهُمْ كَسَرَابٍ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ الظَّمْآنُ مَاءً حَتَّىٰ إِذَا جَاءَهُ لَمْ يَجِدْهُ شَيْئًا وَوَجَدَ اللَّهَ عِنْدَهُ فَوَفَّاهُ حِسَابَهُ ۗ وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ

"Dan orang-orang kafir itu amalan mereka laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi apabila didatangi air itu, dia tidak mendapati sesuatu pun. Apa yang ada hanyalah ketetapan Allah di sisiNya, lalu Allah memberikan perhitungan amalannya dan Allah sangat cepat perhitunganNya" [Surah An-Nur : 39].

أَوْ كَظُلُمَاتٍ فِي بَحْرٍ لُجِّيٍّ يَغْشَاهُ مَوْجٌ مِنْ فَوْقِهِ مَوْجٌ مِنْ فَوْقِهِ سَحَابٌ ۚ ظُلُمَاتٌ بَعْضُهَا فَوْقَ بَعْضٍ إِذَا أَخْرَجَ يَدَهُ لَمْ يَكَدْ يَرَاهَا ۗ وَمَنْ لَمْ يَجْعَلِ اللَّهُ لَهُ نُورًا فَمَا لَهُ مِنْ نُورٍ

"Atau seperti gelap gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, di atas ombak itu ada awan, gelap gelita yang bertindih-tindih, sekiranya dia mengeluarkan tangannya, maka tangannya itu tidak dapat dilihat dan ingatlah, barangsiapa yang tidak diberi cahaya petunjuk oleh Allah, maka tiadalah baginya walau sedikit pun dari cahaya" [Surah An-Nur : 40].

Begitulah bandingannya orang-orang yang tidak dipilih untuk mendapat cahaya iman dan islam. Ajaibnya, ayat ini juga menjadi bukti sains terhadap dua situasi alam. Al-Quran bercerita sejak lebih 1400 tahun yang lalu, barulah mutakhir ini saintis menemui fakta ini yang selari dengan penemuan sains :

1. Kejadian fatamorgana
2. Kedalaman air laut mempengaruhi penglihatan

Sesuai dengan konsep cahaya yang mengeluarkan manusia dari kebuntuan hidup, ada ayat yang menyuruh manusia berkahwin sebagai jalan keluar dari masalah kewangan. Pelik bukan? Ramai orang tidak kahwin kerana tidak cukup persediaan kewangan, tetapi Al-Quran menyuruh ibu bapa mengahwinkan anak-anak mereka untuk keluar dari masalah kewangan.

وَأَنْكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنْكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ ۚ إِنْ يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

"Dan kahwinkanlah orang-orang yang bersendirian di antara kamu, dan orang-orang layak untuk berkahwin dari kalangan hamba-hamba lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, ingatlah bahawa Allah yang akan mengkayakan mereka dengan limpah kurniaNya kerana sebab perkahwinan. Dan Allah maha luas pemberiannya lagi maha mengetahui" [Surah An-Nur : 32].

Di mana logiknya berkahwin boleh menyebabkan seseorang menjadi kaya? Sesuatu yang menarik untuk sama-sama kita fikirkan.

1. Perkahwinan adalah suatu amalan yang diperintah oleh Allah, disukai oleh Rasulullah saw dan didoakan oleh para malaikat. Orang yang berkahwin pula, niatnya adalah untuk menjaga agamanya dari dicemari oleh dosa zina dan sebagainya. Mustahil sesuatu yang begitu hebat sebegini tidak mendapat pertolongan dari Allah.

2. Setiap anak yang lahir dari sebuah perkahwinan datang bersama-samanya rezeki yang sudah ditetapkan bagi dirinya dan juga bagi ibu bapanya.

3. Sama ada sedar atau tidak, setiap dari manusia mula mempunyai pelbagai peralatan isi rumah selepas dia berkahwin. Dari mana datangnya duit untuk membeli peralatan tersebut? Walhal ketika dia masih bujang, duitnya habis juga dan tidak pernah cukup.

4. Kaya itu sangat subjektif. Ada orang yang kaya dengan bertambahnya harta. Ada juga orang yang kaya dengan berkurangnya liabiliti dan kos. Perkahwinan adalah contoh di mana seseorang boleh mengurangkan kos, liabiliti dan belanja. Jika ketika bujang, kos makan di kedai mungkin mencecah RM30 sehari. Tetapi sesudah berkahwin, dengan kos kurang dari RM100 cukup untuk makanan berdua selama seminggu yang dimasak di rumah. Belanja-belanja lain seperti bil telefon juga akan berkurangan secara drastik kerana tidak perlu lagi berbual berjam-jam di atas talian. Cukuplah perkara-perkara yang penting melalui telefon, selebihnya boleh berbincang panjang di rumah.

Dan banyak lagi rahsia dan hikmah sebuah perkahwinan. Ramai yang berfikir kewangan adalah masalah utama. Nah! Allah sendiri lebih tahu bahawa kewangan akan menjadi faktor dan kebimbangan utama manusia yang ingin berkahwin melalui ayat di atas. Maka Allah peringatkan bahawa jika itulah kebimbangan manusia, Allah  sebenarnya akan menjadikan seseorang itu mampu dengan limpah kurniaNya semata-mata. Usaha manusia mungkin asbab, tetapi bukan faktor penentu utama.



















No comments:

Post a Comment