Wednesday 2 September 2015

UCAPAN SELAMAT HARI NATAL.

Setiap kali tibanya Hari Natal atau Krismas maka mulalah semuanya berpolemik tentang apakah harus atau tidak, sekurang-kurangnya mengucapkan tahniah dan selamat oleh seorang Muslim atas kehadiran hari ini kepada penganut agama Kristian.

Majlis Fatwa Kebangsaan mengharuskan atas dasar keharmonian antara kaum dan tiada unsur mengiktiraf kesahihan agama Kristian.

Mufti Menk pula mengharamkan dengan dalil yang di bawa dari Al-Aquran dalam surah Maryam ayat 88-91; bahawa tidak harus mengucapkan tahniah kepada satu perayaan yang mengiktiraf Allah itu mempunyai anak dan anak itu lahir pada hari ini.

Pendapat ini juga disokong oleh pendakwah agama terkenal iaitu Dr. Zakir Naik, yang sangat luas kajiannya tentang kristianiti dan agama-agama terkemuka lain di dunia.

Saya melihat isu ini lebih kepada perlu atau tidak perlu. Kemudian kepada kesan sampingan yang mungkin timbul jika saya sebagai seorang Muslim tidak mengucapkan "Merry Chrismast" kepada rakan-rakan kristian saya. Ia juga berkait langsung juga dengan sensitiviti seseorang Muslim berkaitan akidah yang dipegangnya iaitu berteraskan keesaan Allah.

Tanpa menidakkan autoriti Majlis Fatwa Kebangsaan yang dibarisi oleh ulamak muktabar negara ini, saya berpendapat keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bukanlah sesuatu yang tidak boleh dicabar. Tambahan pula banyak keadaan di mana Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan sesuatu keputusan yang jelas kontroversi (seperti hukum berkenaan ASB, rokok dan lain-lain) dan tidak memutuskan sesuatu yang lebih penting seperti hukum orang yang menghina hukum Allah (seperti hudud dan sebagainya).

Jadi, terpulanglah kepada kita untuk memilih hukum mana yang terguna pakai, bergantung kepada tahap ilmu dan sensitiviti kita. Yang penting kita tahu apa yang kita buat dan apa kesannya pada akidah kita. Jika tak pandai, jangan pula sampai memandai-mandai. Jika tak perlu, jangan pula menjadikannya sebagai satu keperluan yang memberi kesan besar jika tidak diucapkan.

Cumanya, mungkin bagi yang mengambil pendapat tidak harus memberi makan daging sembelihan (samada sembelihan wajib atau sunat) atas apa sebab sekalipun kepada bukan Islam, maka hukum mengucapkan "Merry Chrismast" pada hari ini juga adalah lebih lagi tidak harus.

Jangan pula kita mengambil sikap double standard. Jika daging sembelihan kepunyaan kita, kita begitu bertegas tidak boleh dikongsi dengan bukan Islam, atas apa sahaja sebab, maka lebih lagilah ucapan tahniah atas perayaan yang jelas mengiktiraf bahawa orang yang lahir pada hari ini (katanya) adalah anak Allah!

"Dan mereka berkata, Allah itu mempunyai anak. Sungguh kamu telah mengucapkan sesuatu yang sangat keji. Hampir saja langit pecah, bumi terbelah dan gunung-ganang runtuh kerana ucapan itu. Kerana merka mendakwa Allah itu mempunyai anak". - Maryam 88-91.

No comments:

Post a Comment