Sunday 6 September 2015

18 Ramadhan 1436H : Allah Maha Mengetahui.

Ar-Ra'du bermaksud guruh. Guruh yang pada pendengaran kita sangat menggerunkan dan menyakitkan telinga, rupa-rupanya sedang bertasbih kepada Allah. Lihatlah keagungan Allah yang sentiasa dipuji oleh makhluk ciptaannya dengan cara dan gaya masing-masing. 

وَيُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالْمَلَائِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ وَيُرْسِلُ الصَّوَاعِقَ فَيُصِيبُ بِهَا مَنْ يَشَاءُ وَهُمْ يُجَادِلُونَ فِي اللَّهِ وَهُوَ شَدِيدُ الْمِحَالِ

"Dan guruh itu bertasbih dengan memuji Allah, seperti juga para malaikat kerana takutkan Allah. Dan Allah melepaskan halilintar lalu menimpakan kepada sesiapa yang dikehendaki dan mereka berbantah-bantah tentang Allah, dan Dialah Tuhan yang maha keras siksanya" [Surah Ar-Ra'du : 13].

Dari ayat inilah, surah Madaniyyah yang mempunyai 43 ayat ini mendapat nama.

Ada 3 ayat dalam surah ini yang menyebut secara terperinci bagaimana tahap pengetahuan Allah. Dalam erti kata lain, tidak ada satu pun perkara yang dilakukan oleh manusia yang Allah tidak tahu. Seorang pekerja yang amanah, akan sentiasa melakukan kerjanya dengan bersungguh-sungguh, persis ketuanya tahu setiap gerak-gerinya. Perkerja yang tidak amanah pula, hanya akan bekerja secara sambil lewa kerana pada fikirannya tiada siapa yang tahu apa sebenarnya yang dikerjakan. 

Ketua pula pengetahuannya sendiri sangat terbatas. Dia hanya boleh menilai sesuatu yang dia nampak. Dari hasil kerja orang bawahannya, bolehlah dia memberi respon. Jika tidak nampak, maka dia mengharapkan bantuan orang lain untuk menjelaskan perkara yang dia tidak tahu.

Kadang-kadang apa yang kita lihat dengan mata kepala kita sendiri pun kita sering tersalah anggap. Apatah lagi perkara yang kita tidak nampak. Sebab itu kita memerlukan "tabayun" ataupun penyelidikan dan penyiasatan susulan, jika perlu untuk mencari hakikat sebenar perkara yang kita tidak nampak.

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ 

"Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya datang seorang fasik menceritakan sesuatu kepadamu, maka hendaklah kamu selidik terlebih dahulu agar kamu tidak pula menjadikan suatu musibah pada satu kaum kerana kamu tidak tahu dan akhirnya kamu menyesal dengan apa yang kamu lakukan"[Surah Al-Hujurat : 6].

1. Allah tahu apa yang dikandung oleh seorang perempuan. Walaupun dengan kecanggihan teknologi alat imbasan, ia tetap terdedah kepada kesilapan dan ketidaktepatan.

اللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَحْمِلُ كُلُّ أُنْثَىٰ وَمَا تَغِيضُ الْأَرْحَامُ وَمَا تَزْدَادُ ۖ وَكُلُّ شَيْءٍ عِنْدَهُ بِمِقْدَارٍ

"Allah mengetahui apa yang dikandung oleh setiap perempuan, kandungan rahim yang kurang sempurna dan yang bertambah. Dan segala sesuatu Allah ciptakan dengan ukurannya yang tersendirinya" [Surah Ar-Ra'du : 8]

2. Allah tahu setiap yang nampak dan ghaib. Tidak ada sesuatupun yang terlepas dari pandangan Allah.

عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ الْكَبِيرُ الْمُتَعَالِ

"Allah yang maha mengetahui semua yang ghaib dan semua yang boleh dilihat. Sesungguhnya Dia maha besar lagi maha tinggi" [Surah Ar-Ra'du : 9].

3. Allah tahu setiap patah perkataan yang keluar dari mulut manusia dan setiap gerakan hati sanubarinya. Allah juga tahu apa yang ada dalam malam yang pekat dan siang hari yang terang.

سَوَاءٌ مِنْكُمْ مَنْ أَسَرَّ الْقَوْلَ وَمَنْ جَهَرَ بِهِ وَمَنْ هُوَ مُسْتَخْفٍ بِاللَّيْلِ وَسَارِبٌ بِالنَّهَارِ

"Sama saja bagi Allah, apa yang kamu ucapkan dengan apa yang kamu pendamkan, sesiapa yang bersembunyi di malam hari dan berjalan di siang hari" [Surah Ar-Ra'du : 10].

Begitulah hebatnya Allah. Tiada suatu perkara pun yang akan terlepas dari pengetahuannya. Allah maha tahu. Kita cuma perlu buat kerja kita seikhlas mungkin keranaNya. Selebihnya kita serahkan kepada Allah untuk menilai. Kerana penilaian Allah tidak pernah silap.


Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan yang berbaki tidak berapa hari ini, lakukan sebanyak mungkin amal soleh mengikut kemampuan dan cara yang senang bagi kita. Jangan biarkan walau sedetik masa berlalu dengan sia-sia. Ingat! Allah maha mengetahui.

No comments:

Post a Comment