Sunday 6 September 2015

6 Ramadhan 1436H : Al-Quran Menyelesaikan Masalah : Bahagian 1


وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَىٰ فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا

"Dan sekiranya kamu bimbang kamu tidak boleh menyempurnakan hak perempuan-perempuan yatim sekiranya kamu mengahwininya, maka kahwinlah dengan mana-mana perempuan samada dua, tiga atau empat. Sekiranya kamu bimbang tidak berlaku adil, maka cukuplah hanya seorang. Yang demikian itu lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya" [Surah An-Nisa' : 3].

Surah An-Nisa' adalah surah yang keempat mengikut turutan di dalam Mushaf Utsmani. An-Nisa' bermaksud perempuan atau wanita. Mengandungi 176 ayat dan termasuk dalam kumpulan surah-surah Madaniyyah iaitu yang diturunkan selepas hijrah Nabi Muhammad saw.

Surah An-Nisa' sarat dengan hukum hakam kaum wanita. Selain dari Surah An-Nisa', Surah An-Nur dan Surah At-Tholaq juga banyak membicarakan tentang wanita. Topik yang paling hangat antaranya ialah poligami.

KEHARUSAN POLIGAMI.

Islam mengharuskan poligami dengan syarat-syarat tertentu. Antaranya mampu dan adil. Adil yang dikehendaki bukanlah dalam bentuk kasih dan perasaan, tetapi adil yang berbentuk material.

وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ ۚ 

"Kamu tidak akan mampu untuk berlaku adil dengan isteri-isteri kamu, walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian. Jadi janganlah kamu terlalu cenderung kepada isteri yang kamu sayang, sehingga kamu biarkan yang lain terkontang-kanting" [Surah An-Nisa' : 129].

Ada sesetengah ulamak berpendapat, poligami (berbilang-bilang) adalah asalnya sebuah perkahwinan. Berdasarkan ayat yang kita sebutkan di atas, secara jelas Allah memulakan dengan bilangan 2, kemudian 3 dan kemudian 4.  Ini bermakna, perkahwinan adalah berbilang-bilang pada asalnya. Cuma jika tidak mampu berlaku adil antara isteri, maka barulah dikahwini hanya seorang wanita. 

Sebelum turunnya ayat ini, poligami juga diamalkan oleh para nabi sebelum Nabi Muhammad saw. Bahkan Baginda saw juga mengamalkan poligami dengan keistimewaan iaitu tidak terbatas kepada hanya empat orang isteri sahaja. Selain dari itu ini juga amalan para sabahat, tabi'in, tabi' tabi'in dan salafussoleh bertujuan menjaga kehormatan beragama dan meramaikan zuriat. 

Mungkin kita boleh fikirkan kebaikan - atau keperluan - poligami dari pelbagai sudut sesuai dengan keharusan dan anjuran yang Allah berikan melalui ayat di atas pada perbincangan kita esok.

Jumpa lagi!

(Bersambung...)















No comments:

Post a Comment