Sunday 6 September 2015

10 Ramadhan 1436H : Bila Allah Memanggil



وَإِذَا نَادَيْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ اتَّخَذُوهَا هُزُوًا وَلَعِبًا ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لا يَعْقِلُونَ

"Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal" [Surah Al-Maidah : 58].

Bumi dan langit ini milik Allah. Setiap saat dan detik kedua-duanya tidak pernah lekang dari memuji dan membesarkan Allah. Suara mereka tidak pernah kita dengari, apatah lagi untuk difahami.

Di antara keduanya ada sejenis makhluk yang dipanggil sebagai manusia. Tugas manusia juga sama dengan bumi dan langit iaitu mengagungkan Allah. Kombinasi antara manusia, langit dan bumi menghasilkan satu lafaz yang dipanggil azan.

Uniknya laungan azan ini, ia bergerak mengikut peredaran langit dan bumi. Setiap saat, pasti akan dilaungkan azan secara terus menerus dan saling mengambil giliran, dari satu titik koordinat ke satu titik yang lain, lalu membentuk suatu garis yang bersambung membaluti bumi. Dari hujung ke hujung.

Namun begitu, seruan azan hanya tinggal seruan. Seruan yang selayaknya disambut dengan ibadah solat secara serta merta berlalu dingin tanpa layanan. Manusia lebih gemar memilih untuk menangguhkan dahulu panggilan untuk solat. Ada urusan yang lebih penting agaknya. Walhal - hakikatnya - tiada panggilan yang lebih penting lebih dari panggilan dari Allah.

Itulah manusia. Bila Allah memanggil, acuh tak acuh saja dijawabnya. Bila makhluk memanggil, solat pun boleh ditangguh dahulu. Manusia itu hamba Allah. Allah itu tuan manusia. Tetapi manusia memilih untuk berkurang ajar terhadap tuannya.

Allah is calling 
But I didn't answer 
And when Allah is calling 
I just listen to the voices

Allah is calling 
I just answer sometimes 
And when Allah is calling 
I just listen to the whispers
[The Zikr]

Tidak endahkan azan itu sifat Ahlul Kitab. 

Sama juga sifat dan sambutan mereka terhadap Al-Quran. Dengan azan mereka memilih untuk mengejek-ejeknya sebagai permainan, dengan Al-Quran pula mereka memilih untuk tidak mendengarnya.


وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَسْمَعُوا لِهَٰذَا الْقُرْآنِ وَالْغَوْا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ 

"Dan orang-orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan saingilah dia (dengan nyayian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)" [Surah Fussilat : 26].

Orang Islam hari ini tidaklah sampai mengejek-ngejek atau mempersendakan seruan azan dan bacaan Al-Quran, tetapi dengan tidak bersegera mengerjakan solat serta tidak mempedulikan suruhan dan larangan Al-Quran, maka perbuatan itu juga lebih kurang sama dengan apa yang dilakukan oleh Ahlul Kitab.

Marilah kita bersegera menjawab seruan azan dengan mengerjakan solat, bukan sekadar menjawab lafaz azan sahaja satu persatu. Orang yang bersegera untuk menunaikan solat, masanya akan menjadi lebih panjang. Susunan hidupnya pula akan lebih teratur. Jiwa dan perasaannya juga akan menjadi lebih tenang.

Jangan bertangguh! Kerana ajal itu datang tidak pernah tertangguh.

رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلْإِيمَانِ أَنْ آمِنُوا بِرَبِّكُمْ فَآمَنَّا ۚ رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ

"Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar seruan yang menyeru kepada iman iaitu ; "Berimanlah kamu kepada Tuhanmu", maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkan dosa-dosa kami, haluskanlah kesalahan-kesalahan kami dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti" [Surah Ali Imran : 193].



No comments:

Post a Comment