Sunday 6 September 2015

14 Ramadhan 1436H : Masjid Tidak Makmur, Di Mana Silapnya?

Surah At-Taubah yang mengandungi 129 ayat ialah surah Madaniyyah. Uniknya surah ini terletak pada permulaannya yang tanpa basmalah. Dikenali juga dengan nama "Baraah", surah ini banyak membicarakan tentang pemutusan perjanjian damai antara kaum muslimin dan kaum musyrikin seusai peperangan Tabuk. Sebab itulah tidak dibaca Basmalah pada awal surahnya kerana Basmalah melambangkan perdamaian dan kesejahteraan, walhal surah ini adalah manifestasi daripada bermula pertembungan fizikal yang sengit antara orang-orang Islam dan kafir.

Ada beberapa ayat dalam surah ini membincangkan tentang institusi terpenting dalam masyarakat Islam iaitulah institusi masjid. Allah memberikan 4 point utama berkenaan masjid untuk sama-sama kita renungi :

1. Orang yang fobia dengan masjid mewarisi sifat orang kafir.

مَا كَانَ لِلْمُشْرِكِينَ أَن يَعْمُرُواْ مَسَاجِدَ الله شَاهِدِينَ عَلَى أَنفُسِهِمْ بِالْكُفْرِ أُوْلَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ وَفِي النَّارِ هُمْ خَالِدُونَ 

"Tidaklah layak untuk orang musyrik itu memakmurkan masjid-masjid Allah sedang mereka mengakui bahawa mereka adalah orang kafir. Itulah orang yang sia-sia amal perbuatannya dan mereka itu kekal di dalam neraka" [Surah At-Taubah : 17].

Secara jelas Allah menyebut bahawa orang-kafir itu pasti tidak akan datang dan memakmurkan masjid kerana itulah perlambangan tentangan mereka terhadap Allah. Maka, jika orang Islam sendiri pun berat benar kakinya untuk melangkah ke masjid, apatah lagi untuk berlama-lama di masjid, besar kemungkinan hati mereka juga telah dijangkiti penyakit orang-orang kafir. 

Ini permasalahan yang sangat besar. Tambahan pula jika masjid cuma dikunjungi mengikut musim tertentu. Walhal masjid itulah rumah Allah dan di masjid itulah terhimpunnya segala keberkatan dan kebaikan.

2. Orang yang rajin menghidupkan masjid terhimpun padanya 5 sifat terpuji.

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللّهِ مَنْ آمَنَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاَةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ اللّهَ فَعَسَى أُوْلَـئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ الْمُهْتَدِينَ

"Hanyalah orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman Allah hari akhirat, mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut hanya pada Allah, maka merekalah golongan yang akan mendapat petunjuk.

Lihatlah betapa hebatnya orang yang menjadikan masjid sebagai keutamaan. Bukan sahaja pada mereka terhimpun 5 sifat mulia dan keutamaan, tetapi di akhirat kelak mereka akan mendapat lindungan bayang-bayang Allah kerana orang yang menghidupkan masjid, sudah pasti hatinya terikat dengan masjid. Setiap waktu solat ditunggunya dengan sabar. Setiap majlis ilmu dan zikrullah dihadirinya tanpa jemu.

3. Orang yang membina masjid kerana dunia mewarisi sifat orang munafik.

وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِّمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِن قَبْلُ ۚ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلَّا الْحُسْنَىٰ ۖ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ 

"Dan ada diantara orang munafik itu mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan kepada orang mukmin, demi kekafiran dan memecahbelahkan kesatuan orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah ; "Kami tidak mengkehendaki melainkan kebaikan" dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka adalah pendusta" [Surah At-Taubah : 107].

Inilah cabaran sebenar bagi orang yang membina masjid mahupun orang yang diberi amanah untuk mengisi masjid dengan perkara yang sepatutnya. Orang-orang munafik apabila mereka mendirikan Masjid Dhirar di Madinah, memang tujuan asalnya adalah untuk menyaingi Masjid Quba dan menimbulkan perpecahan di kalangan orang Islam. Harapan mereka, ramai orang yang akan berpaling dari mengunjungi Masjid Quba lalu terkenallah masjid mereka.

Masjid di negara kita "bersepah-sepah", tetapi tidak pernah penuh dengan jemaah samada ketika solat mahupun waktu di antara solat. Masjidnya juga besar dan tersergam indah. Di mana silapnya? Adakah kerana niat asal orang yang membina itu tidak ikhlas kerana Allah? Ataupun kerana masjid tidak diisi sebaik mungkin oleh pentadbirnya dengan program-program yang mampu menarik manusia?

Ada masjid yang langsung tidak mampu menambat hati jemaah untuk hadir kerana imam solatnya sudah terlalu tua dan bacaannya tidak cukup menarik dan sempurna. Ada pula masjid yang kos binaan dan perhiasannya sahaja sudah bisa menterbeliakkan mata jemaah tetapi sayangnya tidak diurus dan diisi dengan betul.

Ada masjid yang sanggup berhabisan beratus ribu ringgit demi lanskap dan hiasan dinding, tetapi apabila dicadang untuk menjemput penceramah hebat yang pastinya ramai followers, dikatakan ongkosnya tiada. Bencana apakah ini? Masjid yang mampu mengumpul berpuluh ribu ringgit sebulan hasil kutipan hari Jumaat, hanya mampu memanggil ustaz-ustaz tua dengan kos RM80 sekali kuliah.

Sepatutnya duit yang didapati oleh masjid, dilaburkan kesemuanya ke jalan Allah, demi menarik orang ramai ke masjid, bukan dikumpul lagak harta sendiri. Isilah ruang-ruangnya dengan majlis ilmu bersama orang alim yang tersohor. Hiasilah udaranya dengan bacaan merdu dan segar dari imam-imam muda yang boleh kita dapati di segenap pelusuk negara.

Angkatlah martabat seluruh pegawai masjid, imam dan bilal, siak dan noja dengan memberikan mereka gaji dan ganjaran yang lumayan. Mereka ini orang-orang yang menjaga waktu solat setiap manusia. Mereka dihormati penduduk di bumi, mereka dikenali penduduk di langit.

4. Binalah masjid dengan taqwa, isilah ruangannya juga dengan taqwa.

أَفَمَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَىٰ تَقْوَىٰ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ خَيْرٌ أَم مَّنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَىٰ شَفَا جُرُفٍ هَارٍ فَانْهَارَ بِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

"Maka apakah orang-orang yang mendirikan masjidnya atas dasar taqwa kepada Allah dan mengharapkan keredhaanNya itu lebih baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunan itu jatuh bersama-samanya ke dalam neraka jahannam? Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada orang yang zalim" [Surah At-Taubah : 109]

Akhirnya Allah meninggalkan kita dengan satu persoalan yang saya kira semua sudah faham dan mengerti apa jawapan yang sepatutnya. Masjid perlu dibina dan diisi dengan ruh. Masjid yang usang sekalipun, jika disemai dengan ilmu dan keihlasan, sudah pasti akan berjaya menarik manusia lebih dekat. 

Masjid adalah tamsilan sebuah negara dalam skala yang kecil. Pentadbir negara, jika beriman dan bertaqwa akan melahirkan sebuah negara yang makmur dunia dan akhirat. Pentadbir yang khianat boleh menyebabkan negara jadi muflis. Wang negara dirompak kiri dan kanan, sama halnya dengan tabung masjid yang boleh lesap dikebas AJK masjid.

Kita pula bagaimana? Jangan hanya mencari salah orang lain. Kita pun ada tugas kita sendiri iaitu mesti rajin ke masjid dan solat fardhu setiap waktu di masjid.

Allah memegang hati manusia. Kerja kita cuma mencari sebuah keihlasan. Selebihnya kita serahkan kepada Allah. Dan sudah pasti Allah maha mampu untuk menarik sesiapa sahaja datang ke rumahNya yang mulia.

















No comments:

Post a Comment