Sunday 6 September 2015

28 Ramadhan 1436H : Manusia Hidup Dengan Tujuan

Surah Al-Mukminun surah Makkiyyah yang terdiri daripada 118 ayat. Di akhir surah ini Allah bertanya kepada seluruh manusia satu soalan. Pada waktu yang sama Dia juga menempelak manusia yang leka dengan keseronokan dunia.

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ

"Adakah kamu semua menyangka, Kami jadikan kamu semua secara sia-sia dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?" [Surah Al-Mukminun : 115].

Ramai orang tidak tahu tujuan hidup. Kadang-kadang tidak pernah terfikir pun apa tujuan hidup mereka. Hidup untuk makankah, atau makan untuk hidupkah?

Ayat di atas jelas kepada kita bahawa :

1. Kita ini punya tujuan apabila dicipta oleh Allah.
2. Kita ini akan kembali kepada Allah pada suatu hari nanti.

Lalu apakah tujuan kita hidup?

1. Memberi kepada Allah sebagai hamba.

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

"Dan tidak Aku ciptaan manusia dan jin itu kecuali untuk mengabdi diri kepadaKu" [Surah Az-Zariyat : 56].

Inilah tujuan utama kita diciptakan dan hidup sebagai manusia. Penciptaan ini tidak sia-sia. Hidup ini mesti memberi. Nilai memberi yang paling ialah pemberian dari seorang hamba kepada tuannya. Ikhlas seikhlas mungkin, tidak semata-mata mengharapkan balasan.

Taat setaat mungkin, tanpa sebarang bantaha. Itu sifat semulajadi seorang hamba. . Hina bila dihina tuannya, mulia bila dipuji dan dimuliakan oleh tuannya. Dan tiada kebahagian hakiki bagi seorang hamba ialah apabila dia bebas dari penghambaan dan menjadi seorang yang merdeka.

Penghambaan kita sepenuh jiwa raga kepada Allah sifatnya sementara. Apabila tamat riwayat hidup di dunia, maka kita akan dihidangkan dengan dua kemungkinan; sama terus kekal sebagai hamba di dalam neraka atau bebas dan merdeka sebagai penghuni syurga. 

Jadi, pilihan di tangan kita. Tiada siapa yang boleh memaksa atau mempengaruhi proses penghambaan kita kepada Allah. Sendiri buat sendiri tanggung.

2. Memberi kepada manusia sebagai khalifah.

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat : Aku akan menjadikan khalifah di atas muka bumi. Berkatalah malaikat : Adakah Engkau ingin menciptakan di atas muka bumi sesuatu yang akan melakukan kerosakan dan menumpahkan darah? Sedangkan kami sentiasa bertasbih memujiMu dan mensucikanMu. Allah berkata : Sesungguhnya Aku lebih tahu apa yang kamu tidak tahu" [Surah Al-Baqarah : 30].

Manusia ini hidupnya juga untuk memberi kepada semua yang berada disekelilingnya. Orang yang paling baik ialah yang paling bermanfaat kepada orang lain. Tidak boleh sama sekali manusia hidup bersendirian dan mementingkan diri sendiri.

Itulah tugas seorang khalifah, untuk memakmurkan bumi ini dengan segala bentuk kebaikan. Bumi ini diwariskan oleh Allah hanya kepada hamba-hambanya yang soleh. Bagi yang nakal, sebenarnya tiada tempat untuk mereka di bumi yang terbentang luas ini.

وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِنْ بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ

"Dan Kami telah tuliskan dalam kitab Zabur selepas daripada Kami menulisnya di Lauh Mahfuzh, bahawasanya bumi ini hanya akan dipusakai oleh hamba-hambaKu yavg soleh" [Surah Al-Anbiya' : 105].

Itulah fitrah hidup manusia sehinggalah dia dipanggil menemui Allah, Tuhan seru sekelian alam. Samada mereka suka atau tidak, manusia akan dipaksa balik semula kepada pencipta yang menciptanya dengan dua tujuan itu tadi. 

Kematian itu sesuatu yang tidak bisa dimengertikan oleh setiap yang hidup. Pada setiap suratan kehidupan, sudah tentu telah tertulis tarikh kematian. Ianya kekal sebagai rahsia Allah. Tiada siapa yang tahu, bilakah ajalnya bakal bertamu.

Yang pasti, detiknya semakin menghampiri. Kadang-kadang ada petanda, kadang-kadang datangnya secara tiba-tiba. Apabila tiba saatnya nanti, tiada seorang pun manusia akan dapat melarikan diri.

Itulah yang kita panggil sebagai hakikat kehidupan. Mati itu satu kepastian. Ia tetamu yang tidak diundang, hadirnya tidak pernah kita alu-alukan. Mati tidak mengena usia atau latarbelakang kehidupan seseorang. Tua atau muda, miskin atau kaya, semuanya pasti melalui detik kematian.

Selepas kematian, barulah kehidupan yang kekal abadi bermula, semata-mata untuk memberi balasan kepada tujuan dan makna penciptaan manusia itu tadi.

Renung dan tenung ayat 39 sehingga 40 Surah An-Najmi dibawah sebelum kita melelapkan mata.

وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ

"Dan bagi manusia itu di hari akhirat, balasan bagi setiap perkara yang diusahakan" 

وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرَىٰ

"Dan setiap usahanya itu akan diperlihatkan kembali kepadanya"

ثُمَّ يُجْزَاهُ الْجَزَاءَ الْأَوْفَىٰ

"Kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang sempurna"

وَأَنَّ إِلَىٰ رَبِّكَ الْمُنْتَهَىٰ

"Dan kepada TuhanMu itulah tempat kesudahannya kamu".






No comments:

Post a Comment