Wednesday 2 September 2015

TRAVELOG TAWAU : 8 DIS 2014 : EPISOD 2.

ISLAM DAN MUSLIM DI SABAH : SAMADA LAMBAT BANGKIT DARI TIDUR ATAU TIDUR TERLALU LAMA KERANA KEASYIKAN BELAIAN.

Kajian dibuat, skala pertumbuhan gereja dan masjid di Sabah ialah 4:1. Sejauh mana kebenaran kajian itu saya tidak pasti kerana itu hasil sembang-sembang saya malam ini.

Melihatkan fenomena masjid yang kurang di Kunak ini, tidaklah segetir jemaah dan orang yang menghadirinya. Masih ada sinar dan ruang untuk Islam berkembang mekar di bumi Sabah. Platformnya sudah tersedia, cuma menunggu masa dan aktiviti untuk diisi oleh sesiapa saja yang merasakan bertanggungjawab.

Menurut Cikgu Laju, semangat ilmu dan beragama masyarakat Sabah masih 10 ke 20 tahun ketinggalan jika dibandingkan dengan masyarakat di semenanjung. Cuma sekarang ini perubahan baru mula dirasai kerana giatnya usaha dakwah beberapa kumpulan yang dipelopori oleh Cikgu Laju dalam bentuk yang lebih tersusun dan berstrategi.

"Mereka lambat bangun kot", ujar saya.

"Mereka bukan lambat bangun, tetapi mereka sudah lama diulit dibelai oleh perancangan musuh-musuh Islam", balas cikgu Laju.

Lantas beliau menunjukkan saya satu peta asal Borneo yang didapati di Muzium Sabah. Asalnya Sabah dikenali sebagai Sulu, mewakili bahagian yang diperintah oleh Kerajaan Sulu. Sulu pula sebenarnya adalah kawasan di bawah pemerintahan Khilafah Usmaniyyah di Turki. Bersebelahan Sulu pula adalah kerajaan Brunei yang jauh berlipat kali ganda lebih besar dari Brunei yang kita dapati hari ini.

Nampaknya Sabah atau Sulu telahpun melalui fasa di masa sejak kejatuhan empayar Turki Usmaniyyah, agama Islam dengan secara sengaja dipinggirkan dari budaya dan cara hidup orang Sabah.

Lalu, tugas siapa pula untuk mengembalikan Islam di bumi Sabah? Beberapa kerat tulang empat kerat pendokong-pendokong Islam seperti Cikgu Laju dan adiknya Cikgu Huri tidak mampu dan tidak bisa melaksanakannya. Dari sudut semangat, mereka mungkin bersemangat. Tapi semangat saja tidak cukup. Mereka perlukan orang-orang agama untuk mengisinya.

Datanglah ke Sabah - baca Kunak - aduhai agamawan-agamawan, tidak kira anda dikelas mana. Doktor falsafah, ustaz selebriti, lebai kampung atau apa saja. Datanglah ke Sabah untuk belajar memberi pada yang benar-benar berharap.

Tinggalkan sebentar polisi "berapa RM harga kamu" di sini kerana itu tidak relevan dan tergunapakai. Sematkan di dadamu "berapa RM dari masa dan keringatmu" yang kamu sedia infakkan demi sebuah akidah.

Masukkan dalam diari perancangan setiap daripada kamu, usaha memelihara agama di setiap medan tempur. Jangan hadkan usaha kamu pada tempat yang sedap dan selesa sahaja. Datanglah, bersusahlah sedikit demi Allah. Nescaya kamu akan menitiskan airmatamu kerana agama mereka mungkin mati kehausan asbab lambatnya kamu datang ke mari!


No comments:

Post a Comment