Wednesday 2 September 2015

DILEMA BERSEDEKAH : ANTARA SINDIKET DAN GOLONGAN LAYAK.

1.       Konsep sedekah dan siapa yang layak?

Konsep bersedekah secara amnya yang difahami dalam konteks masyarakat di Malaysia ialah apabila kita memberikan sesuatu kepada seseorang yang berhajat, tidak kira samada dalam bentuk wang ataupun barangan. Orang yang berhajat itu pula lebih sinonim dengan panggilan peminta sedekah.

Sebenarnya dari sudut fiqh, sedekah itu adalah setiap pemberian yang disertakan dengan niat semata-mata untuk mendekatkan diri dengan Allah dan mengharapkan pahala dan keredhaanNya. Aplikasinya pula tidak sekadar terbatas kepada pemberian wang atau barangan, tetapi mencangkupi juga perbuatan dan perkataan yang baik seperti bercakap dengan sopan, menghulurkan kemaafaan dan memberi senyuman.

Syed Qutb dalam mentafsirkan ayat 263 Surah Al-Baqarah yang bermaksud;

قَوْلٌ مَّعْرُوفٌ وَمَغْفِرَةٌ خَيْرٌ مِّن صَدَقَةٍ يَتْبَعُهَا أَذًى وَاللّهُ غَنِيٌّ حَلِيمٌ
"Perkataan yang baik dan pemberian maaf itu lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan hati peminta sedekah",

menjelaskan bahawa, "perkataan yang baik dan pemberian maaf juga adalah bentuk-bentuk sedekah yang boleh menggantikan fungsi sedekah dalam bentuk wang dan barangan".

Sabda Nabi saw,

 تَبَسُّمُك في وَجْه أَخِيك لك صدقة

Senyum kamu ke wajah saudaramu adalah sedekah [Hadith riwayat Tirmizi].

Sedekah pula terbahagi kepada 2 bahagian;

1. Sedekah wajib yang juga dikenali sebagai zakat. Pemberian sedekah dalam bentuk zakat mesti tertakluk kepada 8 golongan penerima zakat ataupun asnaf iaitu ;

     A. Fakir
     B. Miskin
     C. Pemungut zakat (amil)
     D. Muallaf
     E. Hamba
     F. Orang yang berhutang
     G. Tujuan ke jalan Allah
     H. Orang yang bermusafir

2. Sedekah sunat seperti derma, hadiah, sumbangan dan lain-lain. Pemberian sedekah dalam bentuk ini tidak tertakluk kepada mana-mana golongan penerima samada orang Islam atau orang bukan Islam tetapi keutamaan diberikan kepada orang Islam.

2.       Apa beza sedekah dan derma?

Derma termasuk dalam kategori sedekah yang sunat. Derma yang disertakan dengan niat beribadah dan mendekatkan diri dengan Allah sudah pastinya akan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh Allah ta'ala.

3.       Bolehkah seseorang yang tidak layak masuk dalam kategori sedekah dan seandainya dia dibelanja oleh kawan-kawannya, ayat itu disebut “aku sedekah” kata ko. Apa hukum dan kategorinya?
Kita sedia maklum untuk sedekah sunat, tidak ada kategori yang khusus bagi penerimanya. Jadi sekiranya seseorang membelanja kawan-kawannya makan atau minum dengan niat sedekah iaitu semata-mata mengharapkan keredhaan Allah, maka baginya pahala orang yang bersedekah.

4.       Ramai orang berlumba-lumba memberi sedekah  di bulan Ramadan ini sedangkan sah2 peminta sedekah itu terdiri dari sindiket, apa yang boleh dikategorikan “sedekah” begini?
Amalan bersedekah di bulan Ramadhan adalah amalan yang sangat baik dan terpuji. Ini adalah kerana, pemberi sedekah akan mendapat dua kelebihan iaitu pahala bagi sedekahnya dan ganjaran yang berlipat kali ganda kerana sedekah itu dilakukan dalam bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan dan tawaran istimewa dari Allah swt.

Persoalannya; apa hukumnya jika kita bersedekah kepada orang yang tidak benar-benar memerlukan ataupun ianya hanyalah suatu bentuk penipuan dan sindiket?

Sedekah yang asalnya tadi adalah sunat, boleh berubah hukumnya menjadi wajib sekiranya sedekah tersebut mesti dilakukan untuk menyelamatkan nyawa si peminta sedekah. Sedekah juga boleh menjadi haram, sekiranya kita tahu bahawa dengan hasil sedekah itu tadi, pemintanya akan menggunakannya untuk tujuan maksiat. Maka pada ketika itu, haram hukumnya untuk kita bersedekah.

Dalam keadaan peminta sedekah yang didalangi oleh sindiket, saya lebih suka mengambil jalan tengah iaitu bersangka baik sehinggalah kita benar-benar pasti bahawa ia adalah suatu sindiket untuk kepentingan sesebuah kumpulan atau individu. Pemberian sedekah dalam situasi begini insyaAllah masih mendapat pahala di sisi Allah dengan 2 syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah ayat 264 iaitu ;

1. Tidak mengungkit-ungkit
2. Tidak menyakiti perasaan orang yang meminta sedekah

Sekiranya kita benar-benar yakin bahawa itu adalah sebuah sindiket, maka kita berhak untuk menolak permintaan tersebut dengan cara yang paling baik. Sekiranya perlu, kita boleh menasihatkan peminta sedekah itu untuk bertaubat dan berhenti daripada membuat pekerjaan yang sia-sia itu.

5.       Apa ganjaran diterima pemberi wang ini seandainya apa wang yang dia berikan itu bukan kategori layak penerimanya?
Dalam bentuk apa sekalipun, Allah tetap memandang dengan sifat Ar-RahmanNya setiap pemberian sedekah yang ikhlas keranaNya. Firman Allah dalam Surah Al-Zalzalah ayat 7 dan 8 yang bermaksud :

فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَه    وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَه
"Barangsiapa yang berbuat kebaikan walaupun sebesar zarah, Allah akan melihatnya dan memberi pahala. Begitu juga barangsiapa yang berbuat kejahatan walaupun sebesar zarah, maka Allah akan melihatnya dan memberi balasan".

Dalam ayat yang lain pula, Allah menyuruh kita melayan dengan baik setiap orang yang meminta sesuatu daripada kita. Firman Allah dalam Surah Ad-Dhuha ayat 10 yang bermaksud ;

وَأَمَّا السَّائِلَ فَلا تَنْهَرْ
"Dan terhadap orang yang meminta-minta maka janganlah kamu mengherdiknya".

6.       Mana lebih afdal, berikan sebahagian wang gaji ke pusat zakat atau beri sendiri pada orang yang kita nampak di tepi jalan?

Sedekah wajib dalam bentuk zakat boleh kita berikan sendiri kepada asnaf yang berhak jika kita tahu siapa dan di mana mereka. Ini boleh mempercepatkan bantuan tersebut sampai dan dimanfaatkan oleh mereka.

Sebagai contoh zakat fitrah. Kita boleh memberikan sendiri zakat tersebut kepada mana-mana asnaf yang berhak pada bila-bila masa dalam bulan Ramadhan supaya akhirnya mereka dapat memanfaatkan zakat tersebut sebagai persediaan menyambut hari raya aidil fitri.

Sekiranya kita tidak mampu memberinya sendiri kepada asnaf yang berkenaan, maka jalan terbaik ialah menyalurkannya kepada mana-mana pusat zakat. Sekiranya ia dibuat melalui potongan gaji, cara tersebut sebenarnya bagus untuk mengelakkan diri kita dari terlepas pandang kewajiban memberi zakat terutamanya melalui pendapatan bulanan.

7.       Nyatakan hadis2 kelebihan org yang suka bersedekah ini
Kelebihan orang yang suka bersedekah terlalu banyak seperti yang disebut di dalam Al-Quran dan Al-Hadith. Antaranya;

1. Pahala sedekah berlipat kali ganda.

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّئَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاء وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

"Perumpamaan orang yang mengeluarkan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai. Pada tiap-tiap tangkai pula akan tumbuh seratus biji. Allah melipat gandakan ganjaran bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Allah itu maha luas ilmu pengetahuanNya" [Surah Al-Baqarah : ayat 261].

2. Allah akan menggantikan setiap sedekah yang diberikan.

وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

"Dan bagi setiap apa yang kamu berikan, maka Allah pasti akan menggantikannya (dengan yang lebih baik. Dan dialah sebaik-baik pemberi rezeki" [Surah Saba' : ayat 39]

3. Pahala sedekah jariah tetap segar berjalan walaupun pemberinya telah meninggal dunia.

إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية، أو علم ينتفع به، أو ولد صالح يدعو له

"Bila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah seluruh amalannya kecuali 3 perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya" [Hadith riwayat Muslim].

4. Mendapat naungan bayang-bayang dari Allah pada hari akhirat.

رجل تصدق بصدقة فأخفاها، حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه
"Seorang lelaki yang bersedekah, lalu disembunyikan sedekah itu sehinggakan tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya" [Hadith riwayat Bukhari dan Muslim].

5. Hati akan menjadi lembut.

إذا إردت تليين قلبك فأطعم المسكين، وامسح على رأس اليتيم
"Jika kamu mahu hati menjadi lembut, maka berikah makan kepada fakir miskin dan usaplah kepala anak yatim" [Hadith riwayat Ahmad]


8.       Bagaimana dengan wakaf? Wish one lebih besar ganjaran pahalanya, sedekah, derma atau wakaf?

Wakaf ialah salah satu bentuk sedekah dengan menyerahkan harta yang kita miliki untuk kegunaan umum dengan niat sebagai ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah swt. Harta yang diberi itu akhirnya menjadi milik Allah dan bukanlah milik individu tertentu.

Apabila kita melihat wakaf sebagai satu bentuk sedekah, maka tidak layak untuk kita membandingkan manakah ganjaran yang lebih besar antara wakaf, sedekah atau derma. Mungkin kita boleh kategorikan wakaf ini sebagai satu sedekah jariah yang pahalanya akan dinikmati oleh si pemberi wakaf sehingga ke hari kiamat, selagi mana harta yang diwakafkan itu diguna dan dimanfaatkan oleh orang ramai.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment