Wednesday 2 September 2015

TRAVELOG PULAU PERHENTIAN : 14 SEP 2013

Saya kira antara perkara yang termasuk dalam perbuatan "birrul walidain" ialah apabila kita sentiasa mencari jalan untuk menggembirakan hati kedua ibu bapa kita.
Allah swt mengajar kita melalui firmannya dalam surah al-isra' bahawa:
1. Derhaka kepada ibu bapa adalah dosa besar kedua selepas syirik kepada Allah swt.
2. Kita hendaklah berbuat baik dalam apa cara sekalipun kepada keduanya.
3. Semakin meningkat usia mereka, semakin tinggi keperluan berbuat baik kepada mereka.
4. Tidak boleh berkata tidak kepada mereka (kecuali dalam perkara maksiat kepada Allah)
5. Tidak boleh meninggikan suara kepada mereka, apatah lagi hendak mengherdik mereka.
6. Wajib berdoa kepada Allah, agar Allah mengasihi mereka sepertimana keduanya mengasihi kita sewaktu kita masih kecil.
Atas saranan wahyu ini, alhamdulillah percutian kami sekeluarga kali ini juga disertai oleh mama dan papa saya Nik Hamidah Hj. Ibrahim dan Hj. Mohamed Basri Hj. Yunus. Saya juga cuba mempelawa ibu mertua saya Hjh. Embat Muda tapi malangnya beliau tidak berkesempatan.
Pesan saya kepada semua, marilah kita merebut segala kesempatan dan peluang yang disediakan oleh Allah swt bermodalkan ibu bapa kita.
Nabi saw pernah bersabda; celakalah bagi anak yang kedua ibu bapanya tidak menjadi asbab baginya masuk ke syurga Allah. Mungkin inilah peluang kita. Hendak berinfak, mungkin harta kita tidak seberapa. Hendak beribadat sepanjang masa, mungkin kudrat kita tidak sekuat mana.
Jadi, ibu dan bapa kitalah modal kita. Jika seorang anak yang hafaz al-quran boleh menjadi asbab bagi ibu dan bapanya masuk ke syurga, dalam waktu yang sama ibu dan bapa juga boleh menjadi modal untuk seorang anak masuk ke syurga.
Marilah kita berazam, semoga kita bukan sahaja tidak akan bercakap kasar dengan ibu bapa kita. Tapi kita juga sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menggembirakan mereka. Masa kita di dunia tidaklah panjang mana. Esok atau lusa, mungkin mereka dijemput oleh Allah menghadapNya. Mungkin juga kita yang akan pergi dahulu.
Sesungguhnya redha Allah terletak pada redha kedua ibu dan bapa kita.
Allahummarzuk walidaiyya jannatakumul firdausil a'la ya rabbal 'alamin.

No comments:

Post a Comment