Sunday 6 September 2015

1 Ramadhan 1436H : Tujuh Ayat Yang Diulang-ulang.

"Dan sesungguhnya kami telah berikan kepadamu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan Al-Quran yang agung" [Surah Al-Hijr : 87]

Tidak ada seorang pun Muslim yang tidak kenal Al-Fatihah. Walau seteruk mana pun kemahiran membaca Al-Quran seseorang itu, Surah Al-Fatihah pasti boleh dibacanya. Meskipun tidak tahu mengeja, sudah pasti dapat dihafaznya. Begitulah hebatnya Al-Fatihah.

Semua surah dalam Al-Quran mendapat namanya daripada perkataan yang terdapat dalam mana-mana ayat dalam surah tersebut. Ada 114 surah kesemuanya. Ambil saja mana-mana surah, mesti kita akan dapati kebenaran fakta yang saya sebutkan di atas.

Kecuali 3 surah dalam Al-Quran yang namanya tidak kita dapati daripada mana-mana ayatnya. Surah-surah itu ialah:

1. Al-Fatihah
2. Al-Anbiya'
3. Al-Ikhlas

Ada orang yang bertanya kepada saya ;

Surah pertama yang diturunkan ialah Surah Al-'Alaq. Mengapa surah Al-Fatihah pula yang diletak pada permulaan Al-Quran, bukan Surah Al-'Alaq?

Saya masih ingat Al-Marhum guru saya Ustaz Mohd Nor Besar pernah menyebut tentang ini. Katanya ;

"Susunan surah dalam Al-Quran adalah Amrun Tauqifi ataupun perkara yang terhenti atas arahan Nabi Muhammad saw. Perintah Nabi saw pula adalah inspirasi wahyu daripada Allah swt.

Surah Al-Fatihah diletak pada pembukaan Al-Quran bukan kerana namanya Al-Fatihah. Tetapi Surah Al-Fatihah mendapat namanya kerana mengikut turutan ia terletak di awal Al-Quran. Fahamkan betul-betul.

Sama juga halnya jika kita membina rumah. Sinki yang letaknya di dapur atau di dalam bilik mandi, tetap juga di situ tempatnya. Tidak pula kita meletakkannya di bahagian depan pintu rumah kerana itu barang pertama yang kita beli!"


Ada apa dengan Al-Fatihah? Al-Fatihah bukan sekadar surah biasa. Al-Fatihah ibu Al-Quran, Al-Fatihah juga ibu segala doa. Al-Fatihah adalah satu-satunya doa yang akan terus dijawab oleh Allah swt.

No comments:

Post a Comment