Sunday 6 September 2015

9 Ramadhan 1436H : Orang Bertaqwa Orang Yang Pro-Aktif


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan carilah jalan untuk mendekatkan diri kepadaNya serta berjihadlah di jalanNya moga-moga kamu berjaya" [Surah Al-Maidah : 35].

Surah Al-Maidah adalah surah Madaniyyah dan mengandungi 106 ayat. Ayat ke 35 di atas mengandungi 3 perintah:

1. Bertaqwalah kepada Allah
2. Carilah jalan untuk dekat dengan Allah
3. Berjihadlah di jalan Allah

Jika diperhatikan dalam Al-Quran, Allah selalu mengingatkan manusia tentang taqwa dan kewajipan untuk mencapainya. Orang yang bertaqwa ialah orang yang sangat istimewa. Orang yang bertaqwa ialah orang yang berjaya. Orang yang bertaqwa ialah orang yang sangat dekat dengan Allah. Orang yang paling mulia di sisi Allah pula ialah orang yang paling tinggi nilai ketaqwaannya.

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

"Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu ialah orang yang bertaqwa" [Surah Al-Hujurat : 13]

Al-Quran itu petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Orang Islam yang tidak bertaqwa tidak akan merasakan Al-Quran itu panduan hidup mereka walaupun mereka membacanya setiap hari. Maknanya, ada sesuatu yang tidak kena pada diri kita jika kita selalu membaca Al-Aquran tetapi tahap ketaqwaan kita kepada Allah tidak meningkat.

Seawal ayat yang kedua lagi Allah sudah menjelaskan hal tersebut:

 ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ

"Itulah kitab Al-Quran yang tidak ada keraguan padanya yang menjadi petunjuk hanya bagi orang-orang yang bertaqwa" [Surah Al-Baqarah : 2].

Allah akan sentiasa membimbing orang yang bertaqwa kepadaNya. Dengan taqwa itu juga, Allah akan mengampunkan dosa-dosaNya. Tiada apa yang lebih bernilai daripada bimbingan Allah dan pengampunan terhadap segala dosa olehNya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَتَّقُوا اللَّهَ يَجْعَلْ لَكُمْ فُرْقَانًا وَيُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ۗ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

"Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu bertaqwa kepada Allah, Allah akan menjadikan bagi kamu boleh membezakan antara yang benar dan yang salah serta akan diampunkan dosa-dosa kamu. Sesungguhnya Allah itu mempunyai kurniaan yang amat hebat" [Surah Al-Anfal 29].

Selain daripada bertaqwa dengan cara proaktif memikirkan pelbagai cara untuk mendekatkan diri kepada Allah dan berjihad dijalanNya, banyak lagi cara yang Allah tunjukkan di dalam Al-Quran untuk manusia menjadi orang yang bertaqwa. Sebagai contoh :

1. Mengingati mati dan berbekal untuknya.

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ 

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan sentiasa memerhatikan apa yang telah kamu lakukan untuk hari esok selepas kematian kamu" [Surah Al-Hasyr : 19].

2. Bercakap perkara yang benar dan baik.

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu bertawqa kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar" [Al-Ahzab : 70].

3. Bahkan puasa juga boleh menyebabkan kita bertaqwa kepada Allah.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana orang-orang yang terdahulu daripada kamu moga-moga kamu bertaqwa" [Surah Al-Baqarah : 183].

Sekarang, terpulanglah kepada kita untuk sama-sama merenung apa yang sebenarnya kita cari dalam kehidupan dunia yang singkat ini. Kehidupan yang sementara ini, cuma sedetik daripada waktu yang dipinjamkan oleh Allah kepada kita. Apa yang terpenting ialah untuk kita bersiap siaga menempuh kehidupan akhirat yang tiada penghujungnya.

Sayugia marilah kita menyediakan bekalan. Dan sebaik-baik bekalan itu - juga - adalah taqwa!

وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ ۚ وَاتَّقُونِ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ 

"Sediakanlah bekal dan sesungguhnya bekalan yang terbaik untuk akhirat ialah taqwa. Bertaqwalah kepadaku wahai yang mempunyai akal fikiran" [Surah Al-Baqarah : 197].























No comments:

Post a Comment