Wednesday 2 September 2015

BACA AL-QURAN! JIKA TIDAK HATI MENJADI KERAS.



أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا - النساء ٨٢

Tidak pernahkah mereka duduk merenung ayat-ayat Al-Quran?  Kalaulah Al-Quran itu bukan datang dari Allah, nescaya mereka akan dapati sangat banyak percanggahan antara satu ayat ke satu ayat yang lain.

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا - محمد ٢٤

Tidak pernahkah mereka duduk merenung ayat-ayat Al-Quran? Atau hati mereka telah pun terkunci rapat.

Dalam Al-Quran, hanya terdapat 2 tempat ini sahaja, ayat yang bermula dengan lafaz افلا يتدبرون القران . Yang pertama dalam surah An-Nisa' ayat 86 dan yang kedua dalam surah Muhammad ayat 24.

Kedua-dua surah ini adalah surah Madaniyyah iaitu surah yang diturunkan selepas hijrah Nabi (bacalah selawat) ke Madinah Al-Munawwarah. Secara logiknya sepatutnya begitulah. Untuk menjawab persoalan adakah sudah habis diteliti maksud ayat-ayat Al-Quran, Al-Quran itu mesti terlebih dahulu sudah habis atau sebahagian besarnya sudah selesai diwahyukan Allah kepada Nabi Muhammad (bacalah selawat).

Banyak perintah, pengajaran dan amaran yang boleh kita ambil daripada 2 ayat ini.

1. Bila Allah bertanya; adakah tidak kita tadabbur (teliti) ayat-ayat Al-Quran, maka ini sebenarnya pertanyaan berbentuk perintah. Maknanya kita WAJIB kita meneliti setiap patah perkataan dan ayat Al-Quran untuk diambil isi kandungannya, diamalkan perintahnya dan ditinggal larangannya.

2. Bagaimana bisa kita meneliti jika kita tidak membacanya? Maka impliedly, Al-Quran juga WAJIB kita baca. Bukan sekali, bukan 2 kali. Tetapi setiap masa kerana Al-Quran itu sifatnya "dibaca". Ajaibnya Al-Quran, makin banyak kali dibaca, makin banyak perkara baru yang kita akan temui.

3. Ayat yang pertama di atas adalah asas keimanan kepada Al-Quran iaitu dalam 6236 ayat yang terdapat dalam Al-Quran, kita akan dapati keharmonian di antara satu sama lain. Ini bukti Al-Quran itu datang dari Allah. Sekali lagi, hanya orang yang rajin membaca Al-Quran saja yang dapat merasai keindahan ini.

4. Ayat yang kedua di atas pula memberi amaran kepada sesiapa yang langsung tidak boleh mengambil pengajaran dari Al-Quran, hati mereka sebenarnya sudah mati terkunci. Mengambil pengajaran ini boleh dilihat dari banyak sudut. Antaranya yang paling utama ialah mengamalkan segala perintah Al-Quran, meninggalkan segala larangan Al-Quran, merasai pelbagai keajaiban Al-Quran (اعجاز القران) dari sudut bahasa, ilmu dan lain-lain.

Jadi, marilah sama-sama kita jadikan amalan membaca Al-Quran sebagai satu rutin dan menelusuri maknanya satu persatu. Jika kita malas membaca Al-Quran, kita tidak akan dapat meneliti maksudnya. Jika kita tidak dapat meneliti maksudnya, kita tidak akan dapat mengambil isi kandungannya. Jika kita tidak dapat mengambil isi kandungannya, hasilnya hati kita akan terkunci.

Jika hati kita telah terkunci, kita akan rasa malas untuk membaca Al-Quran. Jika kita malas membaca Al-Quran....

Sebenarnya, ia merupakan satu 'circle' :

Bila kita malas baca Al-Quran --------- hati kita akan terkunci.

Bila hati kita terkunci ----------- kita jadi malas baca Al-Quran.

SELAMAT BERFIKIR!

No comments:

Post a Comment