Wednesday 2 September 2015

PERNIAGAAN : UNTUNG DUNIA UNTUNG AKHIRAT.

Selain daripada makan gaji, berniaga juga merupakan salah satu pilihan sumber pendapatan bagi manusia. Ramai orang suka berniaga. Tambahan pula di zaman moden ini, perniagaan tidak semestinya secara bertemu muka tetapi boleh dilakukan secara atas talian. Orang yang bakatnya besar dalam perniagaan, tidak kira berapa pun usianya akan memperolehi untung yang lumayan, jauh lebih baik dari sekadar bekerja makan gaji.

Ada banyak tempat dalam Al-Quran Allah menyebut tentang perniagaan dan kaitannya dengan keuntungan. Sebagai contoh dalam Surah Fathir ayat ke 29 :

"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat, serta menafkahkan sebahagian dari rezeki yang kami anugerahkan kepada mereka secara diam-diam atau terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan rugi".

Maksudnya, matlamat daripada sebuah perniagaan sebenarnya ialah untuk mengaut keuntungan. Berapa jumlah keuntungan yang dibuat dalam perniagaan bukanlah menjadi isu dari sudut Syariah. Tetapi bagaimana cara keuntungan dihasilkan itulah menjadi persoalan yang utama.

Di sinilah letaknya tahap moral bagi peniaga. Walaupun Islam memberikan kelonggaran dalam menentukan kadar keuntungan dalam sesebuah perniagaan, ia juga menitikberatkan perasaan kasih sayang dan bertimbang rasa. Oleh itu, walaupun kadang-kadang untungnya terpaksa dikurangkan, tetapi ia menjadi pahala di sisi Allah atas dasar kemurahan hati si peniaga.

Untung tidak semestinya bersifat kewangan tetapi mungkin bersifat pulangan yang memberi faedah kepada pemilik perniagaan tersebut. Hal ini disokong sendiri oleh Allah Ta'ala dalam firmanNya dalam Surah As-Sof ayat ke 10. Keuntungan dalam ayat tersebut bukan lagi bersifat kewangan, tetapi faedah dan balasan baik iaitu pelepasan daripada api neraka :

"Wahai orang-orang yang beriman, mahukan kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?".

Nabi Muhammad saw sendiri hidup dalam keluarga yang terlibat dalam perniagaan secara langsung. Ia bermula dengan bapa saudaranya Abu Talib yang terkenal sebagai seorang pedagang. Baginda saw pernah membantu bapa saudaranya itu berniaga di Syam ketika Baginda saw menumpang kasih di bawah jagaan Abu Talib selepas kematian datuknya Abdul Mutholib.

"Nabi saw pernah ditanya ; Apakah pekerjaan yang paling baik? Jawab Baginda saw : Pekerjaan yang dilakukan oleh seseorang dengan tangannya dan setiap jual beli yang mabrur" [Hadith riwayat At-Thobrani].

Tidak cukup dengan itu, Rasulullah saw juga pernah terlibat menguruskan perniagaan Khadijah ra yang akhirnya membawa Baginda saw ke jinjang pelamin dengan menjadikan Khadijah ra sebagai isterinya. Khadijah ra tertarik dengan kebolehan Rasulullah saw dalam menguruskan perniagaan serta sifat amanahnya yang sentiasa dihormati dan dikagumi oleh semua.

2 sifat tersebut iaitu berkebolehan dan amanah merupakan sifat ahli perniagaan yang berjaya. Kerja yang dilakukan oleh seseorang yang berkebolehan dan amanah akan menghasilkan natijah yang terbaik dan selayaknya dihargai dengan balasan keuntungan dan sebagainya. Hal yang sama pernah terjadi kepada rasul-rasul terdahulu.

Sebagai contoh Allah merakamkan 2 sifat ini dalam kisah Nabi Musa as sebagaimana yang terrmaktub dalam Surah Al-Qosos ayat ke 26 :

"Salah seorang anak perempuan Nabi Syuaib as berkata : Wahai bapaku, ambillah dia (Musa as) sebagai pekerja, sesungguhnya orang yang paling baik untuk diambil bekerja ialah orang yang kuat (berkebolehan) lagi amanah".

Sebaliknya, Allah melaknat keras peniaga-peniaga yang curang dan tidak amanah dalam perniagaannya. Dalam Surah Al-Muthoffifin ayat pertama sehingga ketiga, Allah berfirman :

"Kecelakaanlah besarlah bagi orang-orang yang curang. Iaitu orang-orang yang apabila menerima timbangan daripada orang lain, mereka minta dipenuhi. Apabila mereka menimbang untuk orang lain pula, mereka mengurangi".

Inilah perbezaan besar antara seorang peniaga yang mencari keredhaan Allah terlebih dahulu dengan seorang peniaga yang mencari keuntungan duniawi semata-mata. Apabila nafsu diletakkan dihadapan sebagai matlamat, maka seseorang peniaga itu sanggup berbuat apa sahaja asalkan keuntungan menjadi miliknya yang mutlak, walaupun dalam keadaan menzalimi orang lain.

"Peniaga yang jujur dan amanah akan berada bersama para nabi, siddiqin dan syuhada'" [Hadith riwayat Muslim].

Sebaliknya bagi peniaga yang mencari keuntungan di dunia dan ganjaran yang besar di akhirat sekaligus, mereka akan lebih berhati-hati dalam perniagaan mereka. Ini termasuklah dalam perkara-perkara yang menentukan sah atau batalnya sesebuah transaksi perniagaan mereka itu. Dalam bahasa moden pada hari ini, transaksi begini dikenali transaksi yang patuh Syariah.

Sebenarnya perniagaan itu luas konsep dan aplikasinya. Ia tidak terhad kepada perniagaan yang berbentuk jual beli semata-mata. Tetapi perniagaan itu boleh juga berbentuk sewa-menyewa, pelaburan, perkongsian, upah dan lain-lain. Walau apa pun akad yang digunakan dalam sesebuah perniagaan, ia tidak akan lari daripada matlamat asalnya iaitu mengaut keuntungan.

Perniagaan seringkali dikaitkan dengan risiko. Biasanya, semakin tinggi risiko, maka semakin tinggi pula anggaran keuntungan yang akan capai oleh seseorang peniaga. Sebab itulah dalam perniagaan yang mudah dan terus seperti jual beli, untungnya lebih rendah daripada perniagaan yang melibatkan risiko yang lebih tinggi seperti pelaburan, perkongsian dan sebagainya. Ini sudah menjadi seperti satu adat dan kelaziman.

Apabila bercakap tentang untung daripada perniagaan, kita tidak boleh lari dari 2 kemungkinan iaitu samada untung itu terhasil daripada cara yang menepati Syariah atau sebaliknya. Biasanya, untung yang tidak patuh Syariah ini pula ada hubungkaitnya dengan salah satu dosa besar iaitu riba.

"Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba" [Surah Al-Baqarah : 275].

Sebab itu jika kita perhatikan, perniagaan dalam Islam itu pelbagai bentuk dan sifat, supaya akhirnya kita tidak membuat keuntungan dengan cara yang salah. Pada zaman jahiliyyah, selain daripada urusniaga jual beli yang menipu, masyarakat jahiliyyah juga membuat keuntungan melalui hasil bunga daripada pinjaman yang diberikan kepada orang yang memerlukan.

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta benda di antara kamu dengan cara yang salah, kecuali ada perniagaan yang kamu redha meredhai antara satu sama lain" [Surah An-Nisa' : 29]

Untuk berbicara secara terperinci tentang pelbagai akad perniagaan dan ciri-ciri patuh Syariahnya, sudah tentu ia memerlukan perbincangan yang panjang dan mendalam. Tetapi sebagai panduan di sini mungkin kita boleh mengambil beberapa ciri-ciri khusus yang biasanya menjadi faktor halal dan haramnya sesebuah perniagaan itu.

1. Sifat umum sesebuah perniagaan itu mestilah patuh Syariah. Ini bermaksud barangan yang diperniagakan itu mestilah sesuatu yang halal dan memberi manfaat. Sebagai contoh dalam jual beli, haram hukumnya berjual beli barangan yang haram dan memudharatkan.

2. Tujuan sesebuah perniagaan itu juga mestilah sesuatu yang patuh Syariah. Sebagai contoh, sifat asalnya mungkin perniagaan menyewa rumah. Tetapi kerana sewaan itu digunakan pada benda-benda yang haram seperti kegiatan pelacuran, perjudian dan sebagainya, maka perniagaan berasaskan sewa itu tadi juga menjadi haram.

3. Akad sesuatu perniagaan mestilah jelas. Ini kerana, setiap akad yang berbeza akan menghasilkan kesan dan tanggungjawab yang berbeza juga bagi semua pihak yang terlibat dalam perniagaan tersebut. Transaksi jual beli berlainan sifatnya dengan transaksi sewaan. Begitu juga transaksi pelaburan, sangat berbeza dengan transaksi perkongsian. Kadang-kadang, akad yang diguna juga tidak melambangkan transaksi yang dimeterai oleh semua pihak yang terlibat.

4. Sekiranya perniagaan itu melibatkan jual beli, maka barangan yang menjadi subjek jual beli mestilah sesuatu yang wujud. Tidak sah hukumnya menjual sesuatu yang tidak wujud. Penjual juga mesti memiliki secara mutlak barangan tersebut sebelum daripada menjualnya kepda pembeli. Pemilikan mutlak ini boleh samada secara hakiki atau maknawi. Pada masa yang sama, harga jualan juga mestilah sesuatu yang telah disepakati dan tidak boleh berubah-ubah.

5. Dalam perniagaan yang melibatkan pelaburan, modal dan untung tidak boleh dijamin. Banyak perniagaan yang moden sekarang ini bukan saja menjamin modal tetapi juga keuntungan. Ini menyalahi Syariah dan boleh menyebabkam perniagaan sebegini tidak patuh Syariah. Dalam pelaburan, jika ada untung, maka keuntungan itu dibahagikan mengikut ratio persetujuan awal. Manakala rugi pula ditanggung oleh pemodal.

6. Jika perniagaan itu melibatkan perkongsian, maka untung dan rugi akan ditangguang bersama oleh semua pemodal. Keuntungan akan dibahagikan mengikut ratio persetujuan awal manakala kerugian pula akan ditanggung berdasarkan bahagian modal masing-masing.

7. Dalam sewaan, tanggungjawab menjaga penyelenggaraan aset yang disewakan itu terletak di tangan pemilik aset. Sebagai contoh rumah yang disewakan adalah menjadi tanggungan dan tanggungjawab sepenuhnya pemilik, bukan penyewa. Oleh itu jika terdapat kerosakan yang bukan dilakukan oleh penyewa, maka pemilik perlu bertanggungjawab untuk memulihkannya. Pemilik juga bebas untuk menaikkan kadar sewa dengan syarat memaklumkan terlebih dahulu kepada penyewa.

Mutakhir ini pula wujud pelbagai skim perniagaan yang boleh mengelabui mata masyarakat. Bermacam-macam pelaburan yang dijamin modal dan untung yang berlipakali ganda sering ditonjolkan bersama imej Islamik dengan menggunakan istilah-istilah bahasa arab. Ini adalah sangat merbahaya. Ia bukan sahaja berisiko tinggi dari sudut ekonominya, bahkan ia juga dikhuatiri boleh menjerumuskan para pelaburnya ke dalam gejala riba yang sangat besar dosanya.

Demikianlah antara perkara-perkara asas yang penting dalam perniagaan yang mesti diketahui oleh setiap orang Islam yang berniaga. Selain dari perkara di atas ada 2 lagi unsur penting yang perlu dijaga supaya perniagaan yang dijalankan itu halal dan "bersih" dari awal sehingga ke akhirnya :

1. Akaun urusniaga perniagaan janganlah pula melibatkan akaun bank secara konvensional. Sebarang pembiayaan modal pusingan juga mesti berlandaskan Syariah. Ini kerana asas bagi perbankan konvensional itu adalah riba. Riba itu pula ialah antara dosa besar yang sangat terkutuk.

2. Kewajiban berzakat perniagaan jangan pula diabaikan. Jika kita boleh membayar cukai pendapatan, maka zakat pula lebih lagi utama bagi seseorang peniaga muslim. Ini sangat penting untuk menjamin kesinambungan perniagaan yang berkat dari dunia sehingga ke akhirat. Peniaga muslim yang berjaya sepatutnya bersyukur kerana dengan pembayaran zakat tersebut, ia bukan saja akan membantu meningkatkan taraf hidup para asnaf zakat, tetapi juga akan menjadi sedekah jariah baginya di hari akhirat kelak.

"Dan (berjayalah) orang-orang yang mengeluarkan zakat" [Surah Al-Mukminun : 4]

------------------

No comments:

Post a Comment