Wednesday 2 September 2015

DATO' SHARIFAH AINI DALAM INGATAN : 7 JULAI 2014

Sambil duduk mengulangbaca ayat-ayat yang akan dibaca dalam solat terawih malam ini, saya kadang-kadang menekan ipad mini di depan saya mencari apa sahaja berita dan gambar berkaitan kematian Biduanita Negara pujaan ramai Dato' Sharifah Aini. Antara yang paling mengesankan hati saya adalah gambar anaknya Aliff mengimamkan solat jenazahnya.
Saya kira itu adalah hasil pelaburan Kak Pah yang sebenar; melahirkan anak yang soleh yang berupaya untuk mendoakan kepadanya nanti. Tidak perlu kalut mencari imam masjid, tidak perlu risau mengumpul jemaah masjid. Cukup dengan anak hasil keturunannya sendiri. Tiada yang lebih membahagiakan seorang ibu apabila anaknya sendiri yang mengetuai solat jenazah dan memimpin jemaah untuk berdoa bagi keselamatannya di alam kubur.
Mungkin Kak Pah tidak akan pernah ingat kepada saya. Tetapi saya pernah beberapa kali bersama beliau dalam beberapa program talk show dan persembahan pentas ketika saya aktif bernasyid suatu ketika dahulu, sekitar tahun 1997 - 1999. Ketika itu Kak Pah muncul dengan album Yayadan dan saya bersama beberapa rakan dalam Harakat Madani dan Rabbani juga bernaung di bawah syarikat penerbitan album yang sama iaitu EMI. Kerana album kami dikeluarkan pada waktu yang sama, kami telah bergerak dalam siri promosi album dalam banyak program yang sama juga.
Saya ketika itu masih menuntut di Darul Quran. Kak Pah pula seorang yang berwawasan tinggi dalam memberi pendidikan kepada anaknya Alif. Beliau selalu berkongsi cita-citanya untuk melihat Alif berjaya dalam bidang agama. Beliau juga suka dan minat melihat orang yang menghafaz Al-Quran. Tidak hairanlah jika sekarang beliau mempunyai ramai anak angkat yang terdiri dari para huffaz al-quran.
Kepada ibu bapa, jangan sesekali kita memandang rendah pendidikan agama anak-anak kita. Kepada anak-anak pula, jika sekiranya ibu bapa kita terlepas pandang soal ini ketika masih kecil, masanya belum terlambat untuk kita insaf dan mula memperbaiki dan melengkapkan diri.
Pendidikan agama bukan sekadar tahu solat dan puasa untuk diri sendiri, tetapi pendidikan agama yang sebenar ialah apabila kita dapat menguasai sesuatu yang asas, yang patut dan semestinya dikuasai oleh seorang individu. Sebagai contoh, urusan sepenting pengurusan jenazah bermula dari memandikan, mengkafankan, mensolatkan dan menurunkan ke liang lahad serta memtalkinkan jenazah sepatutnya bisa diuruskan oleh anak-anak sendiri. Inilah sebenarnya nilai kasih dan sayang anak-anak kepada ibu atau bapanya. Segala kekurangan dan aib jenazah juga akan kekal rahsia di kalangan anak-anak tanpa perlu orang lain mengetahuinya.
اللهم اغفر لها وارحمها وعافها واعف عنها

SERI DEWI MALAM
Seri dewi malam
Tabir gerbang alam
Jika kawanku yang setia
Simpankanlah rahsia
Janjiku dan dia
Inilah cubaan
Inilah dugaan
Kasih yang sejati disimpan
Yang palsu dilahirkan semoga berjaya
Kanda suka bergembira
Kanda senang berketawa
Ria namun hatiku luka
Istana besar sebagai sangkar bahagia
Kanda suka bergembira
Kanda senang berketawa
Ria namun hatiku bingung
Sebagai burung didalam sangkar terkurung
Seri dewi malam
Tabir gerbang alam
Jika kawanku yang setia
Simpanlah rahsia
Janjiku dan dia
Kanda suka bergembira
Kanda senang berketawa
Ria namun hatiku bingung
Sebagai burung didalam sangkar terkurung
*antara lagu feveret saya yang saya suka menyanyikannya samada di dalam kereta, di dalam rumah atau di dalam tandas.

No comments:

Post a Comment