Allah menyebut sebanyak 3 kali di dalam Al-Quran; setiap jiwa
pasti merasai mati. Mengingatkan mati, hati yang hidup akan merasa gerun. Bila
mati mula menjengah, maka bermulalah fasa kehidupan yang kedua bagi setiap
manusia; kehidupan yang tiada berpenghujung. Bila manusia sudah mati, tiada
lagi jalan pulang untuk kembali ke dunia. Walaupun manusia merintih merayu
untuk kembali, itu adalah mustahil. Mati itu sifatnya sehala.
Berbahagialah sesiapa yang akhirnya pulang ke kampung halaman
nenek moyang kita - Nabi Adam dan isterinya Hawa - satu ketika dahulu iaitu
syurga. Sebaliknya, bersedihlah sesiapa yang dicampakkan Allah ke dalam neraka.
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
"Setiap yang berjiwa pasti akan merasai kematian. Dan
sesungguhnya pada hari kiamat kamu semua akan disempurnakan balasan bagi setiap
amalan di dunia. Barangsiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam
syurga, maka orang itulah orang yang telah berjaya. Ketahuilah, kehidupan dunia
itu hanyalah kesenangan yang memperdaya" [Surah Ali Imran : 185].
Dalam Al-Quran, ada lagi 2 tempat di mana Allah mengulangi
kenyataan yang sama, menjadikan kesemuanya 3 ayat:
1. كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً ۖ وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
"Setiap yang berjiwa pasti akan merasai kematian. Kami akan
menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan hanya kepada
kamilah kamu akan kembali" [Surah Al-Anbiya' : 35].
2. كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
"Setiap yang berjiwa pasti akan merasai kematian. Kemudian
hanya kepada kamilah kamu akan dikembalikan " [Surah Al-Ankabut : 57].
Mati tak bisa untuk kau hindari
Tak mungkin bisa engkau lari
Ajalmu pasti menghampiri
Ooo...
Mati Tinggal Menunggu Saat Nanti
Ke Mana Kita Bisa Lari
Kita Pastikan Mengalami
Mati
[Ungu : Bila Tiba]
Mati sifatnya mengejar. Setiap detik manusia berlari sambil cuba
untuk menghindari mati. Sampai suatu ketika, apabila mati mula memotong manusia
dalam perlumbaan tersebut, maka sampailah waktu ajalnya.
Manusia tidak berupaya untuk menghalang mati dari menjemputnya.
Mati itu tetamu yang tidak diundang. Tiada seorang manusia pun yang
mengalu-alukan kedatangannya. Bagaimana sekalipun manusia cuba bersembunyi,
pasti mati dapat mencarinya.
أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِكْكُمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنْتُمْ فِي بُرُوجٍ مُشَيَّدَةٍ
"Di mana saja kamu berada, kematian pasti akan mendapatkan
kamu, walaupun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh" [Surah
An-Nisa' : 78].
Ya Allah, hidupkan kami dalam iman. Ya Allah, matikan kami dalam
iman. Ya Allah, himpunkan kami di dalam syurga bersama orang-orang yang
beriman!
No comments:
Post a Comment