Sunday 6 September 2015

22 Ramadhan 1436H : Sayangkan Anak, Tangan-tangankan.

Surah Al-Isra' mengandungi 111 ayat dan termasuk dalam golongan surah Makkiyyah. Ia adalah manifestasi daripada peristiwa Isra' nabi Muhammad saw dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin.

Surah ini juga dikenali sebagai surah Bani Israil kerana ada cerita tentang mereka dalam surah ini juga. Allah memberi amaran kepada umat Islam bahawa mereka juga boleh jadi sehina Bani Israil apabila mula meninggalkan ajaran-ajaran agama Islam.

Berbicara tentang surah Al-Isra' maka tidak lengkap jika tidak dibicarakan secara terperinci tentang ayat 23 dan 24. Dalam banyak ayat-ayat lain, Allah menekankan supaya taat kepada Allah dan berbuat baik terhadap ibu bapa tetapi dalam 2 ayat ini, Allah memperincikan tentang bagaimana untuk berbuat baik kepada ibu bapa.

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

"Dan Tuhanmu telah memerintahkan kepadamu supaya jangan menyembah selain dari Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa kamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang atau kedua-duanya telah tua, jangan kamu berkata kepada mereka "ah" dan janganlah kamu membentak mereka. Ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia" [Surah Al-Isra' : 23].

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

"Hendaklah kamu merendahkan diri kamu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan doakan mereka : "Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua, sebagaimana mereka mengasihaniku ketika aku masih kecil" [Surah Al-Isra' : 24].

Secara ringkasnya, ada 7 perintah Allah dalam 2 ayat di atas :

1. Mesti menyembah Allah dan tidak mempersekutukannya samada dalam iktikad, perbuatan atau ucapan.

2. Mesti berbuat baik kepada kedua ibu bapa semaksima mungkin.

3. Tidak boleh sekali-kali berkata "ah" atau seumpama dengannya. Saya fikir "ah" di sini adalah tanda enggan, protes atau tidak bersetuju. Jika ada tempat yang dibolehkan untuk tidak bersetuju sekalipun, anak-anak perlu menggunakan cara yang paling baik agar hati kecil ibu dan bapa tidak tersentuh.

4. Tidak boleh membentak atau mengherdik kedua ibu bapa.

5. Mesti bercakap dengan lemah lembut dan menggunakan perkataan yang paling baik dan mulia apabila berkomunikasi dengan ibu bapa.

6. Mesti merendah diri - saya membacanya sebagai menghina diri - terhadap kedua ibu bapa kerana kita ini tidak punya apa-apa tanpa mereka berdua.

7. Mesti berdoa semoga Allah mengasihani mereka berdua sebagaimana mereka mengasihani kita ketika kita masih kecil.

Senang dibaca, berat untuk dilaksana. Satu tanggunggjawab yang teramat besar bagi seorang anak terhadap ibu bapanya. Ini ketentuan Allah dan perintah dariNya. Tidak dapat tidak, anak-anak wajib melaksanakannya. Sekiranya gagal, bencana bakal menimpa bukan saja di dunia, malah membawa ke akhirat.

Dilihat dari sudut yang berbeza, sebenarnya tanggungjawab ini saling berkait antara tanggungjawab seorang anak terhadap kedua ibu bapanya dengan tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Mana mungkin kita mengharapkan anak yang soleh lahir dari sistem dan cara didik yang langsung tidak membantu ke arah itu?

Jangan kita hanya memandang dari sudut pandang seorang ibu atau bapa, tetapi pandanglah dari sisi seorang anak juga. Ini kerana pendidikan bermula, berlangsung dan berakhir di rumah secara dua hala.

Cukupkah sekadar membacakan Surah Yusof dan Maryam ketika mengandung?

Cukupkah sekadar memerah otak dan memberikan nama yang baik kepada anak-anak?

Cukupkah sekadar memilih sekolah terbaik dalam negara untuk diberi pendidikan formal berorientasikan peperiksaan kepada anak-anak?

Ayat 23 dan 24 tadi bukan berkenaan ilmu. Ia berkenaan adab. Adab sopan tidak boleh diperolehi daripada mana-mana buku teks atau nota di sekolah. Adab sopan adalah pupukan dan amalan harian yang sudah pastinya bermula dari rumah oleh kedua ibu bapa.

Pendidikan sebenar bermula, berlangsung dan berakhir di rumah.

Saya pernah melihat seorang anak remaja membentak ibunya dengan kata-kata yang amat kasar. Kononnya dia ada urusan yang penting, sehingga ibunya meminta mengambil sesuatu pun sanggup dimarahnya.

Saya pernah melihat seorang anak kecil mencarut-carut ibunya. 

Saya juga pernah lihat seorang anak kecil mengamuk dan meludah ibunya. Dan apa reaksi ibunya? Hanya mampu tersenyum kelat!

Saya banyak mendengar cerita tentang akhlak buruk anak-anak disekolah yang apabila dimarahi oleh guru, maka bergegaslah ibu dan bapanya datang untuk menyerang guru tersebut.

Lalu bagaimana mungkin keadaan sebegini mampu melahirkan anak-anak yang akhlaknya paling mulia terhadap ibu bapanya? Sedih dan miskin nilai ibu bapa begini. Anak cerdik di atas kertas ujian, tetapi gagal dan muflis akhlak.

Ibu bapa, tolong didik anak-anak kita dengan tangan. Jangan kita keliru dengan erti sebuah kasih sayang yang akhirnya boleh menghumban bukan sahaja anak-anak kita ke neraka, tetapi juga kita sebagai ibu bapa kerana cuai dan culas dengan tanggungjawab kita.

Masih ingatkah kita akan satu adegan dalam filem Anakku Sazali? Mansor telah memberikan pengajaran yang cukup sempurna buat Hasan, bapanya Sazali apabila Sazali dikenakan tindakan oleh sekolah kerana ponteng.

Mansor : Apa yang akan kau lakukan terhadap Sazali, wahai Hasan?

Hasan : Aku akan terus mencurahkan kasih sayangku terhadap Sazali, moga dia berubah.

Mansor : Aku rasa engkau sudah silap dalam menilai kasih sayangmu terhadap Sazali. Jangan sampai kasih sayangmu itu merosakkan dia!

Jom kita sama-sama betulkan balik apa yang kita silap supaya hasilnya akan berlainan. Kembalikan maruah kita sebagai ibu bapa dengan mendidik mereka dengan tangan kita. Saya sangat bimbang kerana saya juga ada anak-anak yang perlu dididik dengan tangan.

Moga Allah beri kekuatan.                                  




No comments:

Post a Comment