Wednesday 2 September 2015

TRAVELOG TAWAU : 8 DIS 2014 : EPISOD 1.

Perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau menuju Kunak mengambil masa selama kurang lebih 45 minit menaiki kereta. Terima kasih kepada cikgu 2 beradik, Cikgu Laju dan Cikgu Huri kerana kesudian menjemput dan menghantar saya ke destinasi selama sehari sehingga pagi esok.

Ladang sawit menghiasi perjalanan. Tiada sebuah stesen minyak pun sepanjang 45 km. Cikgu Laju, seorang guru sains di sebuah sekolah agama milik Kerajaan Negeri Sabah tidak jemu-jemu berkongsi info dan pengalaman. Seorang guru yang penuh dengan semangat dan roh beragama.

2 perkara asas yang kami bincangkan tadi benar-benar membuka mata hati saya. Ia merubah sama sekali persepsi saya selama ini.

Pertama; tentang usaha kristianisasi terancang di Sabah. Ia bukan kerja setahun dua, tetapi dirancang rapi sekurang-kurangnya 50 tahun untuk akhirnya menjadikan kristian sebagai agama rasmi Sabah. Cikgu Laju - selaju namanya - mengaitkan fenomena ini dengan dengan usaha pemerintah tempatan - yang sangat kontroversi - suatu ketika dahulu sebelum Suruhanjaya Cobbolt dan Suruhanjaya Reid, sehingga termaktub bahawa orang Islam adalah kaum majoriti di Sabah, justeru mengangkat Islam sebagai agama rasmi Sabah.

Tetapi gerakan kristianisasi tidak akan pernah berdiam diri. Agama bagi pendakwah kristian adalah segala-galanya dan mereka akan buat apa saja - termasuk usaha-usaha bantuan dan infrastruktur - untuk pastikan bukan sahaja penduduk Sabah menganut agama Kristian, tetapi agama rasmi Sabah juga ditukar daripada Islam kepada Kristian.

Beliau juga mengulas isu kalimah Allah. Apa yang paling mencuit hati saya ialah, memang sudah menjadi kelaziman turun-temurun kalimah Allah diguna oleh kedua-kedua agama - Islam dan Kristian. Jadi bagi kebanyakan orang yang hanya pada namanya Islam, mereka akan pantas berkata "Jika Allah adalah tuhan orang Islam, dan itu jugalah tuhan orang Kristian, lebih baih saya memilih Allah yang juga datang dengan tambahan RM untuk saya dan keluarga saya"...

Kedua; isu petempatan guru dari Semenanjung di Sabah - dan juga Sarawak. Saya berpandangan sepatutnya guru tempatan adalah yang paling baik untuk mengajar anak kampungnya sendiri. Seringkali kita dengar rintihan sebahagian besar guru dari semenanjung yang mengalami kesukaran untuk pulang semua ke semenanjung - walaupun ramai juga yang gembira kerana ada elaun lumayan - walaupun setelah dibuat permohonan dan rayuan berkali-kali.

Ulas Cikgu Laju, dari satu sudut pandang memang itulah realitinya. Siapa yang mahu berjauhan dari sanak saudara dan kampung halaman? Tetapi pernah atau tidak kita terfikir, biasanya guru yang ditempatkan di Sabah dan Sarawak ini guru yang bagaimana, dan dari negeri mana mereka datang?

Ini juga usaha dan perancangan. Orang Islam Sabah, ilmu dan penghayatan agama mereka masih tidak kemas dan utuh. Mereka menumpang ilmu dan semangat guru-guru dari Semenanjung yang jauh lebih "alim" - baca berpengetahuan agama - dari mereka. Ini cabang jihad. Rugi besar guru dari semenanjung yang datang hanya semata-mata memenuhi tuntutan petempatan guru. Mereka sebenarnya boleh menjadikan keadaan ini sebagai medan dakwah.

Kalau ramai agamawan kita lebih cenderung ke Kemboja, Vietnam dan lain-lain untuk misi dakwah, orang Sabah juga sama memerlukan misi sebegitu. Dan sepatutnya Sabah lebih aula dan afdhal untuk dipertahankan kerana ini sebahagian daripada tanggungjawab mempertahankan agama dan negara kita sendiri!

Jika petempatan guru dari semenanjung adalah strategi memperkasa agama Islam di Sabah, "mudahnya" kelulusan berpindah balik ke semenanjung bagi sesetengah guru agama juga merupakan strategi balas yang tersembunyi dari mereka yang juga berkepentingan.

Guru yang dapat "balik kampung" setelah sekian lama berkelana, mungkin berasa sangat gembira. Tapi mereka telah tanpa sedar meninggalkan satu medan jihad yang luas dan mereka meninggalkan suatu kelompok manusia yang dahagakan ilmu agama.

No comments:

Post a Comment