Thursday 3 September 2015

PANGGILAN HAJI, SERUAN TIDAK BERSAMBUT.



"Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah" [Surah Al-Baqarah : 196].

Haji merupakan rukun Islam yang kelima. Setiap tahun, jutaan manusia dari segenap pelusuk dunia akan berkampung di Mekah bagi menyempurnakan ibadah tersebut. Ia manifestasi kepada kesatuan umat Islam seluruh dunia. Boleh jadi juga ia merupakan perlambangan kepada "kiamat kecil" di dunia ini apabila semua manusia tidak mengira pangkat dan keturunan berhimpun dalam pakaian ihram yang sama bagi menempuh suka duka dan cabaran ibadah haji. Apa yang membezakan mereka ketika itu hanyalah taqwa kepada Allah swt.

"Mengerjakan haji merupakan kewajiban manusia terhadap Allah, iaitu bagi yang mampu untuk melaksanakannya" [Surah Ali Imran : 97]

Ini bermakna, orang yang boleh menyediakan bekalan wang secukupnya, kenderaan yang boleh membawanya ke Tanah Haram dan kesihatan tubuh badan yang baik sahaja yang diwajibkan untuk mengerjakan haji. Dengan lain perkataan, mampu adalah merupakan pra-syarat kepada ibadah haji.

Dari sudut yang berbeza, jemaah haji sebenarnya tetamu jemputan Allah swt. Ia merupakan suatu jemputan yang sangat istimewa. Seringkali juga kita mendengar, ungkapan seperti "belum sampai seru" diucapkan oleh orang yang belum berpeluang mengerjakan haji. Maksudnya, seruan dan jemputan Allah mungkin belum tiba untuk mereka menyelesaikan tuntutan rukun Islam tersebut.

Sejarah "seruan" ini sebenarnya disebut oleh Allah dalam Al-Quran apabila Nabi Ibrahim as diperintahkan oleh Allah untuk menyeru manusia mengerjakan haji seusai membina bangunan Ka'bah di Mekah.

"Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan menaiki unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh" [Surah Al-Hajj : 27].

Jika difikirkan sekali lalu, memang seruan ini memainkan peranan yang penting bagi sesiapa sekalipun untuk menunaikan haji. Persoalannya di sini, benarkah seruan itu belum sampai? Ataukah seruan itu belum bersambut walaupun telah lama diucapkan?

Hakikat setiap perbuatan manusia, tidak boleh lari dari ketentuan bahawa semuanya berlaku hanya dengan izin Allah. Ibadah haji tidak terkecuali. Tetapi tidak boleh kita beranggapan bahawa "seruan masih belum sampai" akan menjadi alasan yang sah buat kita sampai bila-bila.

Sebagai contoh, kita tidak pula memberi alasan yang seumpama dengan "tidak sampai seru" dalam melunaskan tanggungjawab rukun-rukun Islam yang lain. Malah, sesiapa saja yang tidak melakukan solat, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat misalnya akan dipandang serong kerana cuai dalam beragama.

Jika "mampu" pula yang menjadi alasan, berapa ramai pula yang kita lihat begitu mewah hidupnya, tetapi masih tidak boleh mengerjakan haji? Berapa ramai juga yang boleh melancong mengelilingi dunia, tetapi berat dan payah untuk sampai ke Tanah Haram? Tidak kurang pula yang mempunyai wang simpanan berpuluh ribu ringgit tetapi tidak tergerak hatinya walaupun untuk mendaftarkan diri menunaikan haji di Tabung Haji!

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum itu sehinggalah mereka berusaha untuk mengubah nasib mereka sendiri" [Surah Ar-Ra'd : 11].

Sesungguhnya seruan haji telah lama berkumandang. Setiap manusia mendengarnya dengan jelas. Tinggal lagi, mungkin ada sebahagiannya yang tidak ambil peduli untuk menjawabnya, walaupun sudah terlalu mampu. Mungkin kerana dosa yang kita lakukan menyebabkan hati menjadi pekak untuk mendengar seruan itu lantas Allah tidak membuka pintu hati kita untuk menyambut seruan itu sebaik mungkin.

Kita tidak mengetahui secara jelas bagaimana Allah merancang perjalanan ibadah haji kita. Semuanya kekal menjadi rahsia Allah. Ada orang yang hidupnya susah, terlebih dahulu pergi menunaikan ibadah haji daripada orang yang hartanya melimpah ruah.

Tetapi kita boleh mula menyahut seruan itu dengan usaha dan doa. Ia sebahagian dari bukti kita menyahut seruan yang telah berkurun lama diucapkan oleh Nabi Ibrahim as itu. Apabila kesedaran untuk berusaha dan berdoa ini timbul, maka Allah akan mudahkan urusan kita menuju kepadaNya. Sebaliknya apabila azam, usaha dan doa pun tidak ada, segala-segalanya akan nampak sukar dan pelbagai halangan akan menjelma.

Ibadah haji jangan dipandang ibadah kelas kedua. Dari usia muda perlu diterapkan dalam diri kita dan anak-anak kesedaran untuk menyelesaikan ibadah haji seawal mungkin. Dari kesedaran itu timbul keazaman. Keazaman itu pula disusuli dengan mendaftarkan diri untuk mengerjakan haji di Tabung Haji. Apabila sudah mendaftar, sudah tentu seseorang itu akan mula menabung.

Buka pintu hati dengan usaha, doa dan tawakkal. Ramai yang mungkin panik apabila menerima giliran lebih 20 tahun akan datang. Tetapi tidak ramai yang sedar bahawa "seruan" tadi mungkin sampai lebih awal. Semuanya hak mutlak Allah swt. Apa yang penting, kita berusaha untuk membuka pintu hati kita sendiri, lantas berusaha, berdoa dan bertawakkal kepadaNya.

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Allah swt bukan memanggil orang yang mampu, tetapi Allah swt akan memampukan orang yang menjawab panggilanNya. Carilah jemputan itu dan sahutlah secepat mungkin. InsyaAllah kita akan merasa sangat bahagia dan bersyukur.

No comments:

Post a Comment