Sunday 6 September 2015

3 Ramadhan 1436H : Yang Sedang-Sedang Saja

Dia tidak cantik mak,
Dia tidak jelek mak,
Yang sedang-sedang saja,
Yang penting dia setia.
[Iwan]


Bersederhana ajaran Islam. Walau semampu mana pun manusia, melakukan pekerjaan dalam kadar pertengahan tetap perlu dijadikan amalan. Ada sebuah hadith - yang dibincang panjang oleh para ulamak hadith tentang martabatnya - menyatakan perkara yang serupa :

وَخَيْرُ الأُمُورِ أَوْسَطُهَا

"Sebaik-baik pekerjaan adalah yang di pertengahan".

Dalam Surah Al-Baqarah, Allah menyifatkan umat Islam sebagai umat pertengahan.

"Dan demikian pula kami jadikan kamu umat Islam sebagai umat pertengahan agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan Nabi Muhammad pula menjadi saksi bagi setiap perbuatan kamu" [Surah Al-Baqarah : 143].

Yang menariknya - Subhanallah - ayat 143 itu juga merupakan ayat pertengahan dalam Surah Al-Baqarah. Seperti yang kita sedia maklum, Surah Al-Baqarah mengandungi 286 ayat. Jika dibahagi 2 maka, jumlahnya ialah 143. Unik bukan?

Ini mungkin termasuk dalam kategori keajaiban bilangan (الاعجاز العددي).

Dalam Al-Quran, ada 4 ayat yang berkait langsung dengan unsur pertengahan - tidak kurang dan tidak lebih. Ayat-ayat itu ialah :

1. Lembu betina yang tidak muda dan tidak tua.

قَالَ إِنَّهُ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌ لاَّ فَارِضٌ وَلاَ بِكْرٌ عَوَانٌ بَيْنَ ذَلِكَ

"Nabi Musa as berkata; Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu yang tidak tua dan tidak muda; pertengahan antara itu" [Surah Al-Baqarah : 68].

2. Tidak terlalu kedekut dan tidak terlalu pemurah.

وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَحْسُورًا

"Dan janganlah kamu jadikan tangan kamu terbelenggu pada lehermu (terlalu kedekut) dan jangan pula terlalu menghulurkan (terlalu pemurah), kerana itu kamu akan menjadi tercela dan menyesal" [Surah Al-Isra' : 29].

3. Membaca Al-Quran dalam solat tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan. Kalimah solat juga boleh diertikan sebagai doa.

وَلاَ تَجْهَرْ بِصَلاتِكَ وَلاَ تُخَافِتْ بِهَا وَٱبْتَغِ بَيْنَ ذٰلِكَ سَبِيلاً

"Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan jangan pula kamu merendahkannya dan carilah jalan pertengahan di antara kedua itu" [Surah Al-Isra' : 110].

4. Perbelanjaan yang tidak membazir dan tidak kedekut.

وَالَّذِينَ إِذَا أَنْفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا

"Dan orang-orang yang apabila mereka berbelanja, mereka tidak membazir dan tidak pula mereka kedekut dan adalah perbelanjaan itu adalah pertengahan [Surah Al-Furqan : 67]

Jadilah, marilah kita jadikan Ramadhan kali ini sebagai permulaan untuk bersederhana dalam segala hal. Selamat beramal!










No comments:

Post a Comment