Wednesday 2 September 2015

BOIKOT BERASAL DARI DIALEK KELANTAN - BO IKOT (jangan ikut)

Sehari dua ini kaedah BOIKOT telah menjadi viral dalam masyarakat gara-gara isu Palestin. Ada yang boikot dengan ilmu, ada yang boikot dengan nafsu. Ada yang boikot kerana kesedaran sendiri, ada yang boikot ikut-ikutan. Ada yang boikot secara keseluruhan, ada yang boikot sebahagian. Ada yang serius kempen boikot, ada yang jadikan boikot satu bahan jenaka.

Walau apa pun sebab musabbabnya, boikot hanya timbul dari rasa tidak puas hati pemboikot terhadap sesuatu benda. Lazimnya pula benda yang diboikot itu adalah benda yang tidak baik atau buruk pada pandangan umum. Boikot adalah manifestasi ketidakpuasan hati pemboikot dengan harapan pihak yang terlibat dengan perkara yang diboikot akan melakukan sesuatu supaya perkara yang diboikot itu berubah dan tidak akan diboikot lagi.

Ayah boikot anak bila anaknya tidak mendengar kata. Isteri boikot suami bila suami langsung tidak peduli hal urusan rumahtangga. Adik boikot abang atau kakaknya yang lari dari tanggungjawab ambil peduli terhadap ibu bapa yang telah tua. Staff boikot bos yang gila kuasa. Rakan sekerja boikot teman sepejabat yang NATO (No Action Talk Only). Hatta satu pasukan bolasepak boikot seorang penyerang yang suka menyimpan bola lama-lama di kakinya - jangan passing bola kat dia.

Macam-macam cara boikot. Angkat sepanduk itu boikot. Abaikan itu boikot. Jauhkan diri itu boikot. Tidak bertegur sapa itu boikot. Jangan beli itu boikot. Marah juga kadang-kadang sebahagian dari boikot. Yang penting rasa tidak puas hati itu dizahirkan dan dapat dibaca oleh orang yang diboikot.

Boikot bukan perkara baru. Boikot sudah wujud sejak dari zaman Nabi (bacalah selawat). Al-Quran menukilkan sebagai contoh di dalam surah At-Taubah, ayat 118:

وَّعَلَى الثَّلٰثَةِ الَّذِيۡنَ خُلِّفُوۡا ؕ حَتّٰۤى اِذَا ضَاقَتۡ عَلَيۡهِمُ الۡاَرۡضُ بِمَا رَحُبَتۡ وَضَاقَتۡ عَلَيۡهِمۡ اَنۡفُسُهُمۡ وَظَنُّوۡۤا اَنۡ لَّا مَلۡجَاَ مِنَ اللّٰهِ اِلَّاۤ اِلَيۡهِ ؕ ثُمَّ تَابَ عَلَيۡهِمۡ لِيَتُوۡبُوۡا ‌ ؕ اِنَّ اللّٰهَ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيۡمُ

Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan penerimaan taubat mereka, hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu luas dan jiwa merekapun telah sempit pula dirasakan oleh mereka, serta mereka telah mengetahui bahwa tidak ada tempat untuk lari dari Allah, melainkan perlu kembali semula kepadaNya saja. Kemudian Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya AllahYang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.

Ayat ini merakamkan bagaimana 3 orang sahabat iaitu Ka'ab ibnu Malik, Hilal ibnu Umayyah dan Murarah ibnu Rabi' yang tanpa sengaja telah ketinggalan dari menyertai peperangan Tabuk. Semua sahabat telah memboikot mereka bertiga selepas turunnya ayat diatas. Hampir sahaja mereka seakan-akan menjadi gila kerana semua orang tidak mahu berurusan dengan mereka. Lalu menyesal dan bertaubatlah mereka kepada Allah. Dan apabila tiba khabar gembira turun pula ayat menceritakan bahawa mereka telah diampunkan oleh Allah, berlari mereka berjumpa dengan Rasulullah (bacalah selawat). Bahkan seluruh penduduk Madinah berpesta kegembiraan kerana dosa mereka telah diampunkan oleh Allah.

Apa salah mereka? Adakah mereka mencuri? Merompak? Merogol? Membunuh? Mereka hanyalah secara tidak sengaja ketinggalan dari menyertai peperangan. Lantas murkalah Allah dan boikotlah seluruh para sahabat dengan kemurkaan Allah itu. Mereka boikot kerana Allah murka. 3 sahabat yang diboikot bertaubat kerana tidak mahu terus dimurka (bukan kerana tidak mahu terus diboikot). Ini boikot level tertinggi. Hasilnya juga super istimewa.

Itu baru perkara yang tidak disengajakan, seluruh sahabat boikot kerana Allah murka. Tanpa kita sedar, banyak benda yang di sekeliling kita, dalam rumah kita, di pejabat kita, Allah murka, Nabi (bacalah selawat) benci, kita tidak suka bahkan umum juga mengakui keburukannya, tapi sampai hati kita pejamkan saja mata kita.

Kalau kita perokok, bila lagi kita nak boikot dari hisap rokok? Kalau kita berkawan dengan perokok, bila lagi kita nak boikot kawan-kawan kita yang merokok? Kalau kita isteri perokok, bila lagi kita nak boikot suami kita yang merokok?

Allah dan RasulNya (bacalah selawat) saya rasa tidak ada sebab untuk suka dengan rokok yang penuh dengan 1001 keburukan, kebusukan, kekotoran dan penyakit. Maka tidak cukupkah lagi kebencian itu menjadi sebab untuk kita memboikot?

Begitu juga halnya dengan perbankan konvensional yang masih hidup segar dalam masyarakat kita. Tidak cukupkah lagi ayat-ayat pengharaman riba dalam Al-Quran? Tidak cukupkah lagi amaran Allah dan RasulNya (bacalah selawat) mengisytiharkan perang untuk pengamal riba? Tidak cukupkah perumpamaan-perumpamaan yang buruk dalam Al-Quran dan hadith untuk pemakan riba?

Kalau atas dasar kemurkaan Allah itu kita sudah boleh boikot perbankan konvensional. Biar lumpuh dan jatuh mereka. Jangan hanya Bank HSBC saja - itu pun hanya kerana mereka buat hal - nampak menyokong Israel yang memerangi Palestin - bukan kerana mereka bank konvensional (selain HSBC Amanah). Bagaimana dengan bank-bank konvensional yang lain? Mereka tidak buat hal dengan Palestin, tapi WAJIB juga kita boikot kerana mereka buat hal dengan Allah dan Rasulullah (bacalah selawat).

Dan macam-macam lagi contoh yang kita boleh fikir dan nilai sendiri. Saya rasa yang paling penting sekali, kalau kita boleh boikot kerana Allah dan kerana perintah Allah, insyaAllah Allah akan menyelesaikan segala masalah dan kerunsingan kita.

Ini barulah BOIKOT yang dilihat oleh penduduk di bumi dan diiktiraf oleh penduduk di langit!

No comments:

Post a Comment