Wednesday 2 September 2015

DUIT RAYA : UBAH TRADISI, UBAH CARA BERFIKIR

Dalam masa kurang 2 hari, Ramadhan yang hebat dan agung akan meninggalkan kita. Mulai Maghrib pada 29 Ramadhan, tiada lagi amalan fardhu berganjaran 70 kali ganda. Tiada lagi amalan sunat berpahala amalan fardhu. Tiada lagi puasa wajib. Tiada lagi solat sunat tarawih (bukan TARAWIKH!!!). Tiada lagi seribu satu macam tawaran hebat untuk direbut dengan mudah oleh orang yang berpuasa.

Waktu yang singkat ini boleh dimanfaatkan dengan pelbagai cara. Kerja senang kadang-kadang boleh jadi ibadah dan pahala yang disediakan bukan calang-calang. Cuma kerana ianya menumpang keistimewaan Ramadhan. Alangkah istimewanya Ramadhan. Aduhai hebatnya Ramadhan...

Salah satu kemestian orang kita bila tibanya 1 Syawal ialah tradisi memberi duit raya. Tradisi ini tiada dalam sirah mahupun perintah Allah. Cumanya ia tidak pernah bersalahan dengan sunnah mahupun perintah Allah. Malah ianya amalan yang sangat terpuji kerana Allah sayang kepada orang yang pemurah dan Nabi (bacalah selawat) cintakan umatnya yang pemurah.

Tinggal lagi bagaimana kita mahu memaksimakan pulangan terhadap amalan memberi duit raya ini? Jawapannya mudah; mulalah memberi duit raya pada bulan Ramadhan.

Biasanya bajet telah sedia. Duit raya baru juga sudah siap ditukar. Penerima juga kadang-kadang sudah dikenalpasti. Mungkin tinggal beberapa bahagian untuk kanak-kanak yang datang berhari raya ke rumah. Mulalah memberi ketika Ramadhan masih dalam dakapan. Selain pahalanya berlipat kali ganda, duitnya boleh dimanfaatkan oleh penerima sebagai persiapan lebaran. Lebih-lebih lagi jika penerimanya ialah golongan fakir miskin atau kurang mampu dari segi kewangan.

Amalannya tetap sama. Objektifnya sama. Pahalanya langsung berbeza. Manfaat juga sangat berbeza. Jika kita pula perlu bersusah-payah mencari dan memberi wang kita dalam bulan Ramadhan, maka itu adalah bonus sebagai nilai tambah kepada amal soleh kita.

Saranan saya, mulai hari ini, ubah tradisi kita, ubah cara berfikir kita. Mulakan dengan keluarga terdekat kita. Mulalah memberi duit raya kepada ibu bapa, mertua, isteri, anak-anak, adik-beradik, kaum kerabat, jiran tetangga dan lain-lain dari SEKARANG.

Jika perlu, cari sebab untuk memberi. Musim perayaan ini banyak sebab untuk memberi. Kereta perlu dibasuh. Mula memberi lebih kepada si tukang basuh. Rumput perlu dipotong. Mula memberi lebih kepada si tukang potong. Rambut perlu digunting. Mula memberi lebih kepda si tukang gunting. Ikan perlu dibeli. Daging perlu dibeli. Sayur perlu dibeli. Ayam perlu dibeli... Jika berpeluang, mulalah memberi lebih kepada penjual-penjual ini. Kalau di kampung-kampung, mereka bukan orang kaya. Mereka orang miskin. Mereka memerlukan.

Selebihnya serahkan pada Allah. Apa salahnya memberi sebuah kegembiraan kepada sesama kita. Inikan menjelang hari raya?

Si kaya memberi dengan hatinya, bukan untuk dipuji dan dipuja, harta diberi tiada balasan diminta, baginya akhirat yang utama.

Ya Allah, Kau terimalah puasaku. Sempurnakan ia dengan amalan baikku jika ada. Ya Allah, jangan Kau tolak puasaku. Jadikan ia sebagai sebab untuk aku meraih syurgaMu tanpa hisab. Ya Arhamarrahimin...

No comments:

Post a Comment