Sunday 6 September 2015

21 Ramadhan 1436H : Ambillah Ubat Yang Betul

Surah An-Nahl bermaksud lebah mempunyai 128 ayat dan tergolong dalam kumpulan surah Makkiyyah. Hebatnya lebah ini, sehinggakan Allah sendiri mewahyukan sesuatu kepadanya :

وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ

"Dan Tuhanmu telah mengilhamkan kepada lebah  : Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, pohon-pohon kayu dan tempat-tempat yang dibuat oleh manusia" [Surah An-Nahl : 68].

Lebah walaupun berbahaya dengan sengatannya, tetap kekal sebagai salah satu binatang yang banyak memberi manfaat kepada manusia. Ini kerana lebah menghasilkan madu yang bisa menjadi penawar kepada bermacam-macam penyakit fizikal manusia.

ثُمَّ كُلِي مِن كُلِّ الثَّمَرَاتِ فَاسْلُكِي سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلًا ۚ يَخْرُجُ مِن بُطُونِهَا شَرَابٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ فِيهِ شِفَاءٌ لِّلنَّاسِ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

"Kemudian makanlah pelbagai buah-buahan dan tempuhlah jalan  Tuhanmu yang telah dimudahkan bagimu. Dari perut lebah itu keluar minuman pelbagai warna yang dinamakan madu, yang menjadi ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya yang demikian itu menjadi tanda kebesaran Allah bagi orang yang berfikir" [Surah An-Nahl : 69].

Ada beberapa point penting dari ayat di atas :

1. Madu berasal dari campuran buah-buahan yang dimakan oleh lebah. Jika madu menyembuhkan, memakan buah-buahan juga sangat baik untuk diamalkan oleh manusia.

2. Begitu hebat Allah ta'ala apabila berkuasa menjadikan lebah tahu jalan pulang ke sarangnya, walaupun mungkin menempuh perjalan yang jauh untuk mencari sumber bagi menghasilkan madu.

3. Madu adalah ubat penyakit fizikal manusia yang sabit dengan nas Al-Quran.

4. Kejadian lebah dan proses penghasilan madu telah membuka mata ramai sarjana orientalis untuk memeluk Islam kerana kagum dengan keunikan penciptaan lebah. Penemuan fakta sains ini sangat selari dengan apa yang diceritakan Allah sejak 1400 tahun yang lalu. Itulah tanda kebesaran Allah bagi yang mahu berfikir.

Dari sudut ini, lebah mempunyai persamaan dengan Al-Quran. Apabila madu dikaitkan sebagai ubat fizikal manusia, Al-Quran menjadi ubat penyakit rohani manusia.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِّمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ 

"Wahai sekelian manusia, telah datang kepadamu pengajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi segala penyakit yang ada dalam dada kamu. Ia menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman" [Surah Yunus : 57].


وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

"Dan kami turunkan Al-Quran itu sebagai penawar  dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. Tetapi bagi orang-orang zalim, tidak bertambah bagi mereka kecuali kerugian" [Surah Al-Isra' : 82].

Manusia semestinya memerlukan kedua-dua jenis ubat iaitu fizikal dan rohani. Jasad yang sihat akan bertambah sihat apabila hati sanubari manusia juga sihat. Tiada guna mempunyai tubuh badan yang segar, tetapi jiwa sakit dan layu dek kerana sifat-sifat mazmumah yang bersarang. 

Ubat bagi segala penyakit hati tidak lain dan tidak bukan ialah dengan membaca Al-Quran. Apabila Al-Quran sering dibaca, maka akan timbul perasaan untuk meneliti dan memerhatikan maksud yang tersurat dan tersirat. Dari situ hati akan sentiasa sihat kerana dibajai oleh nur kalam Ilahi. 

Orang yang banyak membaca Al-Quran, hatinya tidak akan mati.

Tombo ati iku limo perkarane
Kaping pisan moco Qur'an lan maknane
Kaping pindo solat wengi lakonono 
Kaping telu wong kang sholeh kumpulono
Kaping papat kudu weteng engkang luwe
Kaping limo dzikir wengi engkang suwe 
Salah sakwijine sopo biso ngelakoni 
Mugi-mugi Gusti Alloh nyembadani

[Obat Hati : Opick].

















No comments:

Post a Comment