Sunday 6 September 2015

17 Ramadhan 1436H : Bacalah Al-Quran Kesemuanya, Jangan Pilih-Pilih.

Surah Yusuf mengandungi 111 ayat dan termasuk dalam kumpulan surah Makkiyyah. Keseluruhan surah ini menceritakan sebahagian besar kisah nabi Yusuf bermula dari zaman kecilnya sehingga dia diangkat menjadi raja di Mesir. 

Kisah nabi Yusuf adalah kisah terbaik dalam Al-Quran. Nabi Muhammad saw sendiri mengetahui perihal nabi Yusuf as setelah turunnya surah ini. Ramai juga orang Yahudi yang memeluk Islam kerana kagum dengan ilmu pengetahuan nabi Muhammad saw tentang nabi Yusuf as, yang selari dengan ilmu pengetahuan mereka yang diwarisi oleh sejak turun-temurun.

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ أَحْسَنَ الْقَصَصِ بِمَا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ هَٰذَا الْقُرْآنَ وَإِنْ كُنْتَ مِنْ قَبْلِهِ لَمِنَ الْغَافِلِينَ

"Kami ceritakan kepadamu wahai Muhammad kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al-Quran kepadamu. Sesungguhnya kamu sebelum ini tidak mengetahui" [Surah Yusuf : 3]

Seronok menghafaz surah Yusuf kerana ia mempunyai jalan cerita yang teratur. Sekiranya kita mempunyai sedikit pengetahuan Bahasa Arab, maka dengan mudah kita boleh mengagak apakah ayat atau cerita seterusnya selepas sesuatu ayat. Dalam perkataan lain, pemahaman tentang cerita dan maksud perkataan boleh membantu menguatkan hafazan.

Ramai orang suka membaca surah Yusuf. Faham atau tidak, itu tidak penting. Ini kerana ramai yang beranggapan surah ini mempunyai banyak keistimewaan. Terutamanya bagi ibu-ibu yang mengandung atau perempuan-perempuan yang baru mendirikan rumahtangga. Harapan mereka tinggi. Jika selalu membaca surah Yusuf, yang berkahwin boleh cepat mengandung. Yang sedang mengandung pula boleh dapat anak lelaki yang sekacak nabi Yusuf as.

Fahaman sebegini adalah fahaman yang tidak tepat sebenarnya. Sudah tentu bacaan yang paling baik bagi ibu mengandung - atau sesiapa pun - ialah keseluruhan Al-Quran itu sendiri. Selain dari pahala yang sangat banyak bagi ibu yang membaca Al-Quran, anak-anak juga sudah mula diperkenalkan dengan Al-Quran seawal usianya dalam kandungan. Ini satu amalan yang sangat mulia.

Jika boleh sekalipun berharap dengan membaca surah Yusuf tadi boleh menjadikan anak di dalam kandungan kacak dan tampan, perlu juga berdoa agar akhlak bayinya nanti juga seindah akhlak nabi Yusuf as. Imannya setebal iman nabi yusuf as dan kerendahan hati dan diri bayi juga setawadhu' nabi Yusuf as.

Akhlak ibu dan bapa juga perlu seiring dengan harapan terhadap bayi. Ibu yang selalu memperdengarkan surah Yusuf kepada bayi dalam kandungan mestilah juga membaiki dan menjaga diri dari perkara-perkara yang dilarang dan ditegah agama. Aurat mesti ditutup. Bapa juga perlu bersama isteri memperbaiki diri dan menjaga solat berjemaah di masjid. Barulah kena dengan didikan awal bayi itu tadi dan tidak akan timbul pertembungan dan pertentangan budaya antara bayi, ibu dan bapanya.

Sebab itu cara paling tepat ialah membaca Al-Quran kesemuanya sekali. Jangan pilih-pilih. Baca pula tidak mengira musim. Ketika mengandung bukan main setiap hari membaca surah Yusuf. Bila sudah bersalin, hendak membuka Al-Quran sekali-sekala pun susah!

Al-Quran itu petunjuk. Al-Quran juga syafaat. Al-Quran juga peringatan yang berbunyi. Jika seseorang mahu bercakap dengan Allah, maka solatlah. Jika dia mahu pula Allah bercakap dengannya, maka bacalah Al-Quran.

















No comments:

Post a Comment