Sunday 6 September 2015

25 Ramadhan 1436H : Pilihlah Cara Baik.

Biasa dalam hidup, kita menangani sesuatu tanpa sempat berfikir panjang. Yang penting, apa yang kita maksudkan tercapai. Ataupun, asalkan puas hayi kita. Kebiasaan begini akhirnya menjadi tabiat kita. Alangkah bagusnya, jika tabiat itu adalah tabiat yang baik.

Kita mungkin pernah berasa marah dengan sesetengah pemandu yang cuai dalam pemanduannya. Kadang-kadang, mereka tersilap dan tidak bermaksud untuk cuai.

Langsung kita berasa marah dan geram. Lantas kita menyalurkan rasa marah kita dengan menurunkan cermin tingkap kereta dan memaki hamun pemandu tersebut. Hon juga ditekan panjang berkali-kali.

Kita juga mungkin pernah ingin ambil berat tentang seorang kawan kita yang kita dengar ceritanya yang tidak enak dari seorang teman. Lantas kita bertanya dengan nada menuduh : "kenapa kamu buat begitu?".

Atau kita ada anak-anak yang masih kecil yang tidak mengerti apa-apa kecuali ingin berseronok saja. Dalam berkejaran bersama adik-beradik yang lain, terlanggar pula pasu bunga kecil kita lalu pecah berderai.

Lalu ditengkingnya kita anak itu. Tidak cukup dengan tengking, tangan pula pantas mencubit.

Dan banyak lagi kisah lain tanpa sedar dalam hidup kita yang berkisar tentang mencapai matlamat yang kita ingin capai.

1. Kita ingin supaya pemandu lain berhati-hati, lantas dijeritnya kita memaki hamun mereka.

2. Kita ingin mendapatkan kepastian dari seorang teman, lalu dituduhnya dia.

3. Kita ingin menunjukkan yang mana salah dan yang mana betul kepada anak-anak, tetapi dimarahinya mereka.

Objektif tercapai atau tidak? Mungkin tercapai, mungkin tidak. Kalau tercapai pun, sudah tentu ada hati-hati yang terluka. Kalau tidak tercapai, orang yany ditujukan maki hamun, tuduhan dan kemarahan kita tadi hanya akan membalasnya dengan perbuatan yang sama. Itu sudah diduga.

Maka apa pilihan yang kita ada?

Kita sentiasa mempunyai pilihan untuk mencapai objektif kita tadi dengan cara yang lebih baik. Sentiasa di sana ada cara yang positif untuk menanganinya. Pilihlah cara yang baik, cara yang positif.

Pemandu cuai? Hon lembut sudah cukup untuk buat dia sedar, dia telah cuai. Matlamat tercapai.

Inginkan kepastian? Tanya dulu sebelum tuduh. Matlamat tercapai.

Menegur anak yang tersilap? Cakap lemah lembut juga informasi akan berpindah bukan?

Pilihan di tangan kita. Kita boleh jadi orang disegani dengan tindakan kita. Kita juga boleh jadi orang yang ditakuti dan dibenci kerana cara kita menangani sesuatu.

Ini antara pengajaan yang boleh kita fikirkan bila membaca Surah Tho Ha. 
اذْهَبَا إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَىٰ فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ

"Pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun. Katakanlah kepadanya perkataan yang lemah lembut, moga-moga dia sedar dan takut" [Surah Tho Ha : 43 dan 44].

Ikut logiknya, manusia sejahat Firaun memang tiada jalan untuk dilayan bercakap cara baik. Tetapi Allah mengingatkan betapa pentingnya bercakap secara baik dan lemah lembut supaya orang yang kita berinteraksi itu akan mudah sedar dan menerima apa saja yang kita cuba sampaikan.

Nampak begitu idealistik bukan? Tapi bukanlah realistik terutamanya bagi yang sudah sebati dan biasa memilih jalan yang negatif untuk berkomunikasi. Tuannya berhati baik sangat. Cuma tiada kemahiran berkomunikasi secara halus lagi positif.

Cubalah sebelum kita bercakap, renung sejenak, perkataan bagaimana yang akan ucapkan. Pilihlah perkatan-perkataan yang baik saja.
-----------------------------------------------

Surah Tho Ha adalah surah Makkiyyah dan mengandungi 135 ayat. Tho Ha juga nama lain bagi nabi Muhammad saw. Khabarnya Saidina Umar Al-Khattab masuk Islam juga jasa Surah Tho Ha setelah beliau mendengar adiknya membaca ayat-ayat awal dari surah ini.













No comments:

Post a Comment