Sunday 6 September 2015

1 Syawal 1436H : Hari Raya Hari Pembeza.



الله اكبر الله اكبر الله اكبر 
لا اله الا الله والله اكبر 
الله اكبر ولله الحمد

Surah Al-Furqan mengandungi 77 ayat. Ia adalah surah Makkiyyah. Al-Furqan bermaksud pembeza. Pembeza antara kebenaran dan kebathilan. Pembeza antara iman dan kufur. Pembeza antara cahaya dan kegelapan.

 تَبَارَكَ الَّذِي نَزَّلَ الْفُرْقَانَ عَلَىٰ عَبْدِهِ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًا

"Maha mulia Tuhan yang telah menurunkan Al-Furqan ke atas hambaNya supaya ia menjadi peringatan bagi sekelian alam" [Surah Al-Furqan : 1].

الله اكبر الله اكبر الله اكبر 
لا اله الا الله والله اكبر 
الله اكبر ولله الحمد

Hari ini hari yang berbeza. Hari ini 1 Syawal, hari raya aidil fitri. Hari ini hari kemenangan dari api neraka. Hari ini hari bergembira bagi orang-orang yang beriman, yang telah benar-benar berpuasa dalam bulan Ramadhan.

Hari ini manusia kembali kepada fitrah seorang manusia. Hari ini manusia kembali kepada hari di mana dia dilahirkan oleh ibunya. Hari yang putih bersih, tiada secalit dosa pun. Itulah hakikat sebenar fitrah manusia. Orang yang benar-benar berpuasa di siang hari dan menghidupkan malamnya dengan amal yang tidak bertepi dalam bulan Ramadhan,  mereka layak untuk meraih fitrah seperti ini. Ramadhan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka, berjaya mengeluarkan mereka dari dosa kepada pahala. Ramadhan yang dianugerahkan oleh Allah kepada mereka, berjaya memerdekakan merek dari api neraka yang maha dahsyat azab siksanya.

Inilah pembezanya. Hari raya bukan sekadar disambut secara adat dan ikut-ikutan. Lantas manusia leka dan keliru. Pelbagai hiburan disajikan secara sembrono, kononnya atas tiket kemenangan setelah berjaya melalui ujian berpuasa selama sebulan di bulan Ramadhan. Pergaulan bebas "dihalalkan" secara tradisinya sejak turun temurun semata-mata untuk menzahirkan rasa gembira dengan ketibaan Syawal. Lalu kegembiraan melampau menyambut Syawal, menenggelamkan langsung kesedihan meninggalkan bulan Ramadhan.

Sungguh, kita tidak faham apa itu hari raya. Sungguh

الله اكبر الله اكبر الله اكبر 
لا اله الا الله والله اكبر 
الله اكبر ولله الحمد

Syawal adalah bulan pembeza. Pembeza di antara orang yang istiqamah dengan amal solehnya sepanjang Ramadhan dan orang yang kembali kepada tabiat asalnya sebelum bertemu dengan Ramadhan. Antara tanda-tanda seseorang itu telah diampunkan dosanya dalam bulan Ramadhan dan puasanya diterima oleh Allah ialah, dia menjadi seorang yang berbeza dari sebelumnya. 

Masjid yang kerap dikunjunginya dalam bulan Ramadhan, menjadi igauannya setiap hari di luar bulan Ramadhan. Al-Quran yang dibacanya saban hari dalam bulan Ramadhan, menjadi candu dalam kehidupan mereka, rasa serba tidak kena jika tidak membacanya di luar bulan Ramadhan. Sedekah yang dihulurkan bagai air yang mengalir dalam bulan Ramadhan, tidak terhenti, bahkan berterusan di luar bulan Ramadhan.

Inilah pembezanya. Manusia tidak kenal Allah hanya pada bulan Ramadhan, tetapi mengesakan Allah pada setiap waktu dan ketika. Manusia tidak menjadi hamba Ramadhan, tetapi menjadi hamba Allah yang maha kaya.

الله اكبر الله اكبر الله اكبر 
لا اله الا الله والله اكبر 
الله اكبر ولله الحمد

Antara amalan yang terbaik dan wajib diselesaikan secepat mungkin oleh orang yang beriman ialah, berpuasa selama 6 hari dalam bulan Syawal. Inilah bezanya. Orang yang terbentuk hatinya dalam bulan Ramadhan, akan merindui ibadat puasa. Lantas direbutnya ganjaran pahala yang besar berpuasa 6 hari dalam bulan Syawal. Tidak cukup dengan itu, amalan puasa sunat juga diamalkan dari masa ke semasa.

Sungguh, Syawal adalah pembeza. Hendak lihat diri kita yang sebenar, lihatlah dalam bulan Syawal dan bulan-bulan seterusnya. Alangkah baiknya jika kita menjadi orang yang berbeza. Bukan sahaja pada berat badannya, tetapi juga pada akhlak dan amalannya.

الله اكبر الله اكبر الله اكبر 
لا اله الا الله والله اكبر 
الله اكبر ولله الحمد

Syawal adalah hari raya di dunia. Setiap hari dalam bulan Ramadhan, kita berhari raya pada waktu maghrib. Keesokan harinya bermula Subuh, kita akan berpuasa kembali. Begitulah setiap hari sehingga semalam. Tapi hari ini adalah hari yang berbeza. Tidak tidak perlu menahan diri dari makan lagi. Kita boleh makan sepuas-puasnya. Seronok bukan? Tiada siapa yang boleh melarang kita.

Begitulah agaknya keseronokan apabila kita masuk ke syurga Allah kelak. Kita boleh makan mengikut niat, apa yang yang terlintas di fikiran. Tidak cukup dengan itu, akan ada bidadari yang siap sedia untuk melayan apa sahaja kehendak dan kemahuan kita.

إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي جَنَّاتٍ وَنَعِيمٍ

"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu di dalam syurga dan kenikmatan"

فَاكِهِينَ بِمَا آتَاهُمْ رَبُّهُمْ وَوَقَاهُمْ رَبُّهُمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

"Mereka bersuka ria dengan kurniaan Tuhan mereka dan mereka dipelihara dari azab api neraka"

كُلُوا وَاشْرَبُوا هَنِيئًا بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

"Makan dan minumlah dengan enak, sebagai balasan terhadap apa yang kamu kerjakan"

مُتَّكِئِينَ عَلَىٰ سُرُرٍ مَصْفُوفَةٍ ۖ وَزَوَّجْنَاهُمْ بِحُورٍ عِينٍ

"Mereka bersenang-senang di atas katil yang berderetan dan Kami kahwinkan mereka dengan bidadari-bidadari cantik bermata yang mempersonakan"

[Surah At-Thur : 17 - 20]


الله اكبر الله اكبر الله اكبر 
لا اله الا الله والله اكبر 
الله اكبر ولله الحمد

Syawal datang, bermakna Ramadhan berlalu meninggalkan kita. Entah apa nasib kita pada tahun ini. Ramadhan mungkin datang lagi pada kita pada tahun hadapan. Harapnya Ramadhan tahun ini bukan Ramadhan yang terakhir buat kita.

Ingat hari raya penutup puasa
Ramadhan yang dirindui telah meninggalkan kita
Ramadhan yang akan datang apakah kita jumpa
Kematian kita berlaku bila-bila masa
[Nada Murni]

Ya Allah, kami menadah tangan kepadaMu. Engkau Tuhan yang maha pemurah. Engkau Tuhan yang maha penyayang. Terimalah segala amalan kami dalam bulan Ramadhan. Ampunkan segala dosa kami. Tambahkan pahala dan kebaikan bagi kami. Masukkan kami ke dalam syurgaMu. Jauhkan kami dari azab nerakaMu.

Ya Allah, berkatilah kami pada hari ini. Sebagaimana Engkau kurniakan hari raya ini untuk kami di dunia, kurniakan juga kami hari raya di akhirat. Hari di mana Engkau masukkan kami ke dalam syurgaMu. Hari yang sama juga Engkau selamatkan kami dari api nerakaMu. Himpunkan kami bersama-sama kekasihMu Muhammad saw dan orang-orang yang kami cintai ketika di dunia.

Ya Allah, perkenankan doa kami.

الله اكبر الله اكبر الله اكبر 
لا اله الا الله والله اكبر 
الله اكبر ولله الحمد




No comments:

Post a Comment