Sunday 6 September 2015

11 Ramadhan 1436H : Allah Maha Dermawan

Pemurah itu sifat Allah swt. Pemurahnya Allah itu ibarat lautan yang tidak bertepi. Dia memberi dan memberi tanpa henti kepada semua. Tidak ada satu pergerakan yang tidak dibuat oleh manusia, melainkan Allah swt akan memberi balasan yang bukan sahaja setimpal, tetapi berlipat kali ganda.

Manusia sifatnya meminta. Manusia seringkali kali lupa bahawa mereka sangat perlukan Allah. Fitrahnya manusia untuk kembali meminta kepada Allah hanya datang apabila berada dalam kesusahan. Apabila sudah senang, jarang yang masih kekal meminta. Ramai pula yang lupa sejenak untuk meminta kepada Tuhannya.

Tapi Allah itu tetap pemurah. Diberinya segala nikmat kepada manusia walaupun manusia lupa untuk meminta. Setiap perbuatan pasti ada natijahnya dan manusia tidak akan sekali-kali dianiaya pada hari kiamat.

مَن جَاء بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا وَمَن جَاء بِالسَّيِّئَةِ فَلاَ يُجْزَى إِلاَّ مِثْلَهَا وَهُمْ لاَ يُظْلَمُونَ

"Barangsiapa berbuat satu kebaikan, maka bagi mereka sepuluh kebaikan yang sepertinya. Barangsiapa berbuat satu kejahatan pula, mereka hanya akan dibalas dengan satu kejahatan yang sepertinya dan mereka tidak akan dizalimi" [Surah Al-An'am : 160].

Begitulah pemurahnya Allah. Setiap kebaikan digandakan menjadi sepuluh kebaikan. Pemurahnya Allah juga apabila setiap kejahatan hanya akan dibalas dengan satu kejahatan. Pemurahnya Allah juga, setiap manusia pasti tidak akan dizalimi.

Dalam Al-Quran, ada lagi 2 ayat yang mirip dengan ayat di atas :

1. مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ خَيْرٌ مِنْهَا وَهُمْ مِنْ فَزَعٍ يَوْمَئِذٍ آمِنُونَ

وَمَنْ جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَكُبَّتْ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ هَلْ تُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُون

"Barangsiapa berbuat satu kebaikan, maka baginya ganjaran yang lebih baik, sedangkan mereka itu adalah orang-orang yang aman tenteram pada hari akhirat. Barangsiapa berbuat satu kejahatan, maka Allah akan humbankan muka mereka ke dalam neraka dan tidaklah kamu dibalasi kecuali setimpal dengan kejahatan yang kamu kerjakan" [Surah An-Naml : 89-90].

Dalam ayat di atas, Allah tidak menghadkan ganjaran kebaikan itu kepada hanya sepuluh kebaikan sahaja, tetapi ianya lebih bersifat umum yang pastinya lebih baik. Manakala untuk satu kejahatan, balasannya amat pedih iaitu muka pembuat kejahatan akan dihumbankan ke dalam api neraka dan itulah yang setimpal bagi setiap kejahatan yang dilakukan.

2. مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ خَيْرٌ مِنْهَا ۖ وَمَنْ جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَى الَّذِينَ عَمِلُوا السَّيِّئَاتِ إِلَّا مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

"Barangsiapa berbuat kebaikan, maka baginya ganjaran yang lebih baik. Barangsiapa yang berbuat kejahatan maka Allah tidak akan membalas orang-orang yang mengerjakan kejahatan itu melainkan ianya setimpal dengan apa yang mereka kerjakan" [Surah Al-Qosos : 84].

Kesimpulannya, marilah kita berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan sedaya yang kita mampu kerana ganjaran yang Allah sediakan sangat tidak ternilai. Cubalah untuk menjadi sebahagian daripada kebaikan, walaupun sekadar sebagai penyokong. Selain dari melakukan sendiri sebanyak mungkin kebaikan, kita juga boleh mencipta dan merintis jalan untuk orang lain berbuat kebaikan. Ganjarannya juga tidak kurang hebat, seolah-olah kita sendiri yang berbuat kebaikan tersebut.

Sabda Nabi saw :

إن الدال على الخير كفاعله

"Sesungguhnya orang yang membuka jalan kepada orang lain untuk melakukan kebaikan adalah seperti orang yang melakukannya juga " [Tirmizi].

Di samping itu hendaklah kita bertekad menjauhkan diri daripada melakukan dosa dan maksiat kerana balasannya - walaupun nampak ringan dari satu sudut kerana Allah hanya akan membalas yang seumpama dengannya - di sisi Allah amatlah pedih.

Ya Allah! Jadikan kami orang yang sentiasa berlumba-lumba membuat kebaikan. 
Ya Allah! Jadikan kami kebaikan bagi orang yang berada di sekeliling kami.
Ya Allah! Jadikan kami sebahagian daripada kebaikan yang dilakukan oleh orang lain.


No comments:

Post a Comment