Sunday 6 September 2015

20 Ramadhan 1436H : Belajarlah Untuk Menghargai Nilai Agama.

Surah Al-Hijr mempunyai 99 ayat. Ianya termasuk dalam surah Makkiyyah. Al-Hijr ialah nama sebuah kawasan pergunungan di antara Madinah dan Syria, tempat hidupnya kaum nabi Saleh as iaitu Tsamud.

Agama nabi-nabi terdahulu juga agama Islam. Setiap nabi dan rasul itu bersaudara dan agama mereka ialah satu iaitu agama yang membawa penyerahan diri kepada Allah. Itulah agama Islam.

Umat terdahulu banyak yang dimusnahkan oleh Allah kerana ingkar dan enggan mengambil agama yang dibawa oleh rasul-rasul dan nabi-nabi. Mereka selesa dengan cara hidup mereka yang jauh dari agama. Mereka boleh berbuat apa saja mengikut kehendak dan citarasa mereka kerana tiada agama yang boleh mengawal mereka. Lalu Allah timpakan satu demi satu siksaan dan malapetaka di dunia lagi sebagai balasan terhadap kekufuran mereka.

Umat manusia kemudiannya silih berganti. Manusia terbaik ialah umat nabi Muhammad saw. Sudah semestinya umat yang terbaik dilengkapi dengan semua keperluan yang terbaik. Umat ini diutuskan dengan rasul yang terbaik di antara utusan-utusan Allah. Ia dipandu oleh kitab samawi yang terbaik iaitu Al-Quran. Syariatnya juga adalah yang terbaik, selamat dari segala kekurangan dan kelemahan.

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ ۚ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

"Kamu adalah umat terbaik yang dijadikan untuk seluruh manusia, menyuruh kepada yang makruf dan menegah daripada yang mungkar dan kamu beriman kepada Allah. Jika ahli kitab itu beriman, sudah tentu ia baik bagi mereka. Tetapi ada sebahagian dari mereka yang beriman dan sebahagian yang lain pula menjadi fasik" [Surah Ali Imran : 110].

Umat ini juga disuruh makan dan minum dengan sesuatu yang baik. Bukan sahaja zat makanan dan minuman itu mesti sesuatu yang baik, tetapi sumber untuk mendapatkannya juga mestilah dari sumber yang bersih lagi halal. Bukan itu saja, pakaian dan rumah kediaman juga mestilah sesuatu yang terbaik, sesuai dengan keperluan maruah dan kedudukan sebagai seorang Muslim.

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

"Wahai orang yang beriman, makanlah apa yang baik daripada rezeki yang kami kurniakam kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah sekiranya kamu benar-benar hanya menyembah kepadaNya" [Surah Al-Baqarah : 172].

Tidak cukup dengan itu, umat ini juga dianugerahkan Allah dengan bulan yang terbaik iaitu Ramadhan, yang terkandung padanya malam yang terbaik, lebih baik dari seribu bulan!

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

"Malam Al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan" '

Pendek kata, apa yang datang dari Islam mestilah sesuatu yang paling baik pernah dialami dinikmati oleh umatnya. Dan itulah Islam, agama terbaik di sisi Allah swt untuk seluruh umat manusia bermula dari nabi Adam as sehinggalah ke hati ni dan seterusnya menjelang kiamat.

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ

"Sesungguhnya agama sebenar di sisi Allah ialah Islam" [Surah Ali Imran : 19].

Tanpa agama manusia binasa
Tanpa ilmu manusia buta
Tanpa iman manusia sengsara
Tanpa ukhuwah manusia terseksa
[Tanpa Agama : Hijjaz].

Agama Islam adalah cara hidup. Ramai mengaku Islam, tapi malu untuk mengambol Islam sebagai cara hidup. Mungkin mereka kurang ilmu, mungkin juga mereka menganggap hidup dengan cara hidup Islam adalah sesuatu yang ketinggalan zaman.

Betapa bernilainya agama Islam adalah seumpama hidup dan mati. Manusia kalau boleh hendak hidup selama-lamanya kerana mati datang untuk memotong kelazatan dan keseronokan. Jika manusia tahu betapa agama Islam itu sangat bernilai kerana ianya penentu samada mereka ke syurga atau ke neraka, nescaya semua akan tidak teragak-agak untuk mengambil Islam sebagai cara hidup.

Di akhirat nanti, orang yang tidak beragama Islam akan berharap untuk menjadi sebagai seorang Islam ketika di dunia.

رُّبَمَا يَوَدُّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْ كَانُوا مُسْلِمِينَ 

"Orang-orang kafir itu seringkali nanti di akhirat menginginkan kiranya mereka dahulunya di dunia adalah orang Islam" [Surah Al-Hijr : 2].

Jika di akhirat, orang yang kafir pun berharap mereka dahulunya didunia adalah orang Islam. Kita yang sudah menjadi orang Islam sudah tentu wajib bersyukur dengan keislaman kita kerana Allah memilih kita menjadi orang Islam. Alangkah susah hidup kita jika kita lahir sebagai seorang kafir. Susahnya hidup kerana kita terpaksa mencari hidayah. Atau langsung terus ke neraka kerana kemalasan kita mencari agama yang sebenar.

Belajarlah menghargai apa yang kita ada, sebelum Allah mengambilnya dari kita. Jika tidak, kita akan menyesal di kemudian hari. Saya selalu menyarankan kepada ibu bapa, hantarlah anak-anak belajar di sekolah agama. Kita tidak akan dapat hasilnya sekarang. Tetapi kita aka merasa mujur dan bersyukur di kemudian hari.

Tak percaya? Cubalah!


















No comments:

Post a Comment