Sunday 6 September 2015

13 Ramadhan 1436H : 2 Nikmat Sebagai Ujian


وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

"Ketahuilah sesungguhnya harta benda dan anak pinak kamu adalah ujian buat kamu. Dan di sisi Allah itu pahala yang besar" [Surah Al-Anfal : 28]

Hidup kita dipenuhi dengan nikmat. Setiap inci tubuh badan kita memiliki nikmat yang tersendiri. Itu belum dikira nikmat-nikmat yang mendatang, yang bukan berpunca dari jasad kita tetapi datang dari apa yang berada disekeliling kehidupan kita.

Ada nikmat yang kita perolehi dengan jalan meminta. Ada juga nikmat yang datang tanpa dipinta. Semakin lama direnung, semakin banyak nikmat yang tidak sempat disyukuri. Bahkan lebih teruk, ada banyak juga nikmat yang dikufuri.

وَآتَاكُم مِّن كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ وَإِن تَعُدُّواْ نِعْمَتَ اللّهِ لاَ تُحْصُوهَا إِنَّ الإِنسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ 

"Dan kami berikan setiap apa yang kamu minta. Jika sekiranya kamu cuba menghitung setiap nikmat dari Allah, nescaya kamu tidak akan berupaya menghitungnya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan kufur nikmat" [Surah Ibrahim : 34].

Harta benda adalah nikmat daripada Allah. Orang mukmin yang dikurniakan harta benda oleh Allah, pasti akan merasai cukupnya kehidupan mereka lantas mengembalikan semula harta itu untuk lebih mendekatkan dirinya dengan Allah.

Begitu juga anak pinak. Berapa ramai orang yang berkahwin, tetapi tidak berpeluang mengecap nikmat sebagai ibu bapa yang membesarkan anak-anak mereka walau dalam keadaan susah atau payah.

Nikmat di mata manusia, tidak selalunya nikmat di mata Allah. Allah mengumpamakan harta dan anak-anak sebagai ujian bagi manusia dalm mencari siapa yang paling baik amal kebajikannya.

Ada orang yang dikurniakan harta benda, dia jadi lebih kedekut. Maka harta itu adalah ujian baginya. Ada juga yang dikurniakan harta benda, dia jadi lebih jauh dari Allah. Maka harta itu tidak menambahkan kebaikan baginya dan jadilah harta yang tidak berkat itu sebagai ujian baginya.

Hal yang sama berlaku kepada anak-anak yang kita miliki. Kadang-kadang ia bisa saja menjadi aset tetap - hingga selepas mati kita - milik ibu dan bapa. Tetapi ramai juga yang tersalah didikan, lantas anak-anak menjadi liabliti dan tanggungan buatnya di akhirat kelak. Maka jelas, ini juga ujian.

Justeru, marilah kita berdoa agar harta dan anak pinak yang dikurniakan kepada kita, benar-benar menjadi nikmat yang baik untuk kita manfaatkan.


























No comments:

Post a Comment