Sunday 6 September 2015

26 Ramadhan 1436H : Kiamat Sudah Dekat.

Surah Al-Anbiya' sarat dengan kisah-kisah para nabi dan rasul as. Ada kisah nabi Ibrahim as dan Raja Namrudz, kisah nabi nuh as, kisah nabi Daud as dan nabi Sulaiman as, kisah nabi Ayyub as, kisah nabi Yunus as dan kisah nabi Zakaria as.

Ia adalah surah Makkiyyah yang mengandungi 112 ayat. Uniknya nama surah ini adalah kerana namanya tidak disebut dalam mana-mana ayat dalam surah ini. Ia di mulakan dengan lafaz اقترب yang bermaksud telah terlalu dekat.

Dalam Al-Quran cuma ada 2 surah yang dimulakan dengan perkataan ini :

1. اقْتَرَبَ لِلنَّاسِ حِسَابُهُمْ وَهُمْ فِي غَفْلَةٍ مُعْرِضُونَ

"Telah dekat kepada manusia hari menghitung segala amalan mereka, sedang mereka tetap berada dalam keadaan lalai" [Surah Al-Anbiya' : 1]

2. اقْتَرَبَتِ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَرُ

"Telah dekat datangnya sangat itu dan telah terbelah bulan" [Surah Al-Qamar : 1]

Kedua-dua ayat ini bercerita tentang kiamat. Bagi orang bukan Islam, kiamat adalah pengakhiran dunia. Semua manusia akan mati dan bumi ini akan hancur musnah. Selepas itu tiada lagi kehidupan. Segala-galanya hancur dan musnah. Hayat bumi pun berakhir.

Tetapi lain halnya bagi orang Islam. Kiamat hanyalah sebahagian dari kejadian yang ditetapkan Allah dalam aturan skrip kehidupan manusia. Manusia bermula di alam roh, kemudian dilahirkan ke alam dunia. Setelah beberapa lama mendiami bumi, Allah akan memanggil seorang demi seorang manusia untuk dikembalikan kepadaNya. Maka bermulalah satu alam yang dinamakan alam kubur. Mati dan alam kubur ini juga dikenali sebagai kiamat kecil, sebelum datang kiamat sebenar selepas semua orang dibangkitkan dari dalam kubur mereka.

Selepas beberapa lama mendiami alam kubur dan merasai samada nikmat atau azabnya, semua manusia akan dimatikan oleh Allah Ta'ala. Ketika inilah kubur berehat daripada kerja rutinnya selama ini. Dengan rehatnya kubur, maka berehat jugalah seisi penghuni kubur.

Selepas sangkala kedua ditiup, manusia akan dihidupkan kembali dari lena mereka yang panjang di dalam kubur. Alam inilah yang dikatakan sebagai alam akhirat. Bermula dari ketika itu, maka tiada lagi istilah mati dalam kamus hidup manusia. Yang ada hanyalah sebuah lagi perjalanan yang tiada berpenghujung. Itulah alam yang kekal abadi.

Masa di antara tiupan sangkakala pertama dan kedua tadi rupa-rupanya dinikmati oleh orang kafir sebagai waktu rehat. Tidak hairanlah apabila mereka berang apabila dibangkitkan kembali selepas ditiup sangkakal yang kedua.

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَإِذَا هُمْ مِنَ الْأَجْدَاثِ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يَنْسِلُونَ

"Dan tatkala ditiupkan sangkala, maka tiba-tiba mereka keluar dengan segera dari kuburan mereka menuju kepada Tuhan mereka" [Surah Yasin : 51]

قَالُوا يَا وَيْلَنَا مَنْ بَعَثَنَا مِنْ مَرْقَدِنَا ۜ ۗ هَٰذَا مَا وَعَدَ الرَّحْمَٰنُ وَصَدَقَ الْمُرْسَلُونَ

"Mereka berkata : Aduh celakalah kami! Siapalah yang membangkitkan kami dari tempat tidur kami ini? Inilah yang dijanjikan Tuhan yang maha pemurah dan benarlah rasul-rasulNya" [Surah Yasin : 52].

Keadaan pada hari kiamat sangat dahsyat. Sukar untuk kita bayangkan dengan perasaan kita huru-hara yang berlaku. Semua orang sibuk dengan urusan masing-masing. Tidak sempat lagi untuk mempedulikan orang lain. Ada banyak ayat dan surah yang menggambarkan betapa hari kiamat itu sangat menggerunkan. Saya cuba nukilkan dari satu surah sahaja [Surah Al-Ma'arij : 8 - 14] apa yang disebut oleh Allah untuk menggambarkan hari kiamat itu : 

يَوْمَ تَكُونُ السَّمَاءُ كَالْمُهْلِ

"Pada hari itu langit akan menjadi seperti perak yang cair"

وَتَكُونُ الْجِبَالُ كَالْعِهْنِ

"Dan gunung-ganang akan menjadi seperti bulu yang berterbangan"

وَلَا يَسْأَلُ حَمِيمٌ حَمِيمًا

"Dan tiada seorang pun akan saling bertanya tentang apakah halnya teman karibnya"

يُبَصَّرُونَهُمْ ۚ يَوَدُّ الْمُجْرِمُ لَوْ يَفْتَدِي مِنْ عَذَابِ يَوْمِئِذٍ بِبَنِيهِ

"Mereka saling pandang memandang. Orang kafir sangat ingin kalau sekiranya dia dapat menebus dirinya dari azab hari itu dengan anak-anaknya"

وَصَاحِبَتِهِ وَأَخِيهِ

"Dan isterinya dan saudaranya"

وَفَصِيلَتِهِ الَّتِي تُؤْوِيهِ

"Dan kaum keluarganya yang melindunginya di dunia"

وَمَنْ فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ يُنْجِيهِ

"Dan keseluruhan penduduk di bumi juga mengharapkan perkara yang sama, iaitu menyelamatkan mereka dari kedahsyatan hari kiamat"


Ambillah masa sejenak untuk membuka Al-Quran. Lihatlah bagaimana Allah ta'ala menyifatkan keadaan semasa berlaku kiamat. Hari yang tiada bayang kerana matahari hanya sejengkal dari kepala. Semuanya berjalan menuju ke Padang Mahsyar untuk dihisab amal perbuatan masing-masing di dunia.

Hati yang lembut akan gerun dengan cerita sebegini, lantas mata akan mengalirkan air mata. Secara automatik mereka akan kurang ketawa dan bergurau senda. Berlainan dengan mereka yang mempunyai hati yang keras. Setitik air mata pun susah untuk dititiskan, apatah lagi untuk pantas berbuat amal dan meninggalkan maksiat.

Ambillah masa sejenak untuk merenung. Sudahkah kita menyediakan bekalan untuk dibawa bertemuNya di akhirat kelak. Alangkah bahagianya kita jika nasib menyebelahi kita sejurus selepas kematian kita sehinggalah ke saat kita dijemput ke dalam syurgaNya yang sangat mulia.

Sungguh! Kiamat itu pasti. Kiamat itu sangat dekat.




No comments:

Post a Comment