Sunday 6 September 2015

15 Ramadhan 1436H : Masa Berlalu Begitu Pantas

Surah Yunus adalah surah Makkiyyah yang mengandungi 109 ayat. Nama surah ini diambil daripada nama seorang rasul iaitu Nabi Yunus as. Selain dari ini, ada 7 lagi nabi dan rasul yang diabadikan nama mereka sebagai nama surah-surah dalam Al-Quran iaitu :

1. Hud
2. Yusuf
3. Ibrahim
4. Muhammad
5. Nuh
6. Al-Muzzammil
7. Al-Muddatthir

Surah Yunus menceritakan kisah nabi Yunus as dan kaumnya, nabi Nuh as dan kaumnya serta cerita nabi Musa dan Fira'un. Kisah mereka panjang dan cabaran mereka hebat. Dakwah mereka penuh mehnah, ditambah dengan masa dan umur yang diberi Allah kepada mereka sangat panjang.

Logiknya, apabila umur panjang maka banyaklah peluang yang boleh direbut untuk mengumpul sebanyak mungkin amal soleh. Selaras dengan itu juga, kemungkinan untuk berpanjangan dalam maksiat dan kufur kepada segala nikmat Allah juga terlalu tinggi.

Umur umat nabi Muhammad saw secara puratanya hanya 60 ke 70 tahun. Ada yang kembali menemui Allah lebih awal, ada juga yang diberi subsidi sehingga umurnya mencecah 100 tahun, tetapi tidak ramai. Umur yang pendek ini jika ditolak dengan waktu tidur yang puratanya separuh daripada masa sehari, maka sebenarnya cuma digunakan 50% daripada umur sebenar untuk semua perkara termasuk kerja rutin, ibadah dan rehat.

Itu belum dikira secara realitinya masa di akhir zaman ini bergerak terlalu pantas. Setahun dirasakan sebulan, sebulan dirasakan seminggu, seminggu dirasakan sehari, sehari dirasakan sejam, sejam dirasakan seminit dan begitulah seterusnya. Masa terlalu mencemburui manusia.

Lalu bagaimana bisa seseorang itu mengumpul pahala dari amal soleh sebanyak mungkin dalam keterbatasan masa yang sangat menghambat?

Ramadhan sudah masuk hari yang ke 15. Ini bermakna separuh bulan sudah kita lalui. 2 bulan sebelum ini setiap hari kita berdoa supaya diberi peluang bertemu dengan Ramadhan. Nah! Sekarang kita sudah pun melalui separuh darinya. Sudah tiba masanya untuk kita bermuhasabah. Benarkah seperti apa yang kita dambakan dari Ramadhan? Atau kita sekadar bermain bahasa di bibir mulut?

Masa tidak menunggu kita. Masa yang berlalu tidak mungkin akan kembali. Selepas 15 hari lagi, kita boleh keluar dalam keadaan fitrah (itulah hakikat hari raya aidil fitri) iaitu suci dan bersih dari segala dosa. Syaratnya sangat mudah. Manfaatkan setiap inci waktu yang berbaki untuk berhias dengan amal soleh. Lailatul qadar - yang lebih baik dari 83 tahun 4 bulan - yang dirindui perlu dicari dari sekarang (bahkan dari awal Ramadhan). Jangan hanya menunggu 10 malam terakhir atau malam-malam yang ganjil sahaja.

Begitulah sebaliknya. Kita boleh biarkan sahaja Ramadhan berlalu tanpa bertindak apa-apa. Lalu - seperti tahun-tahun lepas - seperti biasa kita tetap kotor dan dan tercemar dengan segala noda dan dosa yang tidak terampunkan selepas berakhirnya Ramadhan. Malang sungguh nasib kita. Entah apa agaknya jawapan kita di hadapan Allah nanti apabila Allah bertanya;

"Apa yang telah kamu lakukan sehingga Aku berikan 30 hari peluang setiap tahun untuk kamu bersihkan diri dari segala dosa dan masuk ke syurgaKu, tetapi kamu masih juga kotor dan tercemar, lalu kamu tetap memilih untuk terjun ke neraka?"















No comments:

Post a Comment