Wednesday 2 September 2015

PAKEJ HAJI VVIP.

Renungan di hari 'Arafah, 2013.
Semua sedia maklum bahawa ada pelbagai pakej haji bermula dengan pakej asas bersama Tabung Haji ataupun dikenali sebagai muassasah, pakej swasta bersama Tabung Haji, pakej swasta bersama agensi swasta, pakej vip dan pakej vvip. Seorang jemaah haji boleh sampai ke tanah suci dengan belanja asas serendah lebih kurang RM10 ribu hingga ratusan ribu ringgit bergantung kepada kemahuan masing-masing.
Ramai yang mengaitkan haji dengan suasana kesulitan dan kepayahan. Mungkin kerana sesaknya bilangan manusia, mungkin juga kerana terpaksa berpanas terik dalam kebanyakan keadaan semasa mengerjakan rukun dan wajib haji. Tidak kurang juga yang meletakkan mabrur atau tidak haji seseorang bergantung kepada kesusahan dan kepayahan yang dilalui, lantas sejauh mana kesabaran dan ketahanan mental dan fizikal melepasi halangan tersebut.
Walau apa pun, susah atau senang, rimas atau selesa, panas atau berada dalam penghawa dingin seseorang jemaah haji, ianya adalah kuasa mutlak Allah untuk mengurniakan haji mabrur atau mardud kepada beliau. Kita tidak berupaya untuk mengukur dengan mata kepala zahir kita.
Tetapi, dari satu sudut saya setuju, pakej vip dan vvip yang ditawarkan tempat secara 'pasti' kerana kos yang sangat 'berbaloi' bagi penyedia pakej haji akan menyebabkan puluhan ribu orang kebanyakan seperti saya tidak mendapat peluang kerana terpaksa menunggu giliran. Hasilnya, ada orang yang sama dapat mengerjakan haji setiap tahun kerana mereka tersangat mampu. Pada waktu yang sama, ada yang akan menunggu berpuluh-puluh tahun hingga kadang-kadang tidak sempat pergi kerana meninggal.
Tabung Haji perlu berbuat sesuatu. Majlis Fatwa kebangsaan juga pada hemat saya perlu berbuat sesuatu. Mungkin fatwa 'haram' mengerjakan haji bagi yang telah terlalu kerap, kerana dibimbangi mengganggu giliran orang yang sepatutnya lebih patut dan layak pergi. Mungkin juga fatwa 'haram' menyediakan pakej yang mencecah ratusan ribu ringgit kerana dibimbangi maksud dan tujuan haji bagi jemaah haji dan penyedia pakej haji lari dari yang sepatutnya.
Sama juga keadaannya saya menunggu Majlis Fatwa mengharamkan pakej buffet juadah berbuka puasa yang ditawarkan oleh hotel-hotel yang kadang-kadang mencecah ratusan ringgit bagi satu kepala. Puasa mengajar kita bersederhana dan mengelakkan pembaziran. Tetapi apa maknanya semua itu jika pakej berbuka puasa tidak dipantau dan difatwa haram jika sudah terang kemudharatannya?!!
Walau apa pun, Allah menguji kita dengan apa yang kita ada. Tempat yang pasti paling kerap diuji ialah hati kita.
Orang kaya yang pergi dengan pakej ratusan ribu, Allah ta'ala uji hati mereka, samada ikhlas, bersyukur dengan apa yang mereka perolehi dari pakej mereka berbanding dengan pakej vip lain, tahan dan tabah dengan sedikit ujian kesusahan ataupun sebaliknya.
Orang miskin yang pergi dengan pakej muassasah pun Allah akan uji hati mereka, samada ikhlas, bersyukur dengan kekurangan yang mereka perolehi dari pakej mereka, tahan dan tabah dengan sedikit ujian kesusahan ataupun sebaliknya.
Berbahagialah orang yang pergi dengan pakej ratusan ribu, Allah kurniakan haji mabrur untuk mereka. Berbahagia juga orang yang pergi dengan pakej muassasah dan Allah kurniakan bagi mereka haji mabrur.
Ya Allah, kurniakan aku haji yang mabrur!

No comments:

Post a Comment