Sunday 6 September 2015

2 Ramadhan 1436H : Lembu Yang Lebih Besar Dari Gajah!

Surah Al-Bqarah mengandungi 286 ayat dan tergolong dalam surah Madaniyyah. Al-Baqarah maksudnya lembu. Al-Fil pula maknanya gajah. Dalam Al-Quran ada surah yang diberi nama Al-Baqarah dan Al-Fil.

Dilihat dari namanya, sudah pasti gajah lebih besar dari lembu. Tetapi tidak begitu halnya di sini. Surah Al-Baqarah mengandungi 286 ayat, merupakan surah yang terpanjang dalam Al-Quran. Jika dikira dari sudut juzuk, ia meliputi 2 juzuk setengah dan 48 mukasurat Mushaf Utsmani.

Surah Al-Fil pula hanya mengandungi 5 ayat dan terletak di bahagian akhir Al-Quran.

Surah Al-Baqarah yang sarat dengan kisah Bani Israil ini juga memiliki satu lagi keistimewaan iaitu ia memiliki ayat yang terpanjang. Ayat itu ialah ayat 282 mengenai hukum hakam berhutang, terletak pada satu mukasurat penuh.

Ayat terakhir yang diturunkan mengikut pendapat majoriti ulamak juga berada di dalam surah Al-Baqarah. Ayat itu ialah ayat 281 ;

وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ ۖ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ 

"Bertaqwalah kamu terhadap hari apabila kamu dikembalikan kepada Allah. Kemudian setiap manusia akan disempurnakan balasan terhadap apa yang dikerjakan dan mereka sekali-kali tidak akan dizalimi"

Jadi, rumusnya begini ;

Surah yang terpanjang ialah Surah Al-Baqarah. Ayat yang terpanjang terletak dalam surah yang terpanjang. Ayat yang terkakhir berada sebelum daripada ayat yang terpanjang.

--------------------------------------------------------------

Indahnya Al-Quran sebagai kitab panduan hidup juga terpancar melalui susunan surah-surahnya. Pernah atau tidak kita terfikir, mengapa selepas Surah Al-Fatihah, Surah Al-Baqarah adalah surah yang pertama dan Surah An-Nas adalah surah yang terakhir?

Kata sahabat saya di Darul Quran suatu ketika dahulu, Saudara Ahmad Lutfi ;

"Allah membuat pengakuan yang hebat di awal Surah Al-Baqarah :

ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ  

"Inilah kitab yang tidak ada keraguan sedikit pun padanya".

Maknanya, jika kita hendak membaca Al-Quran, kita mesti menyedari bahawa Al-Quran yang akan kita baca dari awal sehingga akhirnya itu semuanya benar belaka, semuanya relevan belaka dan semuanya mesti diterima dan digunapakai secara total. Jika kita menyedari hakikat tersebut, barulah kita mula membaca satu persatu; ayat demi ayat, juzuk demi juzuk dan surah demi surah. 

Sebaliknya, jika pengakuan Allah tersebut tidak kita terima, malah banyak pula dolak-dalihnya kita dengan Al-Quran, baik kita jangan baca. Kerana kita akan ada masalah pada akhirnya. Allah kata Al-Quran ini keseluruhannya kita tidak boleh syak dan ragu, tetapi kita pula ada-ada saja takwilan dan tafsiran yang kita buat sendiri.

Kata seorang orientalis (saya lupa namanya) ; "Inilah sebuah buku yang paling berani di atas muka bumi ini. Pengakuan sebegini tidak pernah dibuat oleh mana-mana penulis buku sekalipun!".

Apa pula kaitannya dengan Surah An-Nas sebagai surah yang terakhir dalam susunan?

Selepas kita yakin dengan isi kandungan Al-Quran dari awal hingga akhirnya, barulah kita akan mula membaca. Namun Allah tahu kadang-kadang keyakinan manusia ini boleh saja diganggu gugat, samada oleh syaitan atau pun manusia.

Maka Allah ajarkan satu doa pada akhir Al-Quran melalui Surah An-Nas.

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ ﴿١﴾ مَلِكِ النَّاسِ ﴿٢﴾ إِلَـٰهِ النَّاسِ ﴿٣﴾ مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ ﴿٤﴾ الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ ﴿٥﴾ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ ﴿٦﴾

"Katakanlah; Aku berlindung dengan Tuhan yang menguasai manusia, raja manusia, sembahan manusia, dari kejahatan bisikan yang tersembunyi, yang membisikkan keraguan ke dalam dada manusia, oleh syaitan dari golongan jin dan manusia".


Al-Quran dibuka dengan pengakuan. Al-Quran ditutup dengan doa. Semoga Allah terus memelihara iman kita terhadap Al-Quran sehingga ke akhir hayat.

No comments:

Post a Comment