Sunday 6 September 2015

12 Ramadhan 1436H : Wasiat Buat Anak Adam

Surah Al-A'raf ialah surah Makkiyyah yang mengandungi 206 ayat. Ia dimulai dengan empat huruf iaitu   ا ل م ص :

المص * كِتَابٌ أُنْزِلَ إِلَيْكَ فَلا يَكُنْ فِي صَدْرِكَ حَرَجٌ مِنْهُ لِتُنْذِرَ بِهِ وَذِكْرَى لِلْمُؤْمِنِينَ *

"Alif Lam Mim Sod. Ini adalah kitab yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu, maka janganlah ada kesempitan di dalam dadamu kerananya, supaya kamu memberi peringatan kepada orang kafir dan memberi pengajaran kepada orang yang beriman" [Surah Al-An'am : 1 - 2]

Ada satu lagi surah yang juga dimulakan dengan empat huruf iaitu ا ل م ر :

المر تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ وَالَّذِيَ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ الْحَقُّ وَلَـكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يُؤْمِنُونَ

"Alif Lam Mim Ra. Ini adalah ayat-ayat Al-Quran. Dan kitab yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu itu adalah benar, akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman dengannya" [Surah Ar-Ra'du : 1].

Pada awal Surah Al-A'raf, Allah merakamkan dialog diantaraNya dengan malaikat, iblis dan Nabi Adam as. Kisah berkenaan penciptaan Nabi Adam as dan perintah untuk malaikat sujud kepadanya itu berakhir dengan pengusiran Nabi Adam dan Hawa dari syurga. Iblis pula mendapat laknat dari Allah sehingga ke hari kiamat.

Ekoran dari itu, iblis telah mengisytiharkan permusuhannya dengan dengan seluruh anak cucu keturunan Nabi Adam as dan berjanji untuk menyesatkan mereka dari kiri dan kanan, atas dan bawah.

Maka dengarkanlah 4 wasiat dari Allah, khusus untuk kita sejurus daripada peristiwa besar ini :

1. Jadikan taqwa sebagai pakaian harian kerana ia pakaian terbaik.

 يَا بَنِي آَدَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاساً يُوَارِي سَوْآَتِكُمْ وَرِيشاً وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ ذَلِكَ مِنْ آَيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

"Wahai anak Adam, sesungguhnya kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian yang indah sebagai perhiasan. Sesungguhnya pakain terbaik ialah taqwa. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu beringat" [Surah Al-A'raf : 26].

2. Jangan tertipu dengan iblis dan syaitan yang mengajak ke neraka kerana tidak menutup aurat.

يَا بَنِي آدَمَ لَا يَفْتِنَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ كَمَا أَخْرَجَ أَبَوَيْكُمْ مِنَ الْجَنَّةِ يَنْزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْآتِهِمَا ۗ إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ ۗ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

"Wahai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu tertipu dengan syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga. Ia menanggalkan dari keduanya pakaian mereka untuk memperlihatkan aurat mereka. Sesungguhnya syaitan dan pengikutnya sentiasa melihat kamu dari tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. Sesungguhnya kami jadikan syaitan itu pemimoin bagi orang yang tidak beriman" [Surah Al-A'raf : 27].

3. Jangan makan dan minum berlebih-lebihan kerana itu punca kejahatan.

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

"Wahai anak Adam, pakailah pakaian yang indah setiap kali memasuki masjid untuk beribadah dan makan dan minumlah, tetapi jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan." [Surah Al-A'raf : 31].

4. Sentiasa berbuat amal soleh untuk mendapat ketenangan di dunia dan akhirat.

يَا بَنِي آدَمَ إِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ رُسُلٌ مِنْكُمْ يَقُصُّونَ عَلَيْكُمْ آيَاتِي ۙ فَمَنِ اتَّقَىٰ وَأَصْلَحَ فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

"Wahai anak Adam, jika datang kepadamu para rasul untuk menceritakan tentang ayat-ayat Allah, maka barangsiapa yang bertaqwa dan berbuat baik, pasti dia tidak akan berasa gerun dan sedih apabila bertemu dengan Allah kelak" [Surah Al-A'raf : 35].

Demikianlah 4 wasiat dari Allah untuk sama-sama kita renungkan. Betapa kasihnya Allah pada manusia. Dia tidak akan membiarkan manusia terkapai-kapai keseorangan dalam berhadapan dengan godaan iblis dan syaitan. Diberikan panduan demi panduan supaya kita tidak disesatkan oleh iblis dan syaitan dengan cara yang sama seperti yang telah berlaku kepada nenek moyang kita. 

Peringatan-peringatan tersebut hanya akan bermanfaat sekiranya kita benar-benar beriman.

وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَىٰ تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِينَ

"Berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu bermanfaat kepada orang-orang yang beriman" [Surah Az-Zariyat : 55].



No comments:

Post a Comment