Sunday 6 September 2015

23 Ramadhan 1436H : Jadilah Ibu Bapa Yang Baik.

Surah Al-Kahfi mengambil sempena peristiwa beberapa orang pemuda yang lari dan tidur di dalam sebuah gua kerana mahu menyelamatkan iman mereka. Al-Kahfi bermaksud gua. Surah ini mengandungi 110 ayat dan dikira sebagai surah Makkiyyah.

Selain daripada cerita tentang Ashabul Kahfi, ada beberapa lagi kisah lain yang disebut dalam surah ini seperti kisah seorang lelaki mukmin dan seorang lelaki kafir, cerita nabi Musa as dan nabi Khidir as dan cerita tentang Dzulqarnain dengan Ya'juj dan Ma'juj.

Untuk kali ini, mari kita perhatikan kisah antara nabi Musa as dan nabi Khidir as. Nabi Musa as bertemu dengan nabi Khidir as dalam sebuah perjalanan mencari ilmu pengetahuan bersama muridnya Yusya bin Nun.

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَاهُ لَا أَبْرَحُ حَتَّىٰ أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا

"Dan berkata Musa kepada muridnya : Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga sampai ke pertemuan dua buah lautan atau aku akan berjalan sampai bertahun-tahun" [Surah Al-Kahfi : 60].

Lalu dalam perjalan mereka, Allah pertemukan dengan nabi Khidir as yang banyak mengajar mereka tentang sabar dan hikmah daripada sabar. Nabi musa as yang bertaraf rasul juga mengembara dan menuntut ilmu dari orang lain.

فَوَجَدَا عَبْدًا مِنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِنْ لَدُنَّا عِلْمًا

"Lalu mereka berdua bertemu dengan seorang hamba dari hamba-hamba Kami (Khidir as) yang telah Kami berikan rahmat dari sisi Kami, dan Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami" [Surah Al-Kahfi : 65].

Sepanjang perjalanan bersama nabi Khidir as, ada beberapa peristiwa yang berlaku:

1. Nabi Khidir as membocorkan perahu di atas air.
2. Nabi Khidir as membunuh seorang budak lelaki.
3. Nabi Khidir as menegakkan kembali dinding sebuah rumah.

Kita akan memerhatikan cuma satu sahaja daripada peristiwa tersebut iaitu peristiwa yang ketiga.

فَانْطَلَقَا حَتَّىٰ إِذَا أَتَيَا أَهْلَ قَرْيَةٍ اسْتَطْعَمَا أَهْلَهَا فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمَا فَوَجَدَا فِيهَا جِدَارًا يُرِيدُ أَنْ يَنْقَضَّ فَأَقَامَهُ ۖ قَالَ لَوْ شِئْتَ لَاتَّخَذْتَ عَلَيْهِ أَجْرًا

"Maka kedua-duanya berjalan hingga sampai ke sebuah negeri. Mereka lalu meminta penduduk negeri itu menyediakan makanan untuk mereka tetapi penduduk negeri itu enggan. Kemudian didapati dalam negeri ada sebuah rumah yang dindingnya hampir roboh, maka nabi Khidir menegakkan dinding itu. Musa berkata : Jika kamu mahu, kamu boleh mengambil upah untuk itu" [Surah Al-Kahfi : 77].

Jelas, ada sesuatu yang tidak kena. Penduduk tempat itu sudah tentu bukanlah orang yang baik akhlaknya kerana walaupun mereka sedar mereka mempunyai tetamu yang datang dari jauh dan dalam keletihan, tetapi mereka enggan untuk melayan mereka sebagai tetamu.

Apakah pula rahsianya dinding yang ditegakkan kembali oleh nabi Khidir as itu?

وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنْزٌ لَهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَنْ يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنْزَهُمَا رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ ۚ وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ۚ ذَٰلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا

"Adapun dinding rumah itu kepunyaan dua orang anak yatim di kota itu, dan dibawahnya ada harta simpanan bagi mereka berdua yang ditinggalkan oleh ayahnya yang soleh, maka Tuhanmu mengkehendaki supaya mereka sampai umur dewasa dan mengeluarkan simpanan harta itu sebagai rahmat dari Tuhanmu, dan bukanlah aku (Khidir as) melakukannya menurut kemahuanku sendiri. Demikian itulah tujuan perbuatan-perbuatanku yang kamu tidak dapat bersabar dengannya" [Surah Al-Kahfi : 82].

Ada beberapa point yang perlu kita selami di sini :

1. Rumah yang ditegakkan dinding oleh nabi Khidir adalah kepunyaan dua anak yatim.

2. Di bawah rumah itu ada harta peninggalan ayah kepada kedua-dua anak yatim tadi.

3. Arwah ayah dua yatim tadi adalah seorang yang soleh atau baik amalannya.

4. Allah mengkehendaki harta itu dikeluarkan oleh anak-anak yatim tadi apabila sudah dewasa.

5. Dalam ayat 77 tadi ditambah satu lagi fakta iaitu penduduk tempat itu bukanlah orang yang baik.

Jadi, apa istimewanya cerita ini?

Istimewanya ialah bagaimana dua anak yatim ini sehingga begitu sekali dilindungi oleh Allah dari kejahatan penduduk-penduduk kampung itu? Adatnya jika dinding rumah tadi roboh, maka terbongkarlah rahsia bahawa di dalam rumah itu tersimpan harta. Maka kemungkinan besar penduduk-penduduk kampung itu akan merampas harta kepunyaan dua anak yatim tadi sebelum sempat mereka dewasa dan mempertahankan harta tersebut daripada dirampas.

Perhatikan point nombor tiga di atas iaitu arwah ayah kepada dua anak yatim ini adalah orang yang soleh. Maknanya, dahulu ketika hidupnya dia adalah orang yang baik. Amalannya adalah amalan yang soleh. Lazimnya orang yang soleh ini kerap munajatnya, banyak doanya dan sentiasa di dalam dampingan dan lindungan Allah.

Maka Allah menjaga orang ini sehingga selepas daripada kematiannya. Anak-anak yang ditinggal juga dijaga oleh Allah, sehinggakan Allah menghantar dua orang nabi as entah dari mana datangnya untuk menyelamatkan mereka dan harta mereka.

Lihatlah keajaiban ibu bapa yang baik akhlaknya ketika hidup. Taat mereka kepada Allah. Sabar mereka dengan arahan dan larangan Allah. Sehinggakan aura mereka tidak semestinya dirasai ketika mereka hidup, bahkan selepas mati.

Jangan ambil mudah hal sebegini. Cuba kita renungkan betapa pula halnya jika ibu bapa tidak pedulikan hal ehwal agama. Hidup mereka walaupun nampak senang, tiada kesejukan dalam rumahtangga. Anak-anak dengan hak mereka sendiri. Tidak cukup dengan itu - mungkin - selepas mereka meninggal, berlaku pula perebutan harta pusaka dan lain-lain.

Inilah pengajaran paling besar dalam cerita nabi Khidir as iaitu ibu bapa wajib berakhlak mulia dan beramal soleh. Dan hasilnya sungguh luar biasa. Allah memandangnya walaupun selepas dia sudah meninggal.

Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjaga kita!


No comments:

Post a Comment