Wednesday 2 September 2015

HARI GURU 2015 : SAYANGKAN ANAK, TANGAN-TANGANKAN.



Sempena hari guru tahun ini - sengaja saya awalkan sehari tulisan ini - saya nak kongsi satu perasaan dan harapan pada semua.
Saya rasa sistem pendidikan kita sudah semakin GAGAL. Maksudnya, sudah sekian lama GAGAL dan KEGAGALAN itu semakin parah.
Petang ini saya berpeluang bercakap di hadapan pelajar-pelajar sebuah sekolah menengah di Shah Alam. Masa 1 jam setengah saya rasakan seperti 3 jam. Sungguh panjang.
Suasana sangat bising dan semua dengan hal masing-masing. Hanya satu kesimpulan yang dapat saya buat : pelajar-pelajar di Malaysia majoritinya semakin cerdik dan KURANG AJAR.
Tolong terima hakikat ini. Jika tidak, buktikan saya salah..
Kadang-kadang bila saya merapati mereka, saya pula yang rasa takut. Ada pelajar tingkatan 1 yang "mengusik" saya dengan soalan yang sangat lucah. Mereka fikir soalan itu "lucu" lalu kawan-kawan di sebelah meraikannya dengan ketawa.
Di mana silapnya institusi pendidikan kita? Di mana lompongnya institusi pendidikan masa kini?
Saya masih tetap beriman dengan hakikat bahawa institusi pendidikan bermula, berlangsung dan berakhir di rumah. Ibu bapa jangan lepas tangan. Tolong didik anak anda dengan tangan. Tolong!
Guru di sekolah makin hilang taringnya. Tangan mereka diikat. Kaki mereka dibelenggu. Buat ini salah. Capai itu tak kena. Sentuh murid jadi dosa besar sekarang. Hukum murid jawabnya "neraka jahannam" yang menanti.
Seorang guru pernah bercerita kepada saya. Seorang muridnya memanggil dia PELACUR. Bila dikhabarkan kepada keluarga, guru pula yang diserang.
Apa sudah jadi?
Pendidikan sebenar bermula, berlangsung dan berakhir di rumah.
Saya pernah tengok seorang anak kecil mencarut-carut ibunya. Saya pernah lihat seorang anak kecil mengamuk dan meludah ibunya.
Dan ibunya? Hanya mampu tersenyum kelat!
Sedih dan miskin nilai ibu bapa begini. Anak cerdik di atas kertas ujian, tetapi gagal dan miskin akhlak.
Ibu bapa, tolong didik anak-anak kita dengan tangan. Tolong.
Tolong guru menyambung didikan yang bermula rumah. Tolong universiti menyambung didikan di menara gading. Tolong diri anak-anak menyambung didikan tersebut bila mereka sudah menjadi ibu bapa kepada cucu-cucu keturunan anda.
Gagal mendidik di rumah, apakah anda harap berjaya didikan itu di sekolah?
Saban tahun Hari Guru disambut, Hari Guru dirai. Hadiah diberi tanda ingatan. Ucapan tahniah bertukar mulut tanda terima kasih. Tapi benarkah bagai diucap? Bermaknakah apa yang dilafaz? Di mana kayu pengukurnya?
Tuan-tuan yang budiman. Sistem pendidikan kita GAGAL. Ia telah lama GAGAL dan semakin hari semakin GAGAL.
Jom kita sama-sama betulkan balik apa yang kita silap supaya hasilnya akan berlainan. Kembalikan maruah sistem pendidikan dan guru-guru yang menggalasnya. Tolong guru-guru dengan sokongan. Tolong guru-guru dengan mendidik anak dengan tangan.
Tolong! Tolong! Tolong!
Maaf jika ada yang terasa. Saya juga bimbang kerana saya juga ada anak-anak yang perlu dididik dengan tangan.
Moga Allah beri kekuatan.
Selamat menyambut Hari Guru buat semua yang bergelar guru. Sekali dipanggil "Cikgu" selamanya anda akan dipanggil "Cikgu".
Teristimewa buat semua guru saya dari dulu hingga kini,
Terima kasih tidak terhingga. Ampun maaf dari anak muridmu yang hina. Minta dihalalkan segala ilmu. Doakan syurga buat saya.
Khairul Anuar Basri
16 Mei 2015.
*Selamat Hari Guru buat isteri tercinta Puan Yuhana Abdul Rahman. Moga sentiasa tabah di rumah dan sekolah.

No comments:

Post a Comment