Sunday 6 September 2015

19 Ramadhan 1436H : Syukurlah! Malaysia Masih Aman.


Surah Ibrahim turun di Melah sebelum peristiwa hijrah nabi Muhammad saw ke Madinah. Dinamakan "Ibrahim" kerana surah ini mengandungi doa nabi Ibrahim as bermula dari ayat 35 sehingga ayat 41. Antara lain isi kandungan doanya ialah supaya seluruh anak cucu keturunannya mendirikan solat, menjauhi penyembahan berhala dan supaya Allah menjadikan Mekah dan kawasan sekitarnya makmur dengan segala macam bentuk keamanan dan kemakmuran.

Terbukti doa nabi Ibrahim itu dimakbulkan oleh Allah. Sehingga sekarang Mekah kekal dalam keamanan dan kemakmuran. Kata orang, tiada satu benda pun yang kita tidak boleh dapati di Mekah. Macam-macam ada!

Dalam ayat 7 Allah membuat perbandingan yang sangat membekas di hati orang mukmin :

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

"Dan ingatlah tatkala Allah memaklumkan bahawa, sesungguhnya jika sekiranya kamu bersyukur, Aku akan tambah nikmat kepadamu, dan sesungguhnya jika sekiranya kamu kufur akan nikmatKu, maka sesungguhnya azabKu amatlah pedih" [Surah Ibrahim : 7].

Perhatikan!

Allah menerangkan tentang balasan orang yang bersyukur dengan nikmatNya dan orang orang yang tidak bersyukur (kufur) akan nikmatNya. Bagi mereka yang bersyukur, Allah akan menambahkan lagi kurniaan nikmat yang melimpah ruah.

Syukur lawannya kufur. Sepatutnya apabila orang yang bersyukur dibalas dengan tambahan nikmat, maka orang yang kufur dikurangkan nikmat bagi mereka. Tetapi tidak begitu keadaannya. Orang yang kufur dan tidak bersyukur dengan nikmat Allah, maka baginya balasan azab siksa yang amat pedih dari Allah.

Maknanya, Allah memberi amaran. Jangan dipandang remeh dengan sifat syukur dan berterima kasih. Ia sifat yang sangat terpuji, warisan dari para nabi dan rasul. Ia senang disebut tetapi sukar untuk diamalkan. Kata Allah, orang bersyukur ini sangat sedikit bilangannya.

Nabi Muhammad saw sebagai contoh, seorang yang sangat bersyukur.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا صَلَّى قَامَ حَتَّى تَفَطَّرَ رِجْلَاهُ قَالَتْ عَائِشَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَصْنَعُ هَذَا وَقَدْ غُفِرَ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ؟ فَقَالَ: « يَا عَائِشَةُ أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا؟

"Berkata Aisyah ra : Adapun Rasulullah saw bangun bersolat sehingga bengkak kedua-dua kakinya. Maka bertanya Aisyah ra : Kenala kamu membuat semua ini, sedangkan Allah telah pun mengampunkan semua dosamu yang dahulu dan akan datang? Berkata Baginda saw : Wahai Aisyah, apakah salah aku menjadi hamba yang bersyukur?" [Muslim].

شَاكِراً لِّأَنْعُمِهِ اجْتَبَاهُ وَهَدَاهُ إِلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

"Nabi Ibrahim as itu mensyukuri nikmat-nikmat Allah, lantas Allah memilihnya dan menunjukkan baginya jalan yang lurus" [Surah An-Nahl : 121].

ذُرِّيَّةَ مَنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ ۚ إِنَّهُ كَانَ عَبْدًا شَكُورًا

"Zuriat keturunan yang kami bawa bersama-sama Nuh, sesungguhnya dia adalah hamba Allah yang banyak bersyukur" [Surah Al-Isra' : 3].

اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْراً وَقَلِيلٌ مِّنْ عِبَادِيَ الشَّكُور

"Bekerjalah wahai ahli keluarga Daud untuk bersyukur kepada Allah. Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang berterima kasih (bersyukur)" [Surah Saba' : 13]

Syukur juga rupa-rupanya sifat Allah. Jangan ingat manusia sahaja yang bersyukur dan perlu bersyukur. Allah sendiri, salah satu dari namaNya yang mulia ialah "Syakur" yang bermaksud maha berterima kasih. 

لِيُوَفِّيَهُمْ أُجُورَهُمْ وَيَزِيدَهُم مِّن فَضْلِهِ إِنَّهُ غَفُورٌ شَكُورٌ

"Allah akan menyempurnakan pahala kepada mereka dan menambahkan kurniaNya sesungguhnya Allah itu maha pengampun lagi maha berterima kasih" [Surah Fathir : 30].

Bagaimana sifat terima kasih Allah?

Allah berterima kasih dan mensyukuri hambaNya dengan cara memberi pahala terhadap amal soleh yang dikerjakan dan memaafkan kesalahan orang yang bertaubat. Apabila Allah menambah lagi nikmat bagi orang yang bersukur, itu juga tanda terima kasih Allah pada hambaNya.

Nah! Sekarang, apa sebenarnya maksud syukur dan kufur? Adakah syukur itu sekadar menyebut alhamdulillah? Atau bagaimana?

Sebenarnya Allah tidak mengharapkan ucapan terima kasih manusia. Tetapi sangat suka orang yang berterima kasih padaNya dengan cara memperbanyakkan amal soleh dan mendekatkan diri dengan Allah. Taat kepada segala perintah dan larangan Allah adalah bentuk kesyukuran yang tertinggi. Orang yang bersyukur pada Allah, akan mengembalikan kesemua nikmat yang diperolehi ke jalan Allah dan manfaat sesama manusia. 

Sebagai contoh, nikmat sihat tubuh badan disyukuri dengan menggandakan amalan solat dan puasa. Nikmat harta benda pula disyukuri dengan bersedekah dan berzakat. Nikmat Islam dan Iman pula disyukuri dengan mematuhi setiap perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Itulah maksud syukur yang sebenar.

Jadi mulai sekarang, jadilah kita hamba Allah yang bersyukur dan membalas semua nikmat yang diberi kepada kita. Bersyukurlah pada perkara yang kecil, nanti kita akan bersyukur pada perkara yang besar. Bersyukur dengan apa yang kita ada dan jangan pula kita risau dengan apa yang bukan milik kita. Jangan pula apabila semua nikmat itu sudah ditarik oleh Allah, barulah kita hendak bersyukur.

Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap baru kan terasa bila hilang
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman
[The Zikr]

وَاللّهُ أَخْرَجَكُم مِّن بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لاَ تَعْلَمُونَ شَيْئاً وَجَعَلَ لَكُمُ الْسَّمْعَ وَالأَبْصَارَ وَالأَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

"Dan Allah yang mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan kamu tidak tahu apa-apa. Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati sanubari, moga-moga kamu bersyukur" [Surah An-Nahl : 78].


No comments:

Post a Comment