Wednesday 2 September 2015

BERAKHLAKLAH DENGAN AKHLAK AL-QURAN.

Sebulan dua ini negara kita sarat dengan pelbagai kisah suka duka politik, sehingga menenggelamkan kemeriahan Ramadhan dan sambutan Syawal. Saya bukanlah orang yang alim atau terbaik untuk berbicara soal ini, tetapi saya rasa terpanggil untuk mengulas - baca menegur - dari satu sudut pandang yang sedikit berbeza.

Kadang-kadang saya rasa kita ini sudah terlalu melampau dalam memanjangkan sesuatu isu, sehingga melanggar batas-batas dosa dan pahala.

Ada kalanya, sekali dua kita menyebut tentang sesuatu tajuk, masyarakat boleh menerima dengan senang hati. Tetapi apabila terlalu acapkali di sebut, timbul pula perasaan meluat

Saya menyebut ini dari sudut baik, buruk, dosa dan pahala. Saya tidak menyebelahi sesiapa atau cuba untuk memenangkan sesiapa. Masing-masing ada hak untuk menyuarakan pendirian dan pandangan masing-masing, tetapi jangan pula sampai mencari, mencipta dan memanjangkan perbuatan dosa.

Tidak kira anda dari kem mana. BN, PAS, PKR, DAP, GHB mahupun yang berada di atas pagar.

Tidak kira anda penyokong siapa. DSNR, TSMY, DSHH, MS, DSAI atau sesiapa pun.

Tidak kira anda pentaksub aliran mana sekalipun. ASWJ, HABAIB, WAHABI, SALAFI atau tokoh-tokoh tertentu.

Jangan kita pula lebih senduk dari kuah. Yang lepas itu lepaslah. Jangan pula kita sengaja mencari dosa dan membuat jariah dari dosa tersebut apabila orang ramai mula menekan butang SHARE di laman muka buku ini.

Gambar yang saya sertakan ini merupakan salah satu dari berpuluh - mungkin beratus - contoh, bagaimana kita mula mencipta dosa yang berantai buat diri kita.

Apa yang cuba hendak kita sampaikan? Apa sebenarnya matlamat kita? Adakah masalah selesai?

Saudara-saudara Islamku... Apa yang berlaku, telah pun berlaku. Jangan pula dipanjangkan perkara yang telah selesai dengan dosa ciptaan kita sendiri. Dengan tulisan sedemikian, kita hanya memanjangkan persengketaan, menghubungkan cercaan dan mengada-adakan adu domba dan permusuhan.

Bertaqwalah kita semua dengan firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 11 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَىٰ أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَىٰ أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ


"Wahai orang-orang yang beriman, jangan satu kaum mencerca satu kaum yang lain, boleh jadi mereka yang dicerca adalah lebih baik. Jangan pula wanita-wanita mencerca wanita-wanita yang lain, boleh jadi yang dicerca itu adalah lebih baik. Janganlah kamu mencela diri kamu sendiri. Dan jangan kamu saling panggil memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah panggilan yang buruk sesudah iman. Barangsiapa yang tidak bertaubat,  maka mereka itulah orang yang zalim".

Simpan rasa benci kita itu untuk diri sendiri. Cukup-cukuplah dipanjang-panjangkan kepada orang lain. Bimbang nanti kita terbuat dosa tanpa disedari. Apatah lagi jika dosa itu berpanjangan dan bersambung-sambung.

Mungkin firman Allah yang berikut boleh juga dijadikan panduan dalam kita menulis di muka buku ini.

لَا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَنْ ظُلِمَ ۚ وَكَانَ اللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا

"Allah tidak suka dengan ucapan buruk yang diucapkan secara terang-terangan, kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah itu maha mendengar lagi maha mengetahui" [Surah An-Nisa' : 148]

Jaga akhlak kita. Kita orang Islam. Kita baca Al-Quran. Berakhlaklah dengan akhlak Al-Quran.


Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment