Sunday 6 September 2015

24 Ramadhan 1436H : Dia... Wanita Luar Biasa.

Surah Maryam mengandungi 98 ayat dan dikira sebagai surah Makkiyyah. Surah ini mendapat nama daripada ibu nabi Isa, Maryam yang diceritakan sebahagian besar kisahnya dalam surah ini. Lebih menarik, Maryam adalah satu-satunya wanita yang disebut namanya dalam Al-Quran secara jelas.

Seperti juga bapanya Imran, Maryam bukan rasul. Apabila Imran disebut secara ekslusif di dalam Al-Quran, Allah ingin mengajar kita bahawa semua orang berhak untuk mendapat tempat istimewa di sisi Allah asal saja sanggup menyerahkan seluruh jiwa raganya untuk beribadah kepada Allah.

Maryam mewakili kaum wanita. Maksudnya, wanita juga ada tempat istimewa di sisi Allah. Islam tidak pernah membezakan antara jantina. Pejuang-pejuang hak asasi manusia berasaskan gender kadang-kadang keliru dengan kesamarataan hak yang mereka perjuangkan. Mereka melihat ketidaksaamaan sebagai diskriminasi. Padahal lelaki dan wanita, hak dan tanggungjawabnya tidak akan pernah sama sekali sama antara satu sama lain sehingga hari kiamat. Kedua-keduanya punya tempat tersendiri di sisi Tuhan, dalil kepada keistimewaan mereka.

Maryam istimewa dalam banyak hal. Sejak sebelum ibunya melahirkannya lagi, dia sudah cukup istimewa. Ibunya, isteri Imran bernazar, untuk menjadikan anak dalam kandungan isterinya ketika itu sebagai pemberi khidmat di Mihrab iaitu tempat ibadat orang Yahudi. Tiba-tiba anak yang lahir bukan lelaki tetapi perempuan. Maka sebagai tanda kepatuhan kepada Allah, Maryam berkhidmat di Mihrab. Ini adalah luar dari kebiasaan. Tidak pernah seorang perempuan bertugas menjaga Mihrab. Anehnya, Maryam tidak membantah.

إِذْ قَالَتِ امْرَأَتُ عِمْرَانَ رَبِّ إِنِّي نَذَرْتُ لَكَ مَا فِي بَطْنِي مُحَرَّرًا فَتَقَبَّلْ مِنِّي ۖ إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

"Ketika isteri Imran berkata : Ya Tuhanku, sesungguhnya aku bernazar kepada Engkau, anak yang aku kandungkan ini akan menjadi hamba yang soleh dan berkhidmat di Baitul Maqdis. Kerana itu terimalah nazarku, sesungguhnya Engkau maha mendengar lagi maha mengetahui" [Surah Ali Imran : 35].

Maryam seorang wanita yang solehah, rajin beribadah dan sentiasa mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang sia-sia. Sebab itu darjatnya sangat tinggi. Wanita secara fitrah gemar untuk bercakap sesama sendiri. Apabila banyak cakapnya, banyaklah silapnya. Apabila banyak silapnya, banyaklah dosanya.

Wanita yang mulia ialah yang berjaya mengawal dirinya daripada kejahatan mulutnya. Ini wanita yang bertindak di luar kebiasaannya. Ini wanita luar biasa. Sebab itu Maryam tidak sama seperti kebanyakan wanita-wanita lain di tempatnya.

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ مَرْيَمَ إِذِ انتَبَذَتْ مِنْ أَهْلِهَا مَكَانًا شَرْقِيًّا 

"Dan ceritakanlah wahai Muhammad kisah Maryam dalam Al-Quran ketika dia menjauhkan diri daripada keluarganya ke suatu tempat di sebelah Timur iaitu Baitul Maqdis" [Surah Maryam : 16].

Kesolehahan Maryam dibandingkan oleh masyarakat setempat setanding dengan solehnya nabi Harun as. Ini satu pengiktirafan kepada kaum wanita. Di zamaf wanita hanya dijadikan tempat melepaskan nafsu lelaki, Maryam menjaga dirinya dan maruahnya dengan begitu baik sekali sehingga terkenal sebagai orang baik-baik.

يَا أُخْتَ هَارُونَ مَا كَانَ أَبُوكِ امْرَأَ سَوْءٍ وَمَا كَانَتْ أُمُّكِ بَغِيًّا

"Wahai saudara Harun, ayahmu bukanlah seorang yang jahat dan ibumu pula bukanlah penzina" [Surah Maryam : 28].


Dalam surah ini juga Allah mengajar kita bahawa puasa itu sinonim denganamalan mengurangkan percakapan. Ramai antara kita yang banyak bercakap walaupun sedang berpuasa. Betapa rapatnya hubungan puasa dengan kurang bercakap , sehingga pada zaman dahulu, jika kita memberitahu kita sedang berpuasa, maka semua orang akan faham yang kita tidak akan bercakap sehinggalah kita berbuka puasa.

فَكُلِي وَاشْرَبِي وَقَرِّي عَيْنًا ۖ فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ الْبَشَرِ أَحَدًا فَقُولِي إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَٰنِ صَوْمًا فَلَنْ أُكَلِّمَ الْيَوْمَ إِنْسِيًّا

"Maka makan, minum dan bersenang hatilah kamu wahai Maryam. Jika kamu melihat manusia hampir kepadamu, maka katakanlah : Aku telah bernazar untuk berpuasa kerana Allah. Maka aku tidak akan berbicara dengan seorang manusia pun" [Surah Maryam : 26].

Yang terakhirnya dalam keadaan puasa menggalakkan kurang bercakap, ada manusia yang memang suka bercakap perkara-perkara yang buruk termasuk menuduh manusia sesuci Maryam melakukan zina. Ini perangai manusia turun termurun, jasa daripada suka bercakap dan tidak menjaga mulut.

Bercakap tentang orang lain hanya akan samada menjadi umpatan ataupun fitnah. Jika benar apa yang dicakapkan itu, maka kita dikira mengumpat. Jika tidak benar perkara yang dicakapkan itu, maka kita dikira memfitnah. Jadi, yang sebaiknya kita tinggalkan amalan suka menjaga tepi kain orang. Hidup akan lebih tenang.


وَمَرْيَمَ ابْنَتَ عِمْرَانَ الَّتِي أَحْصَنَتْ فَرْجَهَا فَنَفَخْنَا فِيهِ مِنْ رُوحِنَا وَصَدَّقَتْ بِكَلِمَاتِ رَبِّهَا وَكُتُبِهِ وَكَانَتْ مِنَ الْقَانِتِينَ


"Dan Maryam puteri Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian daripada roh ciptaan Kami, dan dia membenarkan kalimah-kalimah dan kitab-kitab Tuhannya, dan dia termasuk dalam golongan orang-orang yang taat" [Surah At-Tahrim : 12].

No comments:

Post a Comment