Sunday 6 September 2015

4. Ramadhan 1436H : Semua Boleh Jadi Manusia Luar Biasa



Surah Ali Imran mengandungi 200 ayat. Ia dikira sebagai surah Madaniyyah kerana diturunkan selepas hijrah nabi saw ke Madinah. Surah Ali Imran dan Surah Al-Baqarah dikenali sebagai Az-Zahrawani yang bermaksud dua surah yang cemerlang kerana tersimpan pada keduanya banyak cerita yang cuba disembunyikan oleh Ahlul Kitab seperti misteri kelahiran nabi Isa as dan kedatangan nabi Muhammad saw.

إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى آدَمَ وَنُوحًا وَآلَ إِبْرَاهِيمَ وَآلَ عِمْرَانَ عَلَى الْعَالَمِينَ 

"Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam as, Nabi Nuh as, ahli keluarga Nabi Ibrahim as dan ahli keluarga Imran dari seluruh manusia di muka bumi" [Surah Ali Imran : 33].

Surah Ali Imran di mulai dengan huruf-huruf ا ل م yang Allah sahaja mengetahui apakah maksud sebenar huruf-huruf tersebut. Di dalam Al-Quran, ada 6 surah yang dimulakan dengan huruf الم iaitu :

1. Al-Baqarah 
الم ﴿١﴾ ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ ﴿٢﴾

2. Ali Imran
الم ﴿١﴾ اللَّـهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ ﴿٢﴾

3. Al-'Ankabut
الم ﴿١﴾ أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ﴿٢﴾

4. Ar-Rum
الم ﴿١﴾ غُلِبَتِ الرُّومُ ﴿٢﴾

5. Luqman
الم ﴿١﴾ تِلْكَ آيَاتُ الْكِتَابِ الْحَكِيمِ ﴿٢﴾

6. As-Sajdah
الم ﴿١﴾ تَنزِيلُ الْكِتَابِ لَا رَيْبَ فِيهِ مِن رَّبِّ الْعَالَمِينَ ﴿٢﴾


Imran manusia biasa, bukan nabi atau rasul. Apa yang begitu istimewa tentang Imran sehingga Allah memilihnya untuk diceritakan kisahnya sebaris dengan para nabi dan rasul?

Walaupun beliau manusia biasa, beliau duduk setaraf dengan para nabi dan rasul dari sudut ketaatan dan penyerahan dirinya pada Allah. Maknanya, sesiapa saja berpeluang untuk menjadi sehebat para nabi dan rasul, asalkan mereka bersungguh-sungguh untuk mencapainya.

Ini satu bukti bahawa Allah memandang semua orang dengan pandangan yang sama. Apa yang membezakan antara sesama manusia ialah tahap ketaqwaan mereka kepada Allah.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

"Wahai sekelian manusia, sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari kalangan lelaki dan perempuan, berbangsa-bangsa dan bersuku puak untuk kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu ialah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah itu maha tinggi ilmu pengetahuanNya" [Surah Al-Hujurat : 13].

Surah Ali Imran juga bukti kehebatan Al-Quran itu sendiri. Tidak ada satu pun kitab dari langit yang lebih hebat dari Al-Quran. Sebagai contoh, Al-Quran banyak menyebut tentang susur galur keluarga Imran, bermula dari dirinya sendiri, Maryam anaknya dan Nabi Isa as cucunya lebih daripada apa yang disebut oleh orang Kristian melalui Kitab Injil itu sendiri. Ini bukti Islam menerima kerasulan nabi Isa as dan keistimewaan keturunannya lebih daripada apa yang diimani oleh penganut Kristian.

Terlebih istimewa, Al-Quran mengabadikan Keluarga Imran ini sebagai nama sebuah surah dan Maryam juga sebagai nama sebuah surah yang lain.



No comments:

Post a Comment