Sunday 6 September 2015

30 Sya'ban 1436H : Mukaddimah

Bulan Ramadhan bulan Al-Quran. Istimewanya Ramadhan itu jika dirujuk kepada Surah Al-Baqarah ayat 183 sehingga 185 bukan terletak kepada kewajiban berpuasa semata-mata tetapi kerana Al-Quran diturunkan di bulan itu. Apa signifikannya bila Allah bercerita tentang hukum asas ibadah puasa dan diselitkan fakta bahawa Al-Quran itu diturunkan dalam bulan Ramadhan? Sudah pasti ada hikmah yang tersembunyi yang mesti kita fikirkan.

Ramai orang membaca Al-Quran tetapi tidak ramai yang memahami maksud Al-Quran. Mungkin kerana halangan bahasa. Mungkin juga kerana tiada keinginan untuk mengerti dengan lebih dalam apa yang terkandung dalam setiap patah kata dan ayat.

Memahami makna perkataan tidaklah bererti seseorang itu faham keseluruhannya apa yang cuba disampaikan oleh Al-Quran. Melihat tafsir mungkin boleh membantu, tetapi tidak secerah pandangan apabila sudah membaca syarah atau penjelasan kepada tafsir tersebut. Ini kerana ada ilmu lain yang perlu disulami untuk sampai ke tahap yang lebih baik. 

Kadang-kadang perlu tahu sebab turun ayat. Ada kalanya perlu juga faham konteks ayat dan suasana bagaimana ayat itu diturunkan. Barulah pemahaman jadi sempurna dan pengertian sebenar dapat diterokai.

Walau bagaimana pun, Al-Quran itu tetap juga mesti dibaca dan difahami, sekadar yang termampu. Kerana Al-Quran itu panduan, Al-Quran itu penyelesai masalah. Al-Quran  itu amaran, Al-Quran itulah juga hiburan. Kalau nak ditunggu mahir dan fasih berbahasa arab barulah hendak mula memahami Al-Quran, maka sampai kiamat pun tidak akan berlaku hal yang sedemikian.

Jadi, saranan saya ; bermulalah di mana sahaja dengan apa jua kemampuan yang kita ada. Kerana Al-Quran itu sangat mesra pembacanya. Apa yang paling penting, kita mesti tadabbur makna dan isi Al-Quran.

Secara relatifnya ada 2 tempat di dalam Al-Quran, Allah menyebut tentang tadabbur.

1.  أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا
  
Adakah mereka tidak memerhatikan Al-Quran? Jika ianya bukan datang dari Allah, pasti kamu akan dapati percanggahan yang sangat banyak [Surah An-Nisa' : 82].

2.  أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا

Adakah mereka tidak memerhatikan Al-Quran? Ataukah hati mereka telah terkunci? [Surah Muhammad : 24].

Ayat yang pertama merujuk kepada bukti dan dalil bahawa Al-Quran ini datang dari Allah swt. Orang yang sentiasa membaca Al-Quran, imannya kepada Allah akan menjadi semakin kuat kerana ketinggian nilai dan mutu kalamNya.

Ayat yang kedua pula merujuk kepada kesan jika kurang membaca dan memerhatikan isi kandungan Al-Quran iaitu hati akan menjadi terkunci. Ia boleh jadi keras dan kesat dek kerana terlalu lama tidak menyentuh dan membaca Al-Quran.

Formulanya sangat mudah!

Rajin baca Al-Quran, tergerak untuk memahami isi dan kandungannya, hati akan jadi lembut dan iman akan bertambah.


Malas baca Al-Quran, jauh sekali untuk fikir dan faham, hati akan jadi keras dan iman akan berkurang.

No comments:

Post a Comment