Showing posts with label Nasihat Agama Wasiat Iman. Show all posts
Showing posts with label Nasihat Agama Wasiat Iman. Show all posts

Friday, 8 January 2016

KNOWLEDGE IS POWER!

KNOWLEDGE IS POWER.

Apabila kita menyebut ungkapan "Knowledge is Power" kita akan menyandarkan ungkapan itu kepada seorang ahli falsafah Inggeris bernama Francis Bacon. Beliau yang lahir pada tahun 1561 sangat dikenali kerana keilmuannya yang tinggi.

Sebenarnya kita telah dikelirukan oleh fakta sejarah yang ditulis oleh orang-orang yang berkuasa pada zaman dan waktu sejarah itu ditulis. Banyak kita temui, fakta-fakta yang menonjolkan kehebatan siapa yang mahu dilihat lebih berkuasa. Ini salah satu daripada contohnya.

Hakikatnya, Allah telah meyebut tentang kekuasaan ilmu pengetahuan ini jauh lebih dahulu dari tahun Francis Bacon dilahirkan. Perhatikan Surah Ar-Rahman ayat 33 yang berbunyi :

يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ إِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَن تَنفُذُوا مِنْ أَقْطَارِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ فَانفُذُوا ۚ لَا تَنفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطَانٍ

Wahai sekelian jin dan manusia, jika kamu mampu melintasi penjuru langit dan bumi, maka lintasilah ia. Kamu tidak akan mampu melintasinya kecuali dengan kekuatan.

Imam Al-Ghazali dalam membicarakan tentang kemajuan sains dan teknologi sehingga terhasilnya kapal terbang, jet bahkan roket yang mampu menembusi ruang angkasa lepas telah menegaskan bahawa; maksud "kekuatan" di sini adalah kekuatan ilmu!

Nah! Sudah jelas bukan. Allah telah lama menyebutnya dan ia terakam kemas dalam lembaran kitab suci Al-Quran. Tinggal kita saja yang samada mahu atau tidak menjadikan ilmu sebagai sumber kekuatan dan kejayaan.

Selamat bertindak; mencari ilmu dan mempraktikkan ilmu yang diperolehi.

Wednesday, 2 September 2015

UCAPAN SELAMAT HARI NATAL.

Setiap kali tibanya Hari Natal atau Krismas maka mulalah semuanya berpolemik tentang apakah harus atau tidak, sekurang-kurangnya mengucapkan tahniah dan selamat oleh seorang Muslim atas kehadiran hari ini kepada penganut agama Kristian.

Majlis Fatwa Kebangsaan mengharuskan atas dasar keharmonian antara kaum dan tiada unsur mengiktiraf kesahihan agama Kristian.

Mufti Menk pula mengharamkan dengan dalil yang di bawa dari Al-Aquran dalam surah Maryam ayat 88-91; bahawa tidak harus mengucapkan tahniah kepada satu perayaan yang mengiktiraf Allah itu mempunyai anak dan anak itu lahir pada hari ini.

Pendapat ini juga disokong oleh pendakwah agama terkenal iaitu Dr. Zakir Naik, yang sangat luas kajiannya tentang kristianiti dan agama-agama terkemuka lain di dunia.

Saya melihat isu ini lebih kepada perlu atau tidak perlu. Kemudian kepada kesan sampingan yang mungkin timbul jika saya sebagai seorang Muslim tidak mengucapkan "Merry Chrismast" kepada rakan-rakan kristian saya. Ia juga berkait langsung juga dengan sensitiviti seseorang Muslim berkaitan akidah yang dipegangnya iaitu berteraskan keesaan Allah.

Tanpa menidakkan autoriti Majlis Fatwa Kebangsaan yang dibarisi oleh ulamak muktabar negara ini, saya berpendapat keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bukanlah sesuatu yang tidak boleh dicabar. Tambahan pula banyak keadaan di mana Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan sesuatu keputusan yang jelas kontroversi (seperti hukum berkenaan ASB, rokok dan lain-lain) dan tidak memutuskan sesuatu yang lebih penting seperti hukum orang yang menghina hukum Allah (seperti hudud dan sebagainya).

Jadi, terpulanglah kepada kita untuk memilih hukum mana yang terguna pakai, bergantung kepada tahap ilmu dan sensitiviti kita. Yang penting kita tahu apa yang kita buat dan apa kesannya pada akidah kita. Jika tak pandai, jangan pula sampai memandai-mandai. Jika tak perlu, jangan pula menjadikannya sebagai satu keperluan yang memberi kesan besar jika tidak diucapkan.

Cumanya, mungkin bagi yang mengambil pendapat tidak harus memberi makan daging sembelihan (samada sembelihan wajib atau sunat) atas apa sebab sekalipun kepada bukan Islam, maka hukum mengucapkan "Merry Chrismast" pada hari ini juga adalah lebih lagi tidak harus.

Jangan pula kita mengambil sikap double standard. Jika daging sembelihan kepunyaan kita, kita begitu bertegas tidak boleh dikongsi dengan bukan Islam, atas apa sahaja sebab, maka lebih lagilah ucapan tahniah atas perayaan yang jelas mengiktiraf bahawa orang yang lahir pada hari ini (katanya) adalah anak Allah!

"Dan mereka berkata, Allah itu mempunyai anak. Sungguh kamu telah mengucapkan sesuatu yang sangat keji. Hampir saja langit pecah, bumi terbelah dan gunung-ganang runtuh kerana ucapan itu. Kerana merka mendakwa Allah itu mempunyai anak". - Maryam 88-91.

CINTA ADALAH PERSAMAAN.

Cinta adalah kebolehan mencari titik persamaan antara dua pencinta. Semakin banyak persamaan antara pasangan bercinta, semakin utuh nilai dan hubungan cinta. Ramai pula pasangan yang tidak kekal cinta mereka hanya kerana terlalu banyak perbezaan yang menjurangi cinta.
Lazimnya orang yang diburu cintanya hanya akan mencinta orang yang cinta padanya. Cinta yang diterima pula, hanyalah cinta yang lahir dari lubuk hati yang paling dalam.
Semakin kuat naluri cinta seseorang yang memburu cinta, semakin banyak persamaan yang terserlah walaupun pada awalnya dia cuma berusaha mewujudkan persamaan demi kerana cinta.
Manusia yang memburu cinta, akan sedaya mungkin melakukan hanya perkara yang disukai oleh orang yang diburu cintanya. Sebaliknya cinta tidak dapat diraih, jika manusia berbuat sesuatu yang menyalahi kesukaan orang yang diburu cintanya itu. Makin banyak kesukaan orang yang diburu cintanya dapat diikut oleh sang pemburu, semakim tinggi peluangnya meraih cinta.
Ini semua hukum dan penangan cinta.
Ramadhan juga bukti cinta. Cinta Allah pada hambaNya tidak pernah ada sempadannya. Allah kurniakan Ramadhan demi cinta pada hamba. Hamba wajib menerima Ramadhan demi pembuktian cinta.
Jika Ramadhan tidak dihayati sebaiknya, cinta hamba tinggal hanya pada bibirnya. Bila ucapan cinta tidak lahir dari hati, mana mungkin Allah akan membalas dengan cintaNya.
Orang yang mendapat cinta Allah pula, sudah semestinya akan sentiasa dirindui Allah. Hayatnya mulia, matinya bahagia, kekal di syurga selamanya. Inilah layanan dari Sang Pencinta kepada kekasihNya yang dicntai.

Muhasabah Cinta
Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari-Mu
Ku pasrahkan semua pada-Mu
Tuhan baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cinta-Mu
Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang ku rasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Illahi muhasabah cintaku
Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan-Mu

BERKABUNG DARI KACA MATA SAYA.

Ada orang bertanya pada saya tentang hukum berkabung. Maka jawab saya:
Jika berkabung itu boleh menjadikan seseorang itu lebih soleh, maka WAJIB hukumnya setiap hari kita berkabung.
Apa tidaknya? Pada hari ini kita lihat:
1. Hiburan dikurangkan - ini memang sudah perintah Allah sejak zaman-berzaman. Hiburan mematikan hati. Sepatutnya program hiburan MESTI dikurangkan setiap hari. Ganti dengan program ilmu.
2. Semua orang bersedih - ini juga perintah Allah untuk semua memperbanyakkan menangis dan kurangkan ketawa. Apatah lagi jika menangis bukan kerana meratapi kematian, tetapi menangis kerana mengingatkan kematian yang bila-bila masa saja akan menjemput kita.
3. Kebanyakan wanita menutup aurat dan berpakaian mengikut syariat- ini juga perintah agama yang WAJIB bukan pada hari kematian atau majlis perkahwinan saja. Warna-warni pada pakaian wanita, ditambah dengan fesyen yang mencolok mata dan membuka aurat, hanya akan mendekatkan diri kepada kemurkaan Allah.
4. Corong radio dan tv dialunkan bacaan Al-Quran - ini adalah hiburan sebenar pelembut hati tanpa sedar. Alangkah indah dan berserinya hidup jika ini adalah halwa kita setiap hari. Sejuk telinga kita kan?
5. Dan banyak lagi perkara-perkara yang baik berlaku pada hari ini. Semangat mengambil berat antara satu sama lain, semangat merasai penderitaan dan kesakitan jiran dan taulan, dan lain-lain...
Lihatlah sesuatu dengan pandangan mata hati yang lebih luas. Kurangkan berselisih pada perkara yang tidak memberi apa-apa manfaat sedikit pun. InsyaAllah kita akan melihat Islam dari sudut pandang yang amat luas lagi indah. Akhirnya, kita akan bangga menjadi orang Islam, bukan hanya pada namanya Islam!
Wallahu a'lam.

CEGAH SEBELUM PARAH ATAU CEGAH SEBELUM KENA?

Ramai orang bercerita tentang bagaimana sesuatu ubat boleh merawat penyakit. Jika anda diberi pilihan samada merawat penyakit atau mencegah penyakit, yang mana anda pilih?
Malang tidak berbau. Ramai orang memilih untuk hidup selesa sekarang tanpa risau sedikitpun dengan kemungkinan akan mengalami penyakit. Mereka jimat sekarang, tetapi akan berbelanja besar kemudian hari untuk merawat penyakit yang sudah tidak dapat diubati, cuma mungkin boleh dikurangkan. Sudah jatuh baru nak terngadah, pastinya kosnya akan berlipat kali ganda.
Penyakit boleh dielak - dengan izin Allah - jika kita tukar sedikit trend dan pemahaman kita tentang kesihatan. Walaupun kita sekarang ini sihat, tidak salah jika kita bebelanja sedikit untuk memelihara kesihatan itu.
Bayangkan, berapa kos yang anda jimat pada masa hadapan jika anda mula berbelanja sedikit sekarang sebagai usaha mengelakkan penyakit? Sudah tentu ia lebih jimat dan berbaloi bukan?

SIFAT MULIA PEROKOK.

Sesungguhnya pada setiap perokok tegar itu terhimpun 2 sifat mahmudah yang akan membawa ke syurga :
1. Istiqamah
2. Menghubungkan silaturrahmi
Di waktu senang dan susah, siang atau malam, mereka tetap setia bersungguh-sungguh melakukan aktiviti merokok. Inilah martabat istiqamah yang tertinggi, sehingga akhirnya tiada apa yang dapat menghalang mereka daripada tidak merokok. Susah, takder duit, harga mahal, isteri marah, masyarakat tak suka, semua itu bukan penghalang lagi.
Begitu juga dengan semangat persaudaraan antara perokok. Kenal atau tidak kenal, mereka akan mesra dan tolong-menolong antara satu sama lain. Rokok dihulur, lighter dikongsi, asap sama-sama dinikmati. Walaupun baru kali pertama bersua muka, mereka akan berukhuwwah bersama-sama di mana saja. Inilah nilai persaudaraan yang maha hebat.
---------------------------------------------------------
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ
"Sesungguhnya orang-orang yang berkata : Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka beristiqamah (meneguhkan pendirian) maka malaikat akan turun dan berkata kepada mereka : Janganlah kamu takut dan merasa sedih, bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu" [Surah Fussilat : 30]
وَالَّذِينَ يَصِلُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَنْ يُوصَلَ وَيَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ وَيَخَافُونَ سُوءَ الْحِسَابِ
"Dan orang-orang yang menghubungkan apa-apa yang Allah perintahkan supaya dihubungkan (silturrahmi) dan mereka takut kepada Tuhannya dan takut kepada hisab yang buruk" [Surah Ar-Ra'd : 21]
Nota Penting :
Sila baca tazkirah dengan dalil Al-Quran secara BERASINGAN.

PALING SENANG DAN SERONOK.

Perkara paling senang dan seronok ialah mencari salah orang lain. Tambah seronok jika kesalahan itu boleh dikongsi beramai-ramai dan dijaja merata-riti atas apa sebab sekalipun sehingga menimbulkan aib dan fitnah yang tak sudah-sudah.

Hidup ini umpama roda tuan-tuan. Sekejap kita di atas, sekejap lagi kita di bawah. Takutlah dengan Allah yang Maha Adil. Jika tidak mampu takut pada Allah sekalipun, bimbanglah pada diri sendiri.

Bayangkan jika orang mencari salah kita, kemudian disebar dan dijaja kesalahan itu, apa pula perasaan kita ketika itu?

Bayangkan pula bagaimana sekiranya Allah menjaja kesalahan kita di Padang Mahsyar. Allah... Tak tertanggung azab sengsaranya batin kita... Aduuuhh...

Dalam dunia FB hari ini, yang paling seronok rupa-rupanya bukanlah yang mencari salah orang lain, tetapi yang menjadi nasi tambah dalam ruang komen di bawah tulisan status kita.

Tuan punya status? Sudah hilang entah ke mana...

Ya Allah! Aku mohon keampunanMu atas dosaku mencari salah orang lain selama ini.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke 58. Merdekakan diri kita dari mengambil tahu apa yang tidak ada kena mengena dengan diri kita.

BERAKHLAKLAH DENGAN AKHLAK AL-QURAN.

Sebulan dua ini negara kita sarat dengan pelbagai kisah suka duka politik, sehingga menenggelamkan kemeriahan Ramadhan dan sambutan Syawal. Saya bukanlah orang yang alim atau terbaik untuk berbicara soal ini, tetapi saya rasa terpanggil untuk mengulas - baca menegur - dari satu sudut pandang yang sedikit berbeza.

Kadang-kadang saya rasa kita ini sudah terlalu melampau dalam memanjangkan sesuatu isu, sehingga melanggar batas-batas dosa dan pahala.

Ada kalanya, sekali dua kita menyebut tentang sesuatu tajuk, masyarakat boleh menerima dengan senang hati. Tetapi apabila terlalu acapkali di sebut, timbul pula perasaan meluat

Saya menyebut ini dari sudut baik, buruk, dosa dan pahala. Saya tidak menyebelahi sesiapa atau cuba untuk memenangkan sesiapa. Masing-masing ada hak untuk menyuarakan pendirian dan pandangan masing-masing, tetapi jangan pula sampai mencari, mencipta dan memanjangkan perbuatan dosa.

Tidak kira anda dari kem mana. BN, PAS, PKR, DAP, GHB mahupun yang berada di atas pagar.

Tidak kira anda penyokong siapa. DSNR, TSMY, DSHH, MS, DSAI atau sesiapa pun.

Tidak kira anda pentaksub aliran mana sekalipun. ASWJ, HABAIB, WAHABI, SALAFI atau tokoh-tokoh tertentu.

Jangan kita pula lebih senduk dari kuah. Yang lepas itu lepaslah. Jangan pula kita sengaja mencari dosa dan membuat jariah dari dosa tersebut apabila orang ramai mula menekan butang SHARE di laman muka buku ini.

Gambar yang saya sertakan ini merupakan salah satu dari berpuluh - mungkin beratus - contoh, bagaimana kita mula mencipta dosa yang berantai buat diri kita.

Apa yang cuba hendak kita sampaikan? Apa sebenarnya matlamat kita? Adakah masalah selesai?

Saudara-saudara Islamku... Apa yang berlaku, telah pun berlaku. Jangan pula dipanjangkan perkara yang telah selesai dengan dosa ciptaan kita sendiri. Dengan tulisan sedemikian, kita hanya memanjangkan persengketaan, menghubungkan cercaan dan mengada-adakan adu domba dan permusuhan.

Bertaqwalah kita semua dengan firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 11 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَىٰ أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَىٰ أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ


"Wahai orang-orang yang beriman, jangan satu kaum mencerca satu kaum yang lain, boleh jadi mereka yang dicerca adalah lebih baik. Jangan pula wanita-wanita mencerca wanita-wanita yang lain, boleh jadi yang dicerca itu adalah lebih baik. Janganlah kamu mencela diri kamu sendiri. Dan jangan kamu saling panggil memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah panggilan yang buruk sesudah iman. Barangsiapa yang tidak bertaubat,  maka mereka itulah orang yang zalim".

Simpan rasa benci kita itu untuk diri sendiri. Cukup-cukuplah dipanjang-panjangkan kepada orang lain. Bimbang nanti kita terbuat dosa tanpa disedari. Apatah lagi jika dosa itu berpanjangan dan bersambung-sambung.

Mungkin firman Allah yang berikut boleh juga dijadikan panduan dalam kita menulis di muka buku ini.

لَا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَنْ ظُلِمَ ۚ وَكَانَ اللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا

"Allah tidak suka dengan ucapan buruk yang diucapkan secara terang-terangan, kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah itu maha mendengar lagi maha mengetahui" [Surah An-Nisa' : 148]

Jaga akhlak kita. Kita orang Islam. Kita baca Al-Quran. Berakhlaklah dengan akhlak Al-Quran.


Wallahu a'lam.

HUKUMAN MENDIDIK.

Manusia sifatnya diciptakan. Manusia adalah hamba kepda pencipta. Berfikir dan bertindaklah sebagai seorang hamba. Nescaya kita akan dapati kita tiada pilihan melainkan taat dan patuh pada ketetapan pencipta.

Manusia yang tidak sedar mereka adalah hamba, itu manusia sombong. Walau sehebat mana akal dan kudrat manusia, dia tidak boleh melangkaui ketetapan penciptanya. Jika mereka dalam sedar atau tidak sedar cuba memandai-mandai lebih dari penciptanya, mereka akan dihukum oleh pencipta. Dan hukuman pencipta amatlah pedih.

Undang-undang dan ketetapan pencipta dipanggil agama. Agama pencipta bersifat menyeluruh dan mesti diterima, digunapakai secara menyeluruh. Bahagialah manusia yang mengambil agama penciptanya secara menyeluruh. Celakalah manusia yang mengambil apa yang mereka rasakan perlu berdasarkan pemahaman cetek mereka.

Fitrah kejadian diciptakan berpasang-pasangan. Ada lelaki, ada perempuan. Ada siang, ada malam. Ada laut, ada pantai. Ada lagu, ada irama. Ada hidup, ada mati. Ada menyuruh kepada ma'ruf, ada mencegah daripada munkar. Ada dosa, ada pahala. Ada syurga, ada neraka.

Mengambil satu bahagian, meninggalkan pasangannya bersendirian, maka rosaklah fitrah.

Sekadar pendidikan agama tidak cukup. Pendidikan agama juga perlu kepada pasangannya iaiti hukuman agama. Pendidikan agama untuk mendirikan agama, hukuman agama bagi yang meninggalkan agama.

Seru nabi saw, ajarlah anak kamu solat bila dia berumur 7 tahun. Itu pendidikan agama. Pukullah dia jika dia tidak solat bila dia berumur 10 tahun. Itu hukuman agama.

Manusia tidak boleh selamanya hidup hanya dengan pendidikan agama. Manusia perlu kepada hukuman agama untuk melengkapkan kehidupan.

Dan sifat hukuman agama yang tidak ternafikan juga berpasangan; menghukum dan mendidik. Hukuman agama menghukum pesalah agama, hukuman agama mendidik mereka yang tidak bersalah.

Aduhai! Indahnya jika manusia hidup beragama. Aduhai! Indahnya jika manusia mengambil agama sebagai kehidupan.

Dan Islam adalah sebaik-baik agama. Islam agama cara hidup.

PAKAIAN LAMBANG AKHLAK.

Biasa orang berkata begini;

"Pakaian seseorang bukannya jaminan untuk dia masuk ke syurga... Dan bukannya tanda dia benar-benar beriman".

Kenyataan di atas adalah benar kerana pakaian semata-mata bukanlah jaminan untuk masuk ke syurga atau menunjukkan si pemakainya seorang yang beriman kerana ada faktor-faktor lain juga yang akan diambil kira. Tetapi pakaian yang sempurna dari sudut syara' juga penting sebagai pra-syarat untuk ke syurga atau untuk dikenali sebagai orang yang beriman.

Bagi saya kenyataan ini bersifat offensive, bagi menyerang orang yang berpakaian sempurna mengikut syara' kerana adanya elemen negatif iaitu perkataan 'bukan' dikaitkan dengan dua perkara baik iaitu syurga dan iman.

Boleh jadi juga kenyataan ini bersifat defensive, untuk menegakkan apa yang dipakai oleh orang yang membuat kenyataan sebagai betul dan tiada salahnya.

Alangkah baik jika orang yang mengeluarkan kenyataan di atas menyebut begini sebagai peringatan kepada dirinya sendiri;

"Pakaian seseorang boleh menjadi jaminan untuk masuk ke neraka... Dan boleh menjadi tanda bahawa dia benar-benar beriman".

PAKEJ HAJI VVIP.

Renungan di hari 'Arafah, 2013.
Semua sedia maklum bahawa ada pelbagai pakej haji bermula dengan pakej asas bersama Tabung Haji ataupun dikenali sebagai muassasah, pakej swasta bersama Tabung Haji, pakej swasta bersama agensi swasta, pakej vip dan pakej vvip. Seorang jemaah haji boleh sampai ke tanah suci dengan belanja asas serendah lebih kurang RM10 ribu hingga ratusan ribu ringgit bergantung kepada kemahuan masing-masing.
Ramai yang mengaitkan haji dengan suasana kesulitan dan kepayahan. Mungkin kerana sesaknya bilangan manusia, mungkin juga kerana terpaksa berpanas terik dalam kebanyakan keadaan semasa mengerjakan rukun dan wajib haji. Tidak kurang juga yang meletakkan mabrur atau tidak haji seseorang bergantung kepada kesusahan dan kepayahan yang dilalui, lantas sejauh mana kesabaran dan ketahanan mental dan fizikal melepasi halangan tersebut.
Walau apa pun, susah atau senang, rimas atau selesa, panas atau berada dalam penghawa dingin seseorang jemaah haji, ianya adalah kuasa mutlak Allah untuk mengurniakan haji mabrur atau mardud kepada beliau. Kita tidak berupaya untuk mengukur dengan mata kepala zahir kita.
Tetapi, dari satu sudut saya setuju, pakej vip dan vvip yang ditawarkan tempat secara 'pasti' kerana kos yang sangat 'berbaloi' bagi penyedia pakej haji akan menyebabkan puluhan ribu orang kebanyakan seperti saya tidak mendapat peluang kerana terpaksa menunggu giliran. Hasilnya, ada orang yang sama dapat mengerjakan haji setiap tahun kerana mereka tersangat mampu. Pada waktu yang sama, ada yang akan menunggu berpuluh-puluh tahun hingga kadang-kadang tidak sempat pergi kerana meninggal.
Tabung Haji perlu berbuat sesuatu. Majlis Fatwa kebangsaan juga pada hemat saya perlu berbuat sesuatu. Mungkin fatwa 'haram' mengerjakan haji bagi yang telah terlalu kerap, kerana dibimbangi mengganggu giliran orang yang sepatutnya lebih patut dan layak pergi. Mungkin juga fatwa 'haram' menyediakan pakej yang mencecah ratusan ribu ringgit kerana dibimbangi maksud dan tujuan haji bagi jemaah haji dan penyedia pakej haji lari dari yang sepatutnya.
Sama juga keadaannya saya menunggu Majlis Fatwa mengharamkan pakej buffet juadah berbuka puasa yang ditawarkan oleh hotel-hotel yang kadang-kadang mencecah ratusan ringgit bagi satu kepala. Puasa mengajar kita bersederhana dan mengelakkan pembaziran. Tetapi apa maknanya semua itu jika pakej berbuka puasa tidak dipantau dan difatwa haram jika sudah terang kemudharatannya?!!
Walau apa pun, Allah menguji kita dengan apa yang kita ada. Tempat yang pasti paling kerap diuji ialah hati kita.
Orang kaya yang pergi dengan pakej ratusan ribu, Allah ta'ala uji hati mereka, samada ikhlas, bersyukur dengan apa yang mereka perolehi dari pakej mereka berbanding dengan pakej vip lain, tahan dan tabah dengan sedikit ujian kesusahan ataupun sebaliknya.
Orang miskin yang pergi dengan pakej muassasah pun Allah akan uji hati mereka, samada ikhlas, bersyukur dengan kekurangan yang mereka perolehi dari pakej mereka, tahan dan tabah dengan sedikit ujian kesusahan ataupun sebaliknya.
Berbahagialah orang yang pergi dengan pakej ratusan ribu, Allah kurniakan haji mabrur untuk mereka. Berbahagia juga orang yang pergi dengan pakej muassasah dan Allah kurniakan bagi mereka haji mabrur.
Ya Allah, kurniakan aku haji yang mabrur!

JANGAN BERBOHONG!

Jangan mula berbohong. Kelak kamu akan terus berbohong untuk menutup pembohongan kamu.
Jangan terus berbohong dengan bercerita sesuatu yang tidak diminta pun. Kelak kamu akan lebih menyerlahkan pembohongan kamu itu.
Jangan malu untuk berkata benar kerana berkata benar akan menambah kehebatan kamu.
Sebenarnya berahsia itu seribu kali lebih baik daripada berbohong. Jika kamu fikir kamu tidak mahu menyatakan perkara yang sebenarnya, maka pilihlah untuk berahsia. Jangan sesekali kamu pilih untuk berbohong kelak kamu akan terus berbohong untuk menutup pembohongan kamu.
Alah bisa tegal biasa.. Jika kamu biasa berbohong, lama-kelamaan kamu tidak akan merasa bersalah sedikit pun untuk terus berbohong.
Berbohong dengan Allah, hanya Allah bisa mengampunkan. Berbohong dengan manusia, kamu mesti akui kesilapan dan minta maaf dari manusia.

PELABURAN TIDAK RUGI?

Pelaburan dijamin untung.
Pelaburan dijamin tidak rugi.
Berhati-hati dengan 2 perkara di atas. Selain dari sangat berisiko, ia juga salah satu elemen tidak patuh shariah. Pelaburan tidak boleh dijamin untungnya.
Berniaga juga mungkin ada untung dan ruginya. Tinggal lagi kita boleh mengawal perniagaan kita dari mengalami kerugian. Sebagai contoh dalam perniagaan emas, bila harga emas jatuh, kita tidak akan rugi sehinggalah kita menjual emas kita dengan harga lebih rendah dari harga ketika kita membelinya. Ini kita namakan kaedah mengawal kerugian.
Tetapi dalam Al-Quran, surah Fatir ayat 29 Allah ada menyebut tentang perniagaan yang dijamin tidak rugi.
إِنَّ الَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَارَةً لَنْ تَبُورَ
Dan sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Al-Quran, mendirikan solat dan mendermakan secara diam-diam atau terang-terangan, apa yang Allah kurniakan, mereka sebenarnya mengharapkan suatu perniagaan yang tidak akan rugi.
Dalam surah Sof ayat 10 dan 11 pula Allah menyebut jenis perniagaan yang boleh menyelamatkan seseorang dari azab api neraka.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيم. تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, mahukah Aku tunjukkan satu perniagaan yang akan menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Beriman dengan Allah dan Rasul dan berjihadlah di jalan Allah dengan harta dan diri kamu. Itulah yang terbaik bagi kamu sekiranya kamu tahu kelebihannya.

ORANG ISLAM JANGAN JADI ALAT PENYEBAR PROPAGANDA MUSUH-MUSUH ISLAM.

Seringkali saya perhatikan, ramai kawan-kawan FB saya yang suka share gambar-gambar yang temanya menghina Islam. Gambar-gambar itu termasuklah yang dikaitkan dengan tempat-tempat suci atau barang-barang yang mulia dari kacamata Islam.
SARANAN saya... Kalau kita dapat gambar-gambar seperti itu, jangan tambah terukkan lagi keadaan dgn share. DELETE saja.
Apa objektif kita sebar? Apa yang ingin kita capai dan selesaikan? Nak suruh semua tahu siapa yang bertanggungjawab menghasilkan gambar tersebut? Apa yang kita nak capai dan selesaikan? Apa faedahnya pun yang kita dapat bila kita share? Bukankah makin menambah terukkan keadaan?
Come on la semua.. Banyak lagi benda baik yang berfaedah untuk kita sebarluaskan daripada sampah sarap macam ni!!!!
Dalam tidak sedar, Islam dihina oleh tangan-tangan kita yang kononnya macam sensitif dan peka dan menjaga agama la kan? Pigi dah! Tahu tak ini adalah senjata sulit musuh Islam. Objektifnya supaya Islam terhina dgn penyebaran gambar ini. Mereka tak perlu suruh orang bukan Islam yang sebar. Kita yang Islam ni pulak yang jadi pak sanggup untuk sebar.
So, kita jawab sendiri. Kenapa kita patut jadi alat penyebar propaganda murahan mereka ini????? Kalau nak suruh orang yang buat ni kena azab, tak sebar pun Allah itu maha mengetahui...
Apa jadi pulak kalau sebenarnya ini adalah hasil kerja org lain yang nak memfitnah tuan punya akaun ni??? Masuk bab fitnah pulak! Lagi berderet-deret dosa dan mudharat yang kita hasilkan.

CERITA MIKROFON.

Sebagai imam amatur (lawan Imam Muda) yang aktif bergerak terutamanya dalam bulan Ramadhan, saya sering berbicara dengan pengurusan masjid dan surau tentang betapa mikrofon adalah SANGAT SANGAT SANGAT penting kepada seorang imam.

Kalau dulu, microfonnya perlu kepada stand, selepas itu boleh disangkut di baju, tetapi sekarang sudah ada yang terus boleh disangkut di telinga. Ini adalah pilihan terbaik kerana mikrofonnya terus menuju ke mulut imam. Bila imam tunduk atau berpusing, mikrofon itu ikut bersama mulut imam.

Bila mikrofon tidak di mulut imam (sebagai contoh yang disangkut di baju) maka suara tidak akan ditangkap dengan jelas oleh mkrofon. Bila suara tidak ditangkap dengan baik, imam sebagai orang mengeluarkan suara tidak boleh mendengar suaranya sendiri. Hasilnya imam akan menjerit dan meninggikan suara. Hasilnya lagi imam akan keletihan dan kehabisan suara.

Percaya atau tidak, imam juga mesti mendengar suaranya dengan baik. Sebab itu kalau kita biasa dengan pertunjukan pentas, akan ada di atas pentas beberapa speakers yang menghala kepada penyanyi (yang dipanggil monitor). Itu bertujuan untuk penyanyi itu mndengar muzik dan suaranya sendiri.

Begitu juga imam. Kadang-kadang saya sedih. Masjid sikit punya besar, set alatan mikrofon dan pembesar suaranya sikit punya kecik. Masjid dan hiasannya berhabisan beratus ribu ringgit, set alatan mikrofon dan pembesar suarany dicari yang paling murah.

Sebab itu saya kalau ada yang nak melamar saya jadi imam terawih, 2 soalan wajib saya akan tanya; mikrofonnya sedap atau tidak? Jemaahnya ramai atau tidak?

Jadi, ambil perhatian semua orang yang berkaitan. Lagi sedih kalau mikrofon yang sama dikongsi oleh imam dan penceramah. Sekejap direndahkan tahap suaranya, sekejap nak kena tinggikan balik. Nasib malang kalau lepas ceramah atau kuliah, terlupa nak dibetulkan balik tahap suara mikrofonnya. Yang jadi mangsanya siapa? Imam solat jugak.

ILMU MILIK ALLAH.

Ilmu milik Allah. Tugas saya cuma menyampaikan. Apa yang kamu bayar hanyalah melambangkan kedudukan saya di mata kamu, penilaian kamu terhadap apa yang saya cuba kongsikan dan tahap timbangrasa kamu terhadap saya. Bayaran bukan sama sekali harga bagi sebuah ilmu.

Jangan ditanya berapa bayaran untuk saya. Atau jangan sesekali bayaran menjadi isu apabila merancang untuk menjemput saya. Saya tetap tidak akan menetapkan bayarannya. InsyaAllah sampai bila-bila dan walau siapa pun saya nanti. Kerana saya tidak kaya dengan bayaran kamu. Yang paling penting, ilmu itu milik Allah dan Allah lah yang maha pemberi rezeki!

KITA APA YANG KITA BACA.

Apa yang kita baca, itulah yang membentuk minda dan peribadi kita.

Suka baca Al-Quran, Al-Quranlah minda dan peribadi kita.

Suka baca hadith, hadithlah minda dan peribadi kita.

Suka baca buku agama, buku agamalah minda dan peribadi kita.

Suka baca komik, komiklah minda dan peribadi kita.

Suka baca gossip, gossiplah minda dan peribadi kita.

Suka baca novel, novellah minda dan peribadi kita.

Suka baca surat khabar, surat khabarlah minda dan peribadi kita.

Suka baca majalah hiburan, majalah hiburanlah minda dan peribadi kita.

Seterusnya.. Seterusnya.. Seterusnya...

Wujudkan minat suka membaca. Ubahlah tabiat membaca kepada sesuatu yang memberi manfaat. Orang yang rajin membaca, itu tanda ikhlas dan tawadhu'. Semakin banyak yang kita baca, semakin banyak yang kita tidak mengerti.

Dengan syarat, bacalah sesuatu yang benar-benar perlu. Supaya bacaan itu akhirnya menjadi ibadah, yang bisa menuntun kita ke FirdausNya.

Ya Allah, kurniakan aku masa untuk membaca A-Quran.