Showing posts with label Al-Quran. Show all posts
Showing posts with label Al-Quran. Show all posts

Friday, 1 January 2016

EMAS DALAM AL-QURAN

EMAS DALAM AL-QURAN.

Emas sesuatu yang sangat bernilai. Bawalah emas ke mana-mana, dalam bentuk apa sekalipun, tidak ada yang akan menolak emas daripada digunakan. Jika wang kertas terkoyak, ia sudah tidak laku lagi. Akan tetapi jika emas patah, pecah atau terhakis, ia masih boleh diperlakukan dengan berat.

Emas yang tidak boleh terbakar pada apa suhu sekalipun, disebut 8 kali dalam Al-Quran. Bila Al-Quran pun menyebut emas - samada dalam hukum hakam ayau perbandingan - maka sudah tentu emas menyimpan sesuatu maksud yang tersirat tentang nilainya.

Berikut adalah apa yang disebut dalam Al-Quran :

1.Emas dijadikan indah pada pandangan manusia.

1 - { زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاء وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ } ، ( سورة آل عمران : 14 ) .

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

2. Emas adalah barang tukaran paling bernilai.

2 - { إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُواْ وَمَاتُواْ وَهُمْ كُفَّارٌ فَلَن يُقْبَلَ مِنْ أَحَدِهِم مِّلْءُ الأرْضِ ذَهَبًا وَلَوِ افْتَدَى بِهِ أُوْلَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ وَمَا لَهُم مِّن نَّاصِرِينَ } ، ( سورة آل عمران : 91 ) .

Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima dari seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun ia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun.

3. Emas sebagai simpanan sebenar.

3 - { يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّ كَثِيرًا مِّنَ الأَحْبَارِ وَالرُّهْبَانِ لَيَأْكُلُونَ أَمْوَالَ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللّهِ وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلاَ يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ } ، ( سورة التوبة : 34 ) .

Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

4. Emas sebagai perhiasan dalam syurga.

4 - { أُوْلَئِكَ لَهُمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهِمُ الْأَنْهَارُ يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٍ وَيَلْبَسُونَ ثِيَابًا خُضْرًا مِّن سُندُسٍ وَإِسْتَبْرَقٍ مُّتَّكِئِينَ فِيهَا عَلَى الْأَرَائِكِ نِعْمَ الثَّوَابُ وَحَسُنَتْ مُرْتَفَقًا } ، ( سورة الكهف : 31 ) .

Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya.

5. Emas sebagai perhiasan dalam syurga.

5 - { إِنَّ اللَّهَ يُدْخِلُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٍ وَلُؤْلُؤًا وَلِبَاسُهُمْ فِيهَا حَرِيرٌ } ، ( سورة الحج : 23 ) .

Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka dihiaskan di situ dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ dari sutera.

6. Emas sebagai perhiasan dalam syurga.

6 - { جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٍ وَلُؤْلُؤًا وَلِبَاسُهُمْ فِيهَا حَرِيرٌ } ، ( سورة فاطر : 33 ) .

(Balasan mereka ialah) Syurga - syurga " Adn ", yang mereka akan masukinya; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan dari emas dan mutiara; dan pakaian mereka di situ adalah dari sutera.

7. Emas lambang dan bukti kekayaan sebenar.

7 - { فَلَوْلَا أُلْقِيَ عَلَيْهِ أَسْوِرَةٌ مِّن ذَهَبٍ أَوْ جَاء مَعَهُ الْمَلَائِكَةُ مُقْتَرِنِينَ } ، ( سورة الزخرف : 53 ) .

"(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?"

8. Emas sebagai perhiasan dalam syurga.

8 - { يُطَافُ عَلَيْهِم بِصِحَافٍ مِّن ذَهَبٍ وَأَكْوَابٍ وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الْأَنفُسُ وَتَلَذُّ الْأَعْيُنُ وَأَنتُمْ فِيهَا خَالِدُونَ } ، ( سورة الزخرف : 71 ) .

Diedarkan kepada mereka pinggan-pinggan besar dan piala-piala dari emas; dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): "Kamu adalah tetap kekal di dalamnya".

Saturday, 19 December 2015

SEMINAR AL-QURAN BERGERAK : Bergurulah Walaupun Anda Seorang Guru

Ramai yang ambil mudah dengan belajar Al-Quran. Tidak kira siapa kita, susah kadang-kadang hendak rendahkan diri mencari guru untuk membetulkan bacaan. Nabi Muhammad SAWA sendiri berguru dengan Jibril AS demi memastikan ketepatan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Amat memalukan pula bila ada agamawan, guru-guru Al-Quran, bahkan para penghafaz Al-Quran yang dipandang tinggi oleh masyarakat kerana kepetahan berbicara dalam hal agama, tetapi tidak mahir dan seringkali cuai apabila mengungkapkan firman Allah SWT. Lebih parah lagi apabila ditolak menjadi imam, bacaannya berada pada tahap GAGAL!

Jadi, seminar ini datang untuk meningkatkan kesedaran, betapa kritikalnya mencari guru Al-Quran, walaupun anda telah pun menjadi guru. Ramai ibu bapa yang sibuk mengupah guru Al-Quran untuk anak-anak tetapi lupa dengan diri sendiri.

Tunggu apa lagi? Segerakan mendaftar di https://bit.ly/seminaralquranbergerak untuk membuka asbab hidayah Allah kepada kita.

Saturday, 7 November 2015

DOA MUDAH MENDAPAT ZURIAT

TADABBUR ALA KAMPUNG.

Surah Al-Anbiya' ayat 89 dan 90.

"Dan ingatlah kisah Zakariya as, ketika dia berdoa kepada Tuhannya, "Wahai Tuhanku, janganlah Engkau biarkan aku hidup sendirian tanpa keturunan dan Engkaulah sebaik-baik pewaris"

"Maka Kami kabulkan doanya, dan Kamii anugerahkan kepadanya Yahya as, serta kami jadikan isterinya dapat mengandung. Sesungguhnya, mereka bersegera dalam membuat kebaikan dan mereka berdoa kepada Kami dengan penuh berharap lagi cemas. Dan mereka orang-orang yang khusyu' kepada kami".

PENGAJARAN.

1. Doa yang sangat baik diamalkan untuk mendapat zuriat ialah doa Nabi Zakariya as yang berbunyi :

رَبِّ لا تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ 

2. Selain dari doa yang tersebut di atas, Allah menggariskan beberapa lagi kualiti orang yang Allah kabulkan doa mereka seperti :

(i) Bersegera dalam melakukan kebaikan.
(ii) Sentiasa berdoa kepada Allah dengan penuh harap dan cemas.
(iii) Hati mereka sentiasa khusyu' kepada Allah iaitu mengingati Allah tanpa jemu dan berputus asa.


Renung-renungkan dan selamat beramal.

8 Nov 2015.

Wednesday, 2 September 2015

BUAT BAIK BUAT JAHAT.

Al-An'am : 160

مَن جَآءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُۥ عَشْرُ أَمْثَالِهَا ۖ وَمَن جَآءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزٰىٓ إِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Barangsiapa membawa amal yang baik, maka baginya (pahala) sepuluh kali lipat amalnya; dan barangsiapa yang membawa perbuatan jahat maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan).

An-Naml : 89

مَن جَآءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُۥ خَيْرٌ مِّنْهَا وَهُم مِّن فَزَعٍ يَوْمَئِذٍ ءَامِنُونَ

Barangsiapa yang membawa kebaikan, maka ia memperoleh (balasan) yang lebih baik dari padanya, sedang mereka itu adalah orang-orang yang aman tenteram dari pada kejutan yang dahsyat pada hari itu.

An-Naml : 90

وَمَن جَآءَ بِالسَّيِّئَةِ فَكُبَّتْ وُجُوهُهُمْ فِى النَّارِ هَلْ تُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Dan barang siapa yang membawa kejahatan, maka disungkurkanlah muka mereka ke dalam neraka. Tiadalah kamu dibalasi, melainkan (setimpal) dengan apa yang dahulu kamu kerjakan.

Al-Qasas : 84

مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ خَيْرٌ مِنْهَا ۖوَمَنْ جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَى الَّذِينَ عَمِلُوا السَّيِّئَاتِ إِلَّا مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Barangsiapa yang datang dengan (membawa) kebaikan, maka baginya (pahala) yang lebih baik daripada kebaikannya itu; dan barangsiapa yang datang dengan (membawa) kejahatan, maka tidaklah diberi pembalasan kepada orang-orang yang telah mengerjakan kejahatan itu, melainkan (seimbang) dengan apa yang dahulu mereka kerjakan.

3 surah itu sahaja dalam Al-Quran!

Mari kita senaraikan, apa beza 3 tempat ini dari sudut berbuat baik dab berbuat jahat. Apa nilai tambah dan apa pengajarannya.

1. Al-Qasas menyebut secara umum bahawa setiap kebaikan yang dibuat, ganjarannya PASTI lebih baik.

2. An-Naml pula menambah lagi nilainya bagi orang yang mengerjakn kebaikan ini, mereka akan diberi keamanan pada hari akhirat yang terkenal dengan kacau bilau dan huru haranya. Ini jangan dipandang biasa-biasa. Kerana orang yang terpilih saja yang bisa aman pada hari yang sangat dahsyat itu

3. Al-An'am menyebut secara khusus, ganjaran kebaikan ialah 10 kali ganda. Kita tidak pernah tahu, berapa besar 1 kebaikan di sisi Allah, apatah lagi digandakan menjadi 10 kali ganda. Itu dalam keadaan biasa. Bayangkan pula jika dalam bulan Ramadhan yang dilipatkaligandakan amalan sehingga 70 kali ganda.

1. Al-An'am dan Al-Qasas menceritakan bahawa setiap keburukan yang dikerjakan, Allah HANYA akan membalas SEKADAR keburukan yang dibuat itu. Tiada unsur lipat kali ganda. Tapi pernahkah kita bertanya apa maksud HANYA dan SEKADAR itu?

2. An-Naml menjelaskan bahawa HANYA dan SEKADAR itu rupa-rupanya dihumban muka pembuat kejahatan itu ke dalam api neraka. Ini bermaksud, jangan ambil mudah dengan dosa dan kejahatan walaupun nampak kecil di mata kita. Jangan pula ambil kesempatan atas kebaikan Allah, untuk kita berterusan dalam dosa walaupun dosa kecil, kerana balasan dan azab Allah amatlah pedih.

Wallahu a'lam.

DIDIK ANAK HAFAZ AL-QURAN

Tip mendidik anak-anak kecil menghafaz Al-Quran.

1. Bagi anak-anak yang sudah tahu membaca Al-Quran, betulkan bacaan mereka mengikut tajwid. Ini sangat penting kerana hafazan yang pertama kali dibuat mengikut tajwid yang betul akan menyebabkan hafazan mereka tepat setiap saat dan tidak perlu usaha untuk memperbetulkannya lagi.
2. Setelah dibetulkan tajwid bacaan mereka, mula menghafaz menggunakan teknik yang pelbagai. Mungkin mereka membaca sendiri berulang kali, atau mereka juga boleh dibantu oleh audio bersama-sama.
3. Peruntukkan masa dan target berapa ayat yang mesti dihafaz oleh anak-anak dalam sehari. Ibu bapa boleh memantau secara santai proses menghafaz mereka.
4. Uji hafazan (tasmik) anak-anak setiap kali selesai setiap sesi untuk memastikan mereka berjaya menghabiskan tugasan yang diberi.
5. Sebelum berpindah ke ayat yang baru, uji hafazan mereka yang terdahulu untuk memastikan mereka masih ingat. Ujian ini boleh diselangseli juga ketika perlu.
6. Untuk ulangkaji, gunakan juga CD dan pasang bila mana menaiki kereta. Biasanya, anak-anak secara automatik akan terus membaca bersama kerana mereka telah hafaz.
7. Bagi anak-anak yang belum mahir membaca, boleh gunakan CD sebagai alat bantuan menghafaz. Pastikan CD itu mempunyai bacaan yang standard panjang pendek harakatnya demi menjamin kualiti hafazan anak-anak.
8. Guna kaedah ulangan dan semakan (i'adah) yang sama seperti di atas untuk mengukuhkan hafazan.
9. Kaedah di atas akan lebih berkesan jika anak-anak turut didedahkan dengan pertandingan hafazan. Jadi, galakkan anak-anak untuk menyertainya walaupun bukanlah menjadi target untuk mendapat nombor teratas.

Selamat mencuba!

BERKENAAN AL-HAFIZ, TAHFIZ DAN MAAHAD TAHFIZ.



Berkata Fadhilatus Syeikh Al-Muqri' Ustaz Abdul Bari​ (asal perkataannya dalam dialek Kelantan, saya olah bahasanya mengikut bahasa melayu standard) :

Maahad Tahfiz yang baik itu mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Guru yang mengajar itu bukan sahaja alim dalam bidang tajwid dan qiraat, tetapi mahir juga bidang-bidang lain yang berkaitan terutamanya nahu bahasa arab supaya terselamat muridnya dari kesalahan seperti waqaf di tempat yang tidak sepatutnya.

2. Yang penting guru yang mendengar bacaan muridnya mesti yang betul-betul mantap hafazannya, bukan sekadar mendengar bacaan sambil membuka mushaf.

Komen saya:

Tepat sekali apa yang dinukilan di atas. Saya pernah menulis tentang 2 ciri penting seorang penghafaz Al-Quran iaitu kemantapan hafazan dan kemahiran bacaan. Kedua-dua ciri ini tidak akan dapat diperolehi jika seseorang itu berguru atau menghafaz dengan guru yang juga tidak mantap hafazannya dan mahir bacaannya.

Kesannya, akan lahirlah beribu-ribu penghafaz Al-Quran yang bukan al-hafiz, tetapi al-habis (habis tak ingat apa yang dihafaz). Bukan itu sahaja, bacaan mereka juga rosak dek kerana tidak caknanya guru (yang juga rosak bacaannya).

Ini bukan cakap-cakap kosong! Ayuh semua penghafaz Al-Quran (terutamanya guru-guru Al-Quran), semaklah hafazanmu dan perbaikilah bacaanmu dengan guru-guru yang berwibawa. Lulusnya kita dari maahad-maahad tahfiz atau dari kuliyah Al-Quran di universiti-universiti bukanlah tiket percuma untuk kita terus mengajar dan mendidik orang lain. Perbaikilah diri kita sebelum kita membaiki orang lain.

InsyaAllah.

KESALAHAN RUTIN DALAM PEMBACAAN AL-QURAN

Sepanjang pengamatan saya, salah satu kesalahan sebutan yang berlaku ketika membaca Al-Quran ialah bertukarnya baris yang lemah iaitu kasrah kepada samada fathah atau dhommah.

Ini berlaku pada 2 keadaan:

1. Sifat huruf selepas huruf yang berbaris kasrah
2. Makhraj huruf yang berbaris kasrah

Sebagai contoh, dalam basmalah pada kalimah الرحمن الرحيم.

Nun pada kalimah الرحمن berbaris kasrah. Tetapi bila digandingkan dengan Ra' pada kalimah الرحيم yang bersifat tafkhim (tebal) maka Nun yang berbaris kasrah akan terpengaruh dan menghasilkan baris dhommah.

Ha' pada kalimah الرحيم berbaris kasrah. Tetapi kerana makhraj hurufnya ialah pada pertengahan kerongkong (halkum) maka penuturnya kerana terlampau hendak memastikan 'kepedasan' huruf Ha' itu sehingga terhasilnya baris fathah pada huruf Ha'.

Suasan serupa terjadi pada huruf 'Ain pada kalimah نستعين.

Kesalahan sebegini ada berlaku pada semua lapisan masyarakat samada orang awam, para imam mahupun guru Al-Quran. Senario ini boleh diperbetulkan dengan cara bertalaqqi musyafahah dengan guru-guru yang mursyid.

Selamat bertalaqqi ☺️

BACA AL-QURAN! JIKA TIDAK HATI MENJADI KERAS.



أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا - النساء ٨٢

Tidak pernahkah mereka duduk merenung ayat-ayat Al-Quran?  Kalaulah Al-Quran itu bukan datang dari Allah, nescaya mereka akan dapati sangat banyak percanggahan antara satu ayat ke satu ayat yang lain.

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا - محمد ٢٤

Tidak pernahkah mereka duduk merenung ayat-ayat Al-Quran? Atau hati mereka telah pun terkunci rapat.

Dalam Al-Quran, hanya terdapat 2 tempat ini sahaja, ayat yang bermula dengan lafaz افلا يتدبرون القران . Yang pertama dalam surah An-Nisa' ayat 86 dan yang kedua dalam surah Muhammad ayat 24.

Kedua-dua surah ini adalah surah Madaniyyah iaitu surah yang diturunkan selepas hijrah Nabi (bacalah selawat) ke Madinah Al-Munawwarah. Secara logiknya sepatutnya begitulah. Untuk menjawab persoalan adakah sudah habis diteliti maksud ayat-ayat Al-Quran, Al-Quran itu mesti terlebih dahulu sudah habis atau sebahagian besarnya sudah selesai diwahyukan Allah kepada Nabi Muhammad (bacalah selawat).

Banyak perintah, pengajaran dan amaran yang boleh kita ambil daripada 2 ayat ini.

1. Bila Allah bertanya; adakah tidak kita tadabbur (teliti) ayat-ayat Al-Quran, maka ini sebenarnya pertanyaan berbentuk perintah. Maknanya kita WAJIB kita meneliti setiap patah perkataan dan ayat Al-Quran untuk diambil isi kandungannya, diamalkan perintahnya dan ditinggal larangannya.

2. Bagaimana bisa kita meneliti jika kita tidak membacanya? Maka impliedly, Al-Quran juga WAJIB kita baca. Bukan sekali, bukan 2 kali. Tetapi setiap masa kerana Al-Quran itu sifatnya "dibaca". Ajaibnya Al-Quran, makin banyak kali dibaca, makin banyak perkara baru yang kita akan temui.

3. Ayat yang pertama di atas adalah asas keimanan kepada Al-Quran iaitu dalam 6236 ayat yang terdapat dalam Al-Quran, kita akan dapati keharmonian di antara satu sama lain. Ini bukti Al-Quran itu datang dari Allah. Sekali lagi, hanya orang yang rajin membaca Al-Quran saja yang dapat merasai keindahan ini.

4. Ayat yang kedua di atas pula memberi amaran kepada sesiapa yang langsung tidak boleh mengambil pengajaran dari Al-Quran, hati mereka sebenarnya sudah mati terkunci. Mengambil pengajaran ini boleh dilihat dari banyak sudut. Antaranya yang paling utama ialah mengamalkan segala perintah Al-Quran, meninggalkan segala larangan Al-Quran, merasai pelbagai keajaiban Al-Quran (اعجاز القران) dari sudut bahasa, ilmu dan lain-lain.

Jadi, marilah sama-sama kita jadikan amalan membaca Al-Quran sebagai satu rutin dan menelusuri maknanya satu persatu. Jika kita malas membaca Al-Quran, kita tidak akan dapat meneliti maksudnya. Jika kita tidak dapat meneliti maksudnya, kita tidak akan dapat mengambil isi kandungannya. Jika kita tidak dapat mengambil isi kandungannya, hasilnya hati kita akan terkunci.

Jika hati kita telah terkunci, kita akan rasa malas untuk membaca Al-Quran. Jika kita malas membaca Al-Quran....

Sebenarnya, ia merupakan satu 'circle' :

Bila kita malas baca Al-Quran --------- hati kita akan terkunci.

Bila hati kita terkunci ----------- kita jadi malas baca Al-Quran.

SELAMAT BERFIKIR!